NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M semakin terdesak, kembalilah pangkal jalan - PAS



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai semakin terdesak untuk menjatuhkan PAS, apabila mengelirukan rakyat berhubung parti itu dengan kenyataan yang tidak masuk akal.

Berikutan itu, pengerusi gabungan pakatan pembangkang berkenaan yang didakwa dipergunakan DAP untuk melemahkan PAS diminta bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kenyataan Dr Mahathir bahawa PAS bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan untuk menang, sebaliknya bermatlamat menewaskan gabungan pakatan pembangkang adalah sangat merapu.

"Saranan saya pada Tun (Dr Mahathir), kalau terdesak untuk mengelirukan rakyat pun, biarlah yang masuk akal. Cukuplah, gunakan penghujung usia untuk kembali ke pangkal jalan," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa PAS bertanding PRU-14 bukan untuk menang tetapi mahu melihat gabungan pakatan pembangkang itu tewas, dalam usaha mengekalkan kemenangan Barisan Nasional akibat terhutang budi dengan UMNO.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, PAS mula menyertai PRU pada 1955 sebelum negara mencapai kemerdekaan dan sejak itu PAS tidak pernah gagal menyertai PRU, walau apa juga keputusan diterima parti itu.

"PAS pernah hanya tinggal satu kerusi di Parlimen, tetapi PAS tak hanyut atau mati. PAS bangkit kembali," katanya.

Beliau turut menyatakan simpati terhadap parti sekutu DAP kerana perundingan kerusi dalam gabungan pakatan pembangkang hanya bermatlamat memperkuatkan parti sosialis itu.

Katanya, kerusi potensi DAP tidak terjejas, malah peluang parti itu untuk mengekalkan kemenangan adalah tinggi, jika peratus sokongan pengundi Cina kekal seperti PRU-13.

"Yang mempunyai cabaran besar ialah parti selain DAP dalam gabungan pakatan itu. Kesimpulannya, yang paling mendapat untung besar ialah DAP dan parti lain terpaksa berhempas pulas untuk mencipta kemenangan.

"Sebab itulah tujuan sebenar `discredit' dibuat Tun adalah untuk melemahkan PAS yang menjadi saingan parti selain DAP dalam pakatan itu. Makin jelas Tun sebenarnya dipergunakan oleh DAP," katanya.

© all rights reserved
made with by templateszoo