NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harun Taib dalam kenangan


Tribut Buat Ustaz Harun Taib: Empat Tahun Masa Yang Pantas Berlalu.
Oleh: Dr Riduan  Mohamad Nor

Hari ini genaplah empat tahun almarhum Ustaz Dato' Harun Taib telah meninggalkan kita. Jarum jam bergerak dengan terlalu pantas, sedar tak sedar, telah empat tahun murabbi ummah ini telah  bersemadi meninggalkan kita. Beliau umpama singa jamaah Islam yang tegas menjaga asolah perjuangan dan manhaj perjuangan.

Sosok besar gerakan Islam ini semenjak pulang dari Ardhul kinanah pada tahun 1981 terus melangkah di medan operasi perjuangan. Beliau sebenarnya sedang bertungkus lumus menyiapkan PhD, namun arahan jamaah supaya pulang ditaati. Sebelum itu beliau pulang bertanding dalam Pilihanraya tahun 1978, namun tewas dan kembali belajar di peringkat doktorat.

Figura hebat ini tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, bersama Ustaz Husien Awang.  Kemudian, beliau melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat , beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS. 

Dalam pertengahan dekad 1980an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini. Bersama teman- teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulama PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad. Ramai juga yang menggalang gelaran YB lahir daripada MDQ, apatah para amilin jamaah dipelbagai peringkat parti.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya , Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Beliau antara 10 orang calon APU yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan UMNO, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti ' muslimat Pembangun Ummah', 'berbilang-bilang jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Isterinya, Ustazah Zainab atau juga dikenali ramai ustazah Fatimah pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS . Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembik di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat empat tahun yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus. Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini... Al-Fatihah.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
© all rights reserved
made with by templateszoo