NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: PH mampu bantu BN gagalkan PAS perintah





KETIKA PAS dianggap pengacau dalam usaha Pakatan Harapan menakluk Pantai Timur, gabungan pembangkang itu juga dianggap berupaya menghancurkan impian parti Islam utama negara itu untuk kembali menakluk Terengganu, kata seorang pakar sains politik.

Berucap di “Seminar Bicara Politik - Menuju PRU14” di Universiti Malaya hari ini, Dr Mazlan Ali mengatakan PH tidak mampu menakluk Terengganu tetapi akan memainkan peranan sebagai pengacau dalam pertandingan tiga penjuru di negeri itu.

“Situasi PAS menjadi bertambah buruk selepas Muktamar 2015 dan 2017 apabila ia terpecah kepada Amanah (2015) dan meninggalkan Pakatan Rakyat (2017),” kata Mazlan ketika membentangkan “Tren Politik dan Simulasi PRU14 Terengganu”.

Menurut pensyarah politik dan dasar awam Universiti Teknologi Malaysia itu, keahlian PAS kini terpecah.


“Daripada empat kajian sejak 2015, 65% adalah ahli tegar PAS, 20% keliru dan lagi 10% adalah pro-Amanah tetapi masih ahli PAS,” kata Mazlan.

Katanya, sekiranya PAS secara rasmi bekerjasama dengan Umno, keahlian parti itu akan terpecah sekali lagi. Bagaimanapun, tahap sokongan untuk kerjasama Umno-PAS berbeza di setiap negeri.

“Lebih separuh daripada (ahli) PAS Terengganu menyokong kerjasama sebegitu. Tetapi di tempat lain, sokongan lebih rendah.”

Felo Pelawat Kanan ISEAS Yusof-Ishak Institute Wan Saiful Wan Jan pula berkata kajian lapangannya menunjukkan kerjasama Umno-PAS tidak akan disambut baik di Johor.

“Ramai penyokong PAS di sana menderita didiskriminasi kerajaan Umno dan tidak akan menerima sebarang kerjasama dengan mereka (Umno),” kata Wan Saiful.

Walaupun kemunculan Bersatu dan Amanah masih tidak berupaya membantu PH menang di Johor, kedua-duanya sudah mampu menjejaskan pengaruh Umno dan PAS.

“Saya menjangkakan kejatuhan 20%-35% pengaruh PAS berbanding 3%-10% pengaruh Umno,” kata pakar politik Kelantan dan Terengganu itu.



Hanya tinggal Sura dan Paka

Perpecahan parti itu serta pertandingan tiga penjuru, kata Mazlan lagi akan menyebabkan Barisan Nasional mentadbir Terengganu itu sekali lagi.

“Rakyat secara umumnya berpuas hati dengan Umno di Terengganu.

“Selepas pertemuan dengan nelayan di sana, mereka kebanyakkannya berpuas hati kerana kerajaan memberikan insentif seperti petrol dan sebagainya kepada mereka. Malah, Felcra memberikan dividen sehingga empat kali setahun,” tambahnya lagi.

Mazlan yang melakukan simulasi di lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri di Terengganu pada PRU14 berkata BN akan menang di semua kerusi Parlimen dan 30 kerusi negeri, PAS pula hanya akan menang di Sura dan Paka.

Tanpa mengambil kira faktor calon, katanya purata sokongan kepada Umno/BN adalah sekitar 54.5% berbanding 45.5% untuk PAS.

Buat masa kini, PAS memegang tiga kerusi Parlimen (Kuala Nerus, Marang dan Dungun) serta 14 kerusi negeri. Parti Islam itu kehilangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada Amanah apabila perpecahan dalam parti berlaku pada 2015. – 18 Januari, 2018.

© all rights reserved
made with by templateszoo