NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Berjayakah Umno/BN kuasai semula ?



Negeri Selangor telah dua penggal berada di tangan pakatan pembangkang. Adakah satu kemungkinan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti Selangor akan dikuasai semula oleh Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO? Adakah kejayaan pembangkang di Selangor ini akan berulang lagi dalam PRU-14 nanti? Adakah akan berlaku perubahan sokongan pengundi kepada BN? Adakah pengundi bukan Melayu akan terus memberi sokongan kepada pembangkang atau beralih kepada BN?

Perbincangan ini akan cuba memfokuskan kepada perkembangan baru politik Malaysia amnya dan Selangor khususnya setelah berlaku perubahan dalam struktur pakatan pembangkang. Pakatan Rakyat sudah berubah apabila Pas keluar pakatan tersebut.

Yang ada sekarang adalah Pakatan Harapan (PR) yang tidak lagi dianggotai Pas dan ternyata tidak boleh bekerjasama dengan DAP yang mempunyai asas falsafah dan matlamat perjuangan berbeza. Parti Amanah, iaitu serpihan Pas seakan-akan menggantikan Pas dalam Pakatan Harapan. Sejauh manakah Amanah mempunyai kekuatan seperti Pas masih belum terbukti?

Kedudukan kerajaan Selangor selepas berakhirnya PRU ke-13 dengan 44 anggota PR adalah dengan anggota DUN daripada Pas seramai 15 orang. Katakan anggota DUN Pas ditolak maka hanya tinggal seramai 29 anggota DUN sahaja. Kedudukan PR dalam kerajaan Selangor adalah tidak sekuat mana dengan 29 anggota DUN. Dalam hal ini kedudukan Pas dalam politik PR Selangor adalah agak penting.

Persoalan mengatakan bahawa kemenangan Pas yang besar iaitu sebanyak 15 kerusi itu kerana sokongan pengundi Cina adalah persoalan lain dalam perbincangan ini. Kalau ini diambil kira dalam masa kerjasama PR itu, orang Melayu juga ada yang menyumbang kepada kemenangan DAP atas dasar Pas-PKR-DAP.

Penulis melihat kedudukan dan pengaruh Pas penting dalam politik Selangor. Untuk BN - UMNO mendapat kerusi majoriti bagi menguasai Selangor adalah satu kemungkinan, tetapi tidak mudah dengan kedudukan sekarang hanya 12 kerusi DUN. Pengundi Melayu di Selangor masih berpecah kepada tiga iaitu Pas, UMNO dan PKR (dalam PRU-13) dan mungkin berpecah kepada empat pula iaitu Amanah dalam PRU-14 nanti.

Apa untungnya kalau pengundi Melayu terus berada dalam keadaan berpecah-belah begini. Bagaimana dengan perjuangan agenda Melayu dan Islam? Pengundi Melayu berada dalam keadaan berpecah-belah, yang untung adalah parti-parti politik bukan Melayu. Dalam hal ini pengundi Melayu mesti berfikir semasak-masaknya serta membuat keputusan yang tepat dalam menghadapi PRU-14 nanti. Kawasan DUN majoriti pengundi Melayu sudah cukup bagi membentuk kerajaan negeri jika pengundi Melayu benar-benar bersatu.

Dalam negeri Selangor terdapat 33 kawasan DUN yang terdiri daripada majoriti pengundi Melayu (yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 50 peratus). Dengan tumpuan kepada 33 buah kerusi ini sahaja sebenarnya telah dapat membentuk kerajaan negeri. Melalui PRU-13, 33 buah kawasan DUN majoriti Melayu dimenangi UMNO sebanyak 12 kerusi, PKR lapan, dan Pas 13 kerusi. Selain daripada 33 kawasan majoriti pengundi Melayu terdapat enam lagi kawasan DUN kawasan campuran yang pengundi terbesar adalah pengundi Melayu.

Kawasan DUN ini adalah N.11 Ijok (49.12% Melayu), N.25 Kajang (48.48%), N.29 Seri Serdang (46.09%), N. 43 Sementa (45.57%), N.49 Seri Andalas (39.47%) dan N. 56 Sungai Pelek (45.83% Melayu). Bagi BN memenangi kawasan campuran ini, sokongan pengundi kaum Cina dan India adalah perlu. Kalau sokongan pengundi bukan Melayu tidak memihak kepada BN, sukar juga bagi BN untuk menang. Dalam PRU-13, Mei 2013 sebanyak empat kawasan DUN campuran ini dimenangi PKR, satu Pas dan DAP.

Semua kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina dimenangi oleh calon DAP, kecuali satu kerusi dimenangi PKR (daripada kaum Cina) di N.37 Bukit Lanjan. Calon BN daripada parti komponen gagal mempertahankan sebarang kerusi di kawasan majoriti Cina dalam PRU-13. Kawasan majoriti pengundi Cina ini akan berjaya dikuasai BN dalam PRU-14 sekiranya berlaku perubahan besar pengundi Cina. Mungkinkah pengundi Cina akan menolak pakatan pembangkang dalam PRU-14?

Bagaimanakah BN dapat menguasai semula negeri Selangor? Apakah perlu melakukan kerjasama politik dengan parti-parti politik lain, khususnya parti politik Melayu-Islam? Apakah parti politik paling mungkin untuk melakukan kerjasama dan kenapa? Bagi menjawab soalan pertama iaitu bagaimanakah BN dapat menguasai semula negeri Selangor?

Peratusan

Penulis berpendapat (berasaskan senario) yang ditunjukkan dalam PRU-13, kaedah yang mungkin adalah dengan menguasai semula kawasan DUN majoriti pengundi Melayu yang sebanyak 33 kawasan dan juga enam kawasan pengundi campuran yang pengundi terbesar adalah pengundi Melayu. Ini berasaskan kepada BN-UMNO dalam PRU-13 hanya menang dan mendapat sokongan daripada pengundi Melayu. Semua 12 kawasan DUN dimenangi UMNO adalah kawasan peratusan Melayu besar.

Kawasan DUN yang gagal dimenangi UMNO pun mendapat undi popular yang besar. Antara kawasan DUN yang dimenangi UMNO dengan majoriti besar adalah N.1 Sungai Air Tawar (85.15% Melayu), N.3 Sungai Panjang (83.19% pengundi Melayu), N.8 Sungai Burung (85.47%) dan N.12 Jeram (78.69%). Kawasan DUN majoriti Melayu yang gagal dimenangi UMNO juga masih mendapat sokongan yang kuat. Kawasan seperti N. 2 Sabak, N. 53 Morib dan N. 54 Tanjong Sepat dimenangi oleh calon PR (Pas) dengan majoriti kecil, masing-masing 399 undi, 766 dan 682 undi. Undi popular diperolehi calon UMNO yang besar jumlahnya.

Di N.2 Sabak UMNO mendapat sebanyak 9,022 undi, N. 17 Gombak Setia, sebanyak 19,076 undi, di M.54 Tanjong Sepat, 9,447 undi dan N. 53 Morib 14, 250 undi. Perbezaan undi dengan calon PR adalah di bawah 1,000 undi. Ini menunjukkan sokongan kepada UMNO masih kuat. Sokongan akan bertambah jika UMNO bekerjasama dengan Pas.

Sekiranya BN/UMNO dan parti yang melakukan kerjasama dengan BN berjaya menguasai kawasan majoriti pengundi Melayu ini maka harapan BN bagi menguasai semula negeri Selangor adalah cerah. Kerjasama politik dengan parti-parti politik yang mempunyai asas dan falsafah perjuangan politik yang sama adalah perlu dilakukan oleh BN-UMNO dalam PRU-14 nanti.

Dalam menjawab persoalan ini parti politik yang paling hampir asas falsafah dan matlamat perjuangannya adalah Pas. Pada asasnya kedua-dua parti politik ini adalah berteraskan Melayu dan Islam. Kerjasama antara UMNO dan Pas adalah sangat perlu dalam konteks menguasai semula Selangor. Ini bukan bermakna UMNO menolak kerjasama dengan rakan-rakan parti-parti komponen BN yang lain. UMNO tetap perlukan kerjasama dengan parti MCA dan MIC khususnya bagi kawasan campuran yang besar peratusan pengundi kaum Cina dan India. Kerjasama parti-parti politik Melayu perlu kerana berasaskan kepada PRU-13 sokongan kaum Cina lebih cenderung kepada pembangkang, khususnya DAP.

Diharapkan akan berlaku perubahan pola pengundian kaum Cina dalam PRU-14 seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Andainya perubahan sokongan kaum Cina ini berlaku (dan diharapkan akan berlaku) maka kedudukan BN akan bertambah kukuh lagi.

Langkah pertama BN adalah bagi menguasai semula negeri Selangor sekurang-kurang dengan majoriti mudah bagi mendapat sekurang-kurangnya 29 atau 30 kerusi DUN. Berasaskan senario PRU-13, gabungan UMNO dan Pas dalam usaha mendapat majoriti mudah adalah suatu yang mungkin berlaku.

Kerjasama parti-parti politik dan pengundi Melayu adalah perlu bagi menguasai semula Selangor. Sekiranya pengundi dan parti-parti politik Melayu berpecah, BN akan gagal menguasai semula Selangor. Kerjasama parti-parti politik khususnya UMNO dan Pas serta sokongan besar pengundi Melayu adalah perlu bagi mencapai kejayaan.

* PENULI S ialah pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo