NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selamat menyambut tahun baru 2018! PRU 14 nanti pastikan ISLAM Berdaulat!



Kebenaran, sebagaimana jelas dalam firman Allah SWT, akan sentiasa ditegakkan manakala kebatilan akan tetap dihapuskan-Nya. Ini misalnya dapat dilihat dalam ayat berikut yang bermaksud, “Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” (Surah al-Anfal 8 :8).

Perjuangan menegakkan kebenaran dan kedaulatan agama Islam di negara ini ternyata mendepani cabaran getir serta ujian atau liku-likunya yang tersendiri. Sehubungan itu, apabila pihak kehakiman tertinggi negara memberikan keputusan-keputusan yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, ia disambut dengan penuh kesyukuran tidak terucap dengan perkataan.

Ini misalnya dapat dilihat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang dibawa oleh ZI Publications pada tahun 2013 untuk mencabar Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Ternyata keputusan tersebut mengukuhkan kedudukan undang-undang syariah negeri yang berfungsi untuk memelihara kesucian akidah serta syariat Islam.

Sebelum itu, disebabkan kegagalan menghayati kedudukan sebenar agama Islam menurut Perlembagaan, telah mendorong berlakunya kesilapan, hatta oleh seorang hakim sendiri. Maka tercetuslah keputusan yang salah sehingga membangkitkan kemarahan dalam kalangan umat Islam. Sebagai contoh dalam kes kalimah Allah, hakim pada peringkat Mahkamah Tinggi, telah melakukan kesilapan memetik Islam hanya sekadar agama rasmi dan lebih rendah daripada hak kebebasan beragama, namun ia dibetulkan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan seterusnya pula mengesahkan dan meneguhkan keputusan Mahkamah Rayuan serta berjaya mengekang usaha untuk mencemarkan kesucian nama Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa berteraskan prinsip ajaran tauhid. Kes Mohd Ezra dan syarikatnya, ZI Publications Sdn. Bhd. membabitkan penterjemahan dan penerbitan karya sarat dengan seribu satu unsur kesesatan, iaitu “Allah, Kebebasan dan Cinta”.

Karya asalnya yang berjudul Allah, Liberty, and Love dalam bahasa Inggeris ditulis oleh Irshad Manji, yang mengakui dirinya sebagai lesbian, jelas mengandungi racun liberalisme yang amat berbisa dan berupaya memesongkan akidah umat Islam. Karya sesat Irshad Manji itu malangnya memperoleh sambutan daripada kumpulan pro-liberalisme negara ini.

Meskipun tindakan telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun kelompok ini bertindak biadab dengan mencabar keabsahan undang-undang Syariah Selangor di Mahkamah Persekutuan. Alasan yang dikemukakan mereka ialah undang-undang sedemikian kononnya menyekat hak kebebasan bersuara. Bagi mereka, kelihatannya kebebasan bermaksud mengatasi kesucian agama Islam!

Hakim Besar Malaya pada ketika itu, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia bukan sahaja terikat dengan undang-undang sivil tetapi juga perundangan Islam dan hukum-hukum syarak. Beliau juga menegaskan bahawa peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah malah sebaliknya mesti dibaca secara bersama dan secara keseluruhan.

Dengan perkataan lain, Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh persoalan kebebasan bersuara tidak boleh dibaca secara terpisah daripada Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Oleh yang demikian, hak kebebasan bersuara mesti disemak dan diimbangi dengan tanggungjawab memelihara agama Islam sebagai Agama Persekutuan!

Tanggapan

Mungkin banyak pihak yang tidak menyedari bahawa tidak terdapat istilah hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, yang ada hanyalah hak kebebasan asasi. Namun, ia tidak bermakna elemen-elemen hak asasi manusia tidak dipedulikan oleh Malaysia, malah agenda Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhannya, bertujuan membela hak asasi manusia.

Sehubungan itu, apa sahaja bentuk perlindungan hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang perlu dipelihara dan dihormati oleh semua pihak. Walau bagaimanapun, tidak semua perkara yang dianggap sebagai hak asasi oleh kelompok masyarakat tertentu diiktiraf sebagai hak asasi atau hak kebebasan asasi di negara ini. Dengan perkataan lain, hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan diamalkan di negara ini tidak bersifat mutlak.

Dalam hubungan ini, kita dapat melihat perbezaan yang ketara antara fahaman hak asasi Barat dengan Islam. Fahaman hak asasi Barat berpaksikan anthropocentric yang menjadikan manusia sebagai penentu nilai. Ini disebabkan tanggapan bahawa akal manusia merupakan pertimbangan utama.

Sebaliknya, hak asasi manusia yang menjadi asas pandangan hidup umat Islam di negara ini sejak zaman-berzaman - dan di mana-mana jua berpaksikan theocentric, iaitu ajaran al-Quran dan al-Sunah menjadi neraca atau penentu nilai. Asas kefahaman yang berbeza ini mendatangkan kesan yang berbeza. Di Barat, atas nama hak asasi manusia, segalanya dibenarkan tanpa difikir persoalan kebenaran, keadilan dan adab.

Buktinya, hubungan seks bebas, perlakuan dan orientasi seks songsang, perkahwinan sesama jenis, keinginan untuk bertukar jantina secara sesuka hati dan segala bentuk kejelekan berteraskan nafsu syahwat liar dianggap sebagai sesuatu yang normal dan munasabah. Sebaliknya, Islam membataskan kebebasan manusia dan menjadikan ia tertakluk pada asas-asas adab dan akhlak. Asas-asas adab dan akhlak ini pula dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dengan yang demikian, menurut Islam, tidak wujud sama sekali kebebasan yang bersifat mutlak, apatah lagi kebebasan liar yang berteraskan nafsu dan syahwat. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, terdapat berbagai-bagai sekatan undang-undang terhadap hak kebebasan asasi.

Justeru, setiap individu atau kelompok tidak boleh menuntut hak kebebasan secara mutlak mengikut selera dan pemikirannya sendiri. Ini kerana, hak yang dituntut itu berkemungkinan akan menjejas hak orang atau pihak lain.

Pengorbanan besar bangsa Melayu yang beragama Islam untuk menerima semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira agama, bangsa, asal dan keturunan jelas berlandaskan ajaran Islam yang menyemai prinsip kemanusiaan yang luhur dalam jiwa orang Islam. Ini sudah tentu berbeza misalnya dengan penempatan kaum Yahudi Israel di bumi Palestin oleh penjajah British dan Amerika Syarikat. Kewujudan kaum Yahudi Zionis menjadi musibah bagi umat Islam yang merupakan penduduk asal Palestin.

Sungguhpun agama Islam dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan, setiap individu berhak menganuti dan mengamal agamanya, sebagaimana diperuntuk dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan ini, jelas kebebasan beragama merupakan elemen-elemen hak asasi yang dijamin dan dilindungi di negara ini. Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa kebebasan beragama sebagaimana diperuntukkan di bawah peruntukan tersebut tidak boleh ditafsir dengan begitu luas.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk menunaikan sumpah yang dilafazkan oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nama suci Allah untuk memelihara kedaulatan agama Islam sebagai agama negara pada setiap masa. Dalam hubungan ini, amatlah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk melemparkan tohmahan liar terhadap institusi-institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) sebagai badan yang tidak berperlembagaan dan merupakan kelompok radikal yang memperjuangkan radikalisme.

Hakikatnya mereka yang tergamak membuat tohmahan sebegini merupakan kelompok radikal Islam bashing yang wajib dipantau oleh pihak keselamatan. Hal ini disebabkan mereka mempromosikan perasaan tidak setia kepada Raja dan Negara malah ada yang merancang untuk menghapuskan “Raja dan Agama” di negara ini. Selain itu, Seksyen 121B Kanun Keseksaan dan SOSMA seharusnya dikuatkuasakan ke atas golongan ini. Semoga pihak berkuasa di negara ini cepat sedar dan segera menunaikan kewajipan memelihara kedaulatan negara dan tidak menunggu sehingga tercetusnya elemen-elemen kekerasan.

Tragedi umat Islam Palestin diusir dan dijajah zionis Yahudi harus diambil pengajaran demi kesejahteraan generasi akan datang. Kini sudah kedengaran suara-suara sumbang zionis evangelikal RECS yang bertekad untuk menawan negara ini dan mendirikan Kingdom of God mereka! Seruan bernada ugutan kumpulan ini menuntut kepekaan dan tindakan segera serta bersepadu umat Islam agar kedaulatan negara dan agama tidak lenyap begitu sahaja. Jika tidak, kehinaan dan kesengsaraanlah yang akan ditanggung selama-lamanya.

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo