NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RCI Memali: PAS Perlis setuju disegerakan, Mahathir cuba tutup kesalahan



KANGAR 2 Jan. - Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan para mufti dalam peristiwa Memali pada 1985 dilihat sebagai salah satu langkah terdesak bekas Perdana Menteri itu untuk lari daripada kesalahan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd. Shukri Ramli cukup bersetuju sekiranya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Katanya, Dr. Mahathir juga tidak sepatutnya mengaitkan amanat Haji Hadi sebagai punca tragedi tersebut kerana sebagai seorang yang bijak beliau seharusnya melihat isi kandungan ucapan berkenaan secara menyeluruh.

“Amanat Haji Hadi tidak ditujukan kepada sesiapa atau dengan tujuan mengkafirkan sesama Islam, sebaliknya ia lebih kepada garis dan batas-batas yang bertentangan dengan Islam. Dr. Mahathir seharusnya lebih faham mengenainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam PAS mengulangi desakan supaya satu RCI ditubuhkan bagi merungkai kebenaran di sebalik tragedi Memali yang pada hari ini dipolitikkan oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi.

Sebelum itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengeluarkan kenyataan menyalahkan mufti kerana tidak menghalang amanat dikeluarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 sehingga mencetuskan kejadian tersebut.

Tragedi Memali di Baling pada 19 November 1985 memalitkan catatan hitam apabila 18 nyawa terkorban dan ketika banyak pihak menuding perkara itu ke atas bahu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika kejadian itu, beliau bertindak menyalahkan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam.

Mengulas lanjut, Mohd. Syukri berkata, penubuhan RCI cukup penting kerana ia bakal membuka peluang kepada waris mangsa Memali yang masih hidup mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya. - UTUSAN ONLINE

Sumber:http://m.utusan.com.my/berita/politik/pas-perlis-setuju-rci-disegerakan-mahathir-cuba-tutup-kesalahan-1.583442

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo