NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proton jelaskan diskaun kepada Persatuan Hokkien bukan kes istimewa



KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd menjelaskan diskaun istimewa kepada ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, bukan kes istimewa.

Tawaran tersebut merupakan sebahagian daripada dasar diskaun istimewa kepada pelanggan jualan korporat dan fleet, dan ia adalah amalan perniagaan biasa dalam industri automotif untuk menawarkan diskaun jualan korporat berdasarkan pembelian secara pukal dan jualan fleet, menurut pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataan pada Khamis.

Ia menjelaskan berhubung laporan akhbar berbahasa Cina bahawa Proton menawarkan diskaun antara lima dan 10 peratus bagi semua model keretanya kepada ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia.

Proton berkata, tawaran istimewa yang diberikan kepada Persekutuan Hokkien merupakan sebahagian daripada pelan jualan korporat istimewa kepada pelanggan jualan fleet.

Proton juga ingin menegaskan bahawa akhbar itu turut melaporkan "Proton sentiasa menyediakan promosi jualan korporat/fleet kepada pelanggan korporat, persatuan, organisasi dan institusi (termasuk media), dan Persekutuan Hokkien bukan kes yang istimewa".

Katanya, Proton mempunyai pelan yang sama dengan pelbagai koperasi, persatuan dan organisasi korporat utama di Malaysia.

"Melalui cara yang sama, Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, telah mengadakan perbincangan dengan kami dan menunjukkan sokongan kepada Proton dengan komitmen untuk membeli," kata Proton.

Berdasarkan kepada jumlah ahli dan pekerja persatuan itu yang besar, Proton berkata ia dapat membentuk pakej istimewa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Katanya mana-mana koperasi, organisasi dan persatuan yang membeli jumlah kereta tertentu turut layak untuk mendapat pelan istimewa jualan korporat ini, tertakluk kepada terma dan syarat antara Proton dan pihak yang berkenaan.

"Proton amat menghargai sokongan daripada syarikat korporat dan persatuan, dan komited untuk memberikan perkhidmatan dan kualiti yang terbaik kepada semua pelanggan kami.

"Kami menghargai minat yang diberikan kepada Proton dan kami mempelawa mana-mana persatuan dan syarikat korporat yang ingin menikmati faedah ini," katanya.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo