Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PM sementara hanya helah PH



Oleh Mohamed Farid Noh
[email protected]

BATU PAHAT: Konsep Perdana Menteri sementara yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) hanya helah untuk mengaburi rakyat demi mendapatkan kuasa.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata rakyat seharusnya menolak kaedah yang bakal membawa kehancuran kepada negara itu.

Katanya, laporan baru-baru ini yang menyatakan PKR bersetuju supaya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sementara juga adalah tanda awal perpecahan pembangkang.

"Saya yakin mereka 'berlakon' apabila menyatakan bersetuju menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

"Mereka (pembangkang) tetap ada agenda peribadi masing-masing dengan PKR hanya mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri manakala DAP mahu Lim Kit Siang sebagai teraju utama.

"Persoalannya siapa tipu siapa. Konsep perdana menteri sementara ini tidak lain hanyalah helah pembangkang untuk mendapatkan sokongan rakyat dan saya yakin mereka akan berbalah pada hari pertama jika mendapat kuasa, " katanya kepada BH.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata demikian selepas merasmikan program Kembali ke Sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Seri Pelangi, di sini, hari ini.

Khamis lalu, PKR dilaporkan bersetuju dengan cadangan pakatan pembangkang untuk menamakan Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Hari ini pula, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Shah Alam dilaporkan mahu Dr Mahathir memainkan peranan utama dalam kerajaan gabungan pembangkang, jika ia menang PRU14.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, janji Dr Mahathir untuk memastikan kebebasan bersuara di negara ini dikembalikan jika berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran negara, sebagai melucukan.

Katanya, Dr Mahathir mungkin 'terlupa' bahawa beliaulah yang sering menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangkap, menakutkan serta 'membisukan' musuh politiknya ketika berkuasa dahulu.

"Dr Mahathir seorang yang tidak boleh dipercayai apa yang dicakapnya. Beliau juga bukan sahaja maharaja pusingan U malah mampu berubah sekelip mata demi agenda peribadinya, " katanya.