NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Senada Soal Islam, Mahu Kerajaan Lebih Tegas



Kuala Lumpur: Kerajaan perlu lebih tegas dalam mendepani isu mereka yang sentiasa menghina Islam (Islam bashing) walaupun atas nama perbincangan akademik, demikian pendapat yang dilontarkan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) Dato`Norashikin Abd Ghani.

Menurutnya, “Mana-mana pihak yang sentiasa menghina Islam atas dasar perbincangan akademik seharusnya sedar bahawa tindakan mereka ini adalah keterlaluan dan tidak mustahil mereka ini akan lebih berleluasa lagi dalam penularan kecaman terhadap Islam.”

“Jika isu ini dipandang enteng, tidak mustahil mereka-mereka ini akan dapat memanipulasi pemikiran sesetengah pihak melalui pendekatan berikut.” Padangan saya, “mereka ini tidak menghayati prinsip 5 rukun Negara dan tidak menghormati perlembagaan Negara.”

“Jika dibiarkan terus, ianya seperti virus yang akan membiak ke pemikiran masyarakat yang lain,” katanya. Dato`Norashikin Abd Ghani berkata, pihaknya percaya dan berharap supaya lebih banyak NGO Melayu Islam tampil ke hadapan membangkitkan isu-isu semasa terutamanya yang membabitkan isu umat Islam dan isu masyarakat yang perlu ditangani.

“Harapan besar saya, saya menggesa dan berharap agar NGO-NGO Melayu Islam tidak mempolitikkan perjuangan mereka,” katanya.

Beliau juga berharap setiap negeri, agar lebih ramai penglibatan masyarakat terutamanya wanita menjadi ahli Srikandi agar kita dapat saling bekerjasama menjalankan pelbagai aktiviti bersama.

Ditanya ke manakah beliau ingin membawa perjuangan SRIKANDI, Dato’ Shikin Begum menjelaskan perjuangan pihaknya akan diteruskan dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan sosial.

Menurut beliau, lahirnya mana-mana pertubuhan, termasuk SRIKANDI Malaysia itu kerana ingin menterjemahkan halatuju dan kecenderungan terhadap apa yang diperjuangkan.


“Saya mahu orang ramai sedar tentang apa itu Kebajikan Sosial dan kesedaran terhadap betapa pentingnya sesebuah NGO itu menjana pemikiran masyarakat terhadap sesetengah isu.”

“Kita sasarkan beberapa golongan yang menjadi fokus dalam kebajikan sosial seperti kanak-kanak, remaja, orang kurang upaya, orang miskin, warga emas, wanita dan sebagainya,” katanya.

“Kita jalankan apa yang kita mampu untuk saling membantu masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat marhaein.”


Beliau berkata, “Perjuangan yang tidak berpenghujung ini akan terus dilaksanakan oleh setiap wakil-wakil negeri melaui agenda dalam negeri masing-masing.”

Manakala Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata, harapan beliau adalah senada dengan harapan rakan-rakan seperjuangan di dalam Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) lain di Malaysia dan seantero dunia.

Menurutnya, “Perkara ini adalah demi melihat Islam didaulatkan di Negara ini bukan sahaja kerana hakikat kedudukannya yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 3(1), tetapi kerana umat Islam beriktikad bahawa Islam itulah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah, dan selayaknya dipertahankan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.” Hadits Hasan riwayat ar-Rawiyani, ad-Daruquthni, al-Baihaqi.”

“Saya juga berharap agar asas-asas utama di dalam Perlembagaan juga dihormati masyarakat Malaysia secara umumnya dan tidak sesekali dikompromi atas nama kebebasan dan tuntutan hak asasi manusia tanpa batas,” katanya.

Ketika ditanya kemanakah beliau ingin membawa perjuangan NGO atau organisasi yang diterajuinya Azril Mohd Amin berkata, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia atau singkatan bahasa Inggerisnya CENTHRA sedang giat memimpin gabungan NGI dalam menjalani proses Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) yang akan dilalui Malaysia bulan November tahun ini.


Ujar beliau, pada hakikatnya, kita semua sedar tentang ancaman-ancaman liberalisasi dan tuntutan hak asasi manusia tanpa batas yang dibuat COMANGO melalui manipulasi proses UPR.

Menurut beliau lagi, CENTHRA melalui Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process atau ringkasnya MACSA yang juga dipengerusikan oleh beliau akan memastikan bahawa tuntutan-tuntutan hak asasi manusia mestilah tidak melampaui sempadan yang dibenarkan syarak dan Perlembagaan Persekutuan, serta tidak melanggar batas susila dan semangat ASEAN sebagai rantau yang sejahtera dari gejala negatif tuntutan melampau hak asasi manusia. Beliau berkata, selain itu, dalam jangka panjang CENTHRA berhasrat untuk terus menyumbang dalam usaha membentuk naratif hak asasi manusia tersendiri yang menjadi benteng pada faham liberalisme yang sedang deras merubah asas-asas Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan menghancurkan tujuan asal hak asasi manusia diberikan kepada setiap insan.

Menurut Azril lagi, “Golongan yang sentiasa menghina Islam (Islam bashing) atas nama perbincangan akademik ini sentiasa dan akan terus berselindung di sebalik ‘kebebasan bersuara’ dan ‘kebebasan akademik” dalam menzahirkan kebencian mereka terhadap Islam.”

“Mereka tidak berminat dengan kebenaran, sebaliknya akibat kekeliruan ilmu sekadar mengagumi pendapat sendiri dan pendapat minoriti atau kekhilafan terdahulu yang pada hakikatnya telahpun ditangani para sarjana dan alim ulama yang terbukti berwibawa dan berada di arus perdana,” tegas beliau.


Dalam pada itu Pengerusi PERKID Malaysia (Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia) Ustaz Masridzi Sat berkata, harapan pihaknya tidak lain adalah ingin melihat Islam didaulatkan dalam negara ini dan segala premis dan aktiviti munkar dapat dihapuskan.


Menurutnya, “NGO PERKID Malaysia akan berusaha lebih giat lagi dalam gerak kerja menyatukan umat, lebih berani dan meningkatkan usaha dalam melaksanakan gerak kerja amar maaruf nahi munkar dalam negara ini.”

Beliau turut menegaskan bahawa mereka yang menghina Islam mestilah didakwa dan pihak berkuasa mesti lebih berani bertindak.

Menurut Ustaz Masridzi, pihaknya percaya sesebuah organisasi atau lebih tepat sesebuah kerajaan akan dilihat lemah dan penakut jika mereka yang menghina Islam tidak didakwa atau diambil tindakan.


Manakala Presiden Brothers in Islam (BIS) Amin Ali Sidik berkata, BIS beriltizam bekerja untuk dakwah, mencegah aktiviti yang akan merosakan ummah dan membangunkan kekuatan ekonomi Islam.

Menurutnya, misi BIS ialah membantu warga Malaysia khususnya umat Islam yang dibelenggu dengan masalah ketidaksamarataan ekonomi, kemiskinan dan gejala sosial untuk membina kehidupan yang lebih baik berteraskan ajaran Islam yang suci.

“BIS berjuang mempertahankan hak-hak Islam dan amat komited dengan usaha untuk mempromosikan dan mengembangkan pemikiran Islam Al-Sunnah Wal Jamaah.”


Beliau berkata, penghinaan terhadap Islam tidak pernah kering dalam wacana akademik pemikiran liberal, sosialis, neo-sosialis, kapitalis,libertarian, atheist dan banyak lagi isme-isme yang mengancam kefahaman dan akidah Islam.


“Tak hanya dari orang kafir, “Islam bashing” juga sering muncul dari orang Islam itu sendiri. Bagi memantau isu ini , disarankan diwujudkan satu badan bertindak mengawasi dan membetulkan gerakan kumpulan “Islam Bashing” atas nama perbincangan akademik, pihak berkuasa perlu menangkap dan mendakwa mereka yang aktif memburukkan Islam .”


“Kesedaran perlu diberikan kepada masyarakat tentang kejahilan golongan ini dan tidak terpengaruh dengan kebodohan mereka yang beriltizam merosakkan kehidupan umat Islam negara ini,” katanya.

Sumber:https://www.menara.my/pertubuhan-islam-bukan-kerajaan-senada-soal-islam-mahu-kerajaan-lebih-tegas/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo