NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PERKASA kesal Mahkhamah Sivil batal penukaran agama Islam tiga kanak-kanak


1. PERKASA merujuk kepada laporan dalam portal berita perdana mengenai kes wanita Hindu bernama Indira Gandhi dan bekas suaminya; Ridhuan Abdullah di mana mahkamah telah mendefinisikan semula istilah "parent" bermaksud ibu dan bapa dan bukannya bapa sahaja seperti tafsiran sebelum ini.

2.  Perkasa berasa sungguh kesal kerana keputusan ini bertentangan dengan keputusan mahkamah pada 2007 sebelum ini di mana dalam kes R. Subashini lawan T. Saravanan, Subashini  memohon mengarahkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghalang suaminya yang telah beragama Islam daripada mengislamkan anak anak mereka tanpa izinnya.

3. Perkasa juga berasa sungguh kecewa kerana dalam kes ini jelas Mahkamah Sivil telah dilibatkan dalam urusan Mahkamah Rayuan Syariah di mana ia  sepatutnya tidak berlaku dan kontradiksi ini seolah olah wujud pada satu pihak.

4. Perkasa berpandangan isu ini melibatkan persoalan akidah dan perlu ditangani dengan serius oleh pihak berkuasa agama kerana ia akan menjadi "precedent" bagi kes kes masa hadapan. Allah akan bertanya kita di Akhirat kelak apa yang telah kita lakukan. Masakan kita jawab tiada apa yang dapat kita lakukan. Alangkah malunya kita di Malaysia, orang Islam adalah majoriti dan orang Melayu Islam menguasai dari segi politik, institusi kehakiman atau judiciary dikuasai Melayu Islam, akan tetapi tiada apa yang dapat kita lakukan!

5. Perkasa juga berasa sangsi apabila mahkamah membuat keputusan bahawa Pendaftar Muallaf tiada hak untuk mendaftarkan anak anak Ridhuan sebagai Muallaf kerana terdapat kekhilafan hanya kerana anak itu tidak mengucapkan dua kalimah syahadah yang dianggap sebagai kepastian beriman oleh mahkamah. Dengan ertikata lain, mahkamah telah mempertikaikan fungsi, bidang kuasa dan tanggung jawab Pendaftar Muallaf walaupun si bapa telah mendaftarkan anaknya sebagai memeluk agama Islam. Persoalannya, adakah anak yang belum baligh, perlu mengucapkan dua kalimah syahadah walaupun telah didaftarkan oleh Pendaftar Muallaf sebagai telah beragama Islam?

6. Apa yang lebih pelik ialah mahkamah telah memutuskan bahawa keizinan ibu dan bapa diperlukan untuk menukarkan agama anak sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu.

7. Perkasa juga berasa kesal kerana kes ini boleh dijadikan satu batu loncatan untuk menidakkan tanggungjawab seorang bapa beragama Islam meng"Islam"kan anaknya yang di bawah 18 tahun. Bayangkan jika kes ini menjadi sandaran pada masa hadapan, apakah yang akan terjadi dan siapakah yang rugi? Bayangkan betapa tergugatnya peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pelaksanaannya nanti?

8. Keputusan itu juga jelas bertelingkah dengan ajaran Islam sebagai agama Persekutuan dan  bahawa mengikut perspektif Islam tradisional, seorang anak mengikut agama bapa yang lebih aula sebab nasabnya jatuh kepada bapa. 

9. Perkasa amat berharap agar pihak berkuasa dapat memastikan anak-anak pasangan tersebut  memilih agama Islam sebagai anutan mereka setelah mereka mencapai umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sekian.

DR. AMINI AMIR ABDULLAH
PENGERUSI
BIRO HAL EHWAL ISLAM (BIHALIM)
MERANGKAP AHLI DEWAN TERTINGGI (ADT)
PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
29.1.2018
9.15HRS


________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo