Penukaran agama Islam tiga kanak-kanak terbatal


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penukaran agama tiga anak guru TADIKA, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny,21, Karan Dinish,20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan kuasa penyeliaannya bagi memutuskan aduan yang dibuat oleh perayu terhadap tindakan pentadbiran Pendaftar Mualaf dalam mengeluarkan Sijil Perakuan Memeluk Islam itu.

Guru Tadika, M Indira Gandhi, keluar dari Mahkamah Persekutuan, Putrajaya selepas mahkamah memutuskan pertukaran agama tiga anaknya 10 tahun lalu kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal. 

Katanya, pihaknya mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004. "Seksyen ini masing-masing menetapkan seseorang mesti mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab secara jelas dan dengan kerelaan sendiri, manakala kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.

"Dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang enakmen ini, mahkamah tidak perlu untuk menyiasat prinsip undang-undang syariah atau untuk menyelesaikan isu undang-undang doktrin yang timbul daripada perkara ini.

"Kami juga mendapati bahawa sijil penukaran dikeluarkan tanpa persetujuan perayu dengan demikian melanggar Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (GIA). Sijil penukaran itu tidak sah dan mesti diketepikan.

"Atas alasan yang dinyatakan di atas, kami membenarkan ketiga-tiga rayuan oleh perayu. Keputusan majoriti dan perintah Mahkamah Rayuan kini diketepikan. Kami mengesahkan keputusan ini dan perintah Mahkamah Tinggi, tanpa sebarang kos," katanya.

Pada 30 Disember 2015, Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1 untuk mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anak itu yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum itu.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka Muhammad Ridhuan Abdullah, 48 pada April 2009 tanpa keizinan Indira Gandhi selepas beliau memeluk Islam.

Kanak-kanak berkenaan ketika itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Mengulas lanjut, Zainun berkata, dalam keadaan agama dan pendidikan agama menjadi isu, pertimbangan utama bagi mahkamah adalah untuk melindungi kebajikan kanak-kanak terbabit dengan mengambil kira semua hal serta keadaan kes ini.

"Penukaran kepada agama lain adalah keputusan penting yang mempengaruhi kehidupan seorang anak, yang mengenakan kepadanya undang-undang peribadi yang baharu dan berbeza.

Guru Tadika, M Indira Gandhi ketika sidang media selepas keluar dari Mahkamah Persekutuan, Putrajaya setelah mahkamah memutuskan pertukaran agama tiga anaknya 10 tahun lalu kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Jika sesuatu keputusan penting seperti penukaran agama seorang kanak-kanak dibuat, demi kepentingan kanak-kanak itu sebaiknya dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa. Pendekatan bertentangan yang diambil dengan membenarkan agama anak ditukarkan tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa hanya akan menimbulkan kesulitan lain," katanya. Selain Zulkefli dan Zaitun, panel hakim lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali.

Sementara itu Indira Ghandi ketika ditemui di luar mahkamah berkata, perjuangannya selama lebih sembilan tahun demi anak-anaknya akhirnya berbalas selepas keputusan yang ditetapkan mahkamah itu.

"Terima kasih kepada hakim dan juga semua pihak yang banyak menyokong saya, selama lebih sembilan tahun pelbagai cabaran saya tempuhi.

"Walaupun pun menang kes ini, hati saya tetap sedih kerana anak perempuan saya (Prasana) masih hilang, saya amat merindui dia dan begitu ingin memeluknya," katanya.


Kronologi

10 April 1993 - M Indira Ghandi dan Muhammad Ridhuan Abdullah atau K Patmanathan berkahwin di Jabatan Pendaftaran Perak dan dikurniakan Tevin Darsiny, Karan Dinish serta Prasana Diksa.

24 April 2009 - Indira Gandhi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh mendapatkan hak penjagaan tetap ke atas tiga anaknya.

29 September 2009 -Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberikan hak penjagaan anak kepada Muhammad Ridhuan.

11 Mac 2010 - Mahkamah Tinggi Ipoh beri hak penjagaan anak kepada Indira Gandhi, bapa diberikan hak lawatan sekali seminggu.

30 Mei 2014 - Muhammad Ridhuan dikenakan perintah menghina mahkamah, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya selepas dia gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya. Indira Gandhi dapat perintah Mahkamah Tinggi yang memerintahkan polis mencari Muhammad Ridhuan.

17 Disember 2014 - Mahkamah Rayuan ketepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya Ketua Polis Negara (KPN) menahan Muhammad Ridhuan dan mengembalikan anak perempuannya kepada bekas isteri.

22 April 2015 - Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Indira Gandhi merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perintah ke atas Ketua Polis Negara (KPN).

29 April 2016 - Mahkamah Persekutuan memerintahkan KPN menahan Muhammad Ridhuan.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/381955/penukaran-agama-islam-tiga-kanak-kanak-terbatal

________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget