NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen Rasah: MCA yakin mampu menang?


SEREMBAN: MCA yakin mampu memberikan saingan bagi merebut kerusi Parlimen Rasah daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas pengundi dan hasil daripada gerak kerja yang dilakukan parti itu sejak setahun lepas.

"Melihat kepada gerak kerja kita selama ini, saya mendapati masyarakat Cina khususnya telah mula menunjukkan sokonan kepada Barisan Nasional (BN).

"Daripada maklum balas mereka, mereka mahukan wakil rakyat baharu yang dapat memenuhi aspirasi mereka," katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.

Ng adalah antara individu yang disebut-sebut untuk mengalas cabaran sebagai calon bagi kawasan Parlimen Rasah pada PRU14.

Pada PRU13 lepas, Teo Eng Kian daripada MCA tewas kepada Teo Kok Seong daripada DAP dengan majoriti 24,101 undi.

Terdahulu, Ng dalam ucapannya pada majlis sembang teh tarik mendakwa 'tsunami Melayu' yang dimainkan DAP bahawa pengundi Melayu akan bangkit menyokong pembangkang adalah hanya bertujuan bagi meraih undi khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

"Mereka (DAP) sengaja memainkan isu itu kerana mereka mahu yakinkan pengundi bahawa mereka telah memiliki sokongan yang kuat. Tsunami Melayu merupakan alasan tak berasas dan kerana hendak memancing undi." dakwanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan Dafney Ho Choy Shin, Pemangku Ketua UMNO Cawangan Rasah Jaya Norasham Jaafar dan Ketua Bahagian Rasah Parti Makkal Sakti Naliny Devi serta 30 orang hadirin.

-- BERNAMA

© all rights reserved
made with by templateszoo