NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan yakin Dr M tidak akan khianati mereka?


Oleh Syed Ahmad Fadhli

Antara beza utama PAS dengan Pakatan Harapan ialah perjuangan PAS bukannya sekadar menuntut perubahan individu tetapi PAS mahu mengubah dasar pemerintahan agar kembali kepada acuan Islam.

Perjuangan PAS bukan cerita mahu menaikkan nama individu A atau B sebagai PM dan TPM kerana persoalan kepimpinan adalah amanah besar yang perlu dipikul oleh mereka yang layak bukannya atas faktor populariti sahaja.

Dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051, PAS telah menyatakan falsafahnya adalah untuk “membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” sepertimana yang termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.

Jelas inilah landasan perjuangan PAS semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1951.

Adapun Pakatan Harapan yang baru selesai berkonvensyen telah mencipta sejarah baru politik dunia iaitu pengisytiharan nama calon PM ke 7 dan PM ke 8.

Mereka mahu menobatkan Dr Mahathir Mohamad, sebagai PM kitar semula yang dahulunya telah pun berkuasa selama 22 tahun.

Bukan itu sahaja, mereka juga seolah mahu memaksa Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan diraja agar banduan VIP, Anwar Ibrahim dapat terus bergiat aktif dalam politik setelah dibebaskan nanti dan menjadi PM ke 8 pula.

Adakah Pakatan menyangka jawatan PM ini ibarat permainan lumba lari berganti-ganti sambil menyerahkan baton antara satu sama lain?

Pakatan juga melalui Muafakat Pakatan Harapan menyenaraikan 13 janji mereka seandainya dapat berkuasa selepas PRU 14 kelak.

Antara yang menarik untuk diteliti ialah:

a) Janji no 5 iaitu menghadkan tempoh memegang jawatan PM kepada 2 penggal Pilihan Raya

b) Janji no 6 iaitu memastikan ketua-ketua institusi penting negara seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR, dan Ketua Audit Negara bebas daripada pengaruh penguasa politik.

c) Janji no 7 iaitu membersihkan Malaysia dari najis rasuah

d) Janji no 8 iaitu menghormati prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Oleh kerana calon PM idaman Pakatan ialah Mahathir maka sebaiknya soalan berikut ditanyakan kepadanya;

a) Mengapa dulu Mahathir memegang jawatan PM begitu lama iaitu sehingga 5 penggal?

b) Mengapa ketika zaman Mahathir berkuasa dulu, sejarah menunjukkan berlakunya pemecatan Ketua Hakim Negara, skandal video VK Lingam berkenaan susun atur pelantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara Mohtar Abdullah diperguna dalam Kes Liwat 1, Ketua Polis Negara Rahim Noor menumbuk mata Anwar sehingga lebam,

SPRM (dulunya BPR) ditekan agar tidak bertindak terhadap pemimpin Umno, SPR diperguna untuk menjamin kemenangan BN?

c) Adakah ketika zaman Mahathir berkuasa dahulu, tidak ada rekod kes rasuah dan salahguna kuasa berlaku yang melibatkan Menteri Kabinet Mahathir?

d) Adakah ketika zaman Mahathir berkuasa dahulu, perlembagaan dijunjung tinggi dan undang-undang didaulatkan? Bukankah media dikawal ketat melalui Akta Mesin Cetak? Bukankah dokumen perjanjian kerajaan yang menguntungkan kroni dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)?

Bukankah ratusan pemimpin pembangkang yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Bukankah berlakunya tragedi memali ketika Mahathir berkuasa dulu?

Amat malang sungguh apabila Pakatan mahu bina semula negara ini dengan mahu melantik individu yang telah pun memusnahkan negara ketika dia berkuasa dahulu. Tidak serik lagi ke?

Mahu terjerumus ke dalam lubang yang sama buat kali kedua? Apakah Pakatan begitu yakin bahawa Mahathir tidak akan khianati mereka?

Sejarah Parti Semangat 46, serpihan Umno akhirnya terbubar apabila Ku Li kembali semula kepada Umno. Tidaklah mustahil parti milik Mahathir, PPBM pun akan mengikut jejak langkah Parti Semangat 46 dahulu?

Dominasi DAP, Amanah terpinggir

Seperkara lagi yang tidak boleh dikesampingkan ialah dominasi DAP dalam Pakatan. Walaupun pengisytiharan menunjukkan DAP berada pada kedudukan no 3 daripada sudut pengagihan kerusi bertanding tetapi janganlah lupa itu hanyalah kerusi di Semenanjung sahaja.

Masih terdapat 55 kerusi parlimen Sabah dan Sarawak yang belum diumumkan pengagihannya.

Pasti DAP akan mendapat kerusi yang lebih banyak kerana PPBM belum wujud di sana.

Tersilap percaturan, kerajaan yang Pakatan mahu tubuhkan nanti akan bergantung nasib kepada DAP yang didominasi oleh pemimpin yang anti Islam.

Kepada Amanah yang selama ini begitu galak menyerang PAS sepanjang masa, diharapkan dapatlah bersyukur seadanya dengan peruntukan 27 kerusi yang diperuntukkan oleh Pakatan kepada mereka.

Habis madu sepah dibuang.

Hakikatnya, Pakatan kini lebih mencintai PPBM berbanding Amanah yang dipandang tidak ada nilai.

Mungkin Pakatan sendiri gusar untuk memberi kerusi yang banyak, dikhuatiri pemimpin Amanah akan membawa lari lagi kerusi nanti.

PAS, parti yang Amanah keji setiap hari sudah pun menyatakan keazaman untuk bertanding lebih 130 kerusi.

Rakyat akan menentukan samada mereka mahu kekal bersama BN pimpinan PM Najib Razak atau memilih Pakatan untuk kembali di bawah penguasaan Mahathir atau memberi peluang kepada PAS-Gagasan Sejahtera bagi membina semula negara ini.



Syed Ahmad Fadhli adalah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
© all rights reserved
made with by templateszoo