NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MERS-CoV: Elak lawatan ke ladang unta



PUTRAJAYA: Syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah dinasihat tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelakkan risiko jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya mengeluarkan nasihat itu berdasarkan bukti saintifik bahawa unta adalah haiwan pembawa MERS-CoV.

"Perkara ini sudah saya bangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini dan meminta kementerian berkaitan khususnya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkaitan hal ehwal agama untuk memberi nasihat sesuai kepada mereka yang terbabit, sama ada penyedia pakej atau jemaah.

"Maklum balas mereka positif, mereka ambil maklum mengenai perkara ini dan sedang mengambil segala tindakan yang perlu. Secara umum, Kementerian Kesihatan sudah memberi nasihat kepada semua yang mengerjakan umrah, jika boleh jangan pergi ke ladang unta, jangan minum susu atau makan daging unta.

"Bukti saintifik menunjukkan haiwan berkenaan dikesan pembawa penyakit MERS-CoV dan saya harap mereka boleh ambil perhatian dengan mengelakkan lawatan ke ladang unta termasuk elak makan daging dan minum susu haiwan berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan meningkatkan pemeriksaan kesihatan termasuk menjalankan saringan suhu badan di setiap pintu masuk negara terutama lapangan terbang antarabangsa bagi mengelak penularan jangkitan MERS-CoV.

Katanya, pihaknya juga akan memberi nasihat kesihatan kepada orang ramai yang masuk ke Malaysia di semua pintu masuk negara terutama yang mempunyai sejarah perjalanan dari negara yang terbabit jangkitan itu.

Mengenai keadaan seorang jemaah umrah Malaysia yang disahkan dijangkiti MERS-CoV, Dr Subramaniam berkata pesakit itu kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pengesanan serta pemantauan ke atas 70 kontak pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki pesakit sedang dibuat.

"Daripada jumlah itu, 41 kontak rapat yang tiada gejala diletakkan di bawah arahan pengawasan di rumah selama 14 hari dari hari terakhir mereka mempunyai kontak dengan pesakit dan selebihnya negatif MERS-CoV," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata semua fasiliti kesihatan di kawasan terjejas banjir termasuk Pahang, Johor dan Kelantan berada pada tahap baik untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada mereka yang terbabit dan setakat ini tiada laporan penyakit berjangkit akibat banjir dilaporkan. 

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/370434/mers-cov-elak-lawatan-ke-ladang-unta

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo