NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mencari PM selepas Najib!





Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Seperti yang saya tulis dalam kolum Kalam Perantau (Harakah Bil:2313) sebelum ini, sejak lebih 25 tahun lalu dimana tokoh-tokoh atasan Umno ‘dihantui’ oleh satu teori RAHMAN yang tidak diketahui siapa pencipta sebenar atau yang memulakannya tetapi dipopularkan pada zaman 1980-an, awal pentadbiran perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyerahan kuasa oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi Perdana Menteri mulai 3hb April, 2009 telah melengkapkan "teori RAHMAN". Apa yang dinamakan sebagai teori RAHMAN "terjadi secara kebetulan" sahaja dan tiada asas untuk diyakini bulat-bulat.

Mengikut pendukung teori RAHMAN. ini, bakal-bakal PM Malaysia selama enam generasi mulai 1957, adalah dari kalangan mereka yang pangkal namanya terangkum dalam abjad tersebut kecuali Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Mengikut teori ini, terdapat 6 Perdana Menteri mengikut huruf hadapan RAHMAN, iaitu; ‘R’ – Tuanku Abdul Rahman, ‘A’ – Tun Abdul Razak, ‘H’ – Tun Hussein Onn, ‘M’ – Tun Mahathir Mohamad, ‘A’ – Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ‘N’ – Datuk Seri Najib Tun Abd Razak

Dalam tulisan yang ringkas pada kali ini, saya tidak bercadang untuk membincangkan susur galur yang telah berlaku sebelum ini. Apa pun, yang dinamakan teori RAHMAN ini boleh dianggap berjaya sama ada secara kebetulan atau tidak dalam satu usaha mencari bakal Perdana Menteri Malaysia dikalangan Umno sebelum ini.


Perdana Menteri ‘recycle’

Dikalangan pembangkang, kumpulan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diasaskan oleh mantan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah pun menamakan Dr Mahathir (PPBM) sebagai Perdana Menteri Ketujuh selepas Najib dan Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-8 jika PH memenangi PRU ke-14. 

Dalam konvensyen PH baru-baru ini jika mereka menang, Tun Dr Mahathir akan menjadi calon Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah Wah ismail, isteri Anwar yang juga Presiden PKR akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana Anwar masih lagi tidak boleh bergiat dalam politik selepas dijangka keluar dari penjara pada 8hb Jun, 2017. 

Sama ada ianya berlaku atau tidak, terpulang pada rakyat sama ada untuk terima pembangkang menjadi pemerintah dengan ‘recycle’ semula Dr Mahathir yang pernah berkuasa selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat sebelum Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri kelima pada 31hb Oktober, 2003.

Suatu waktu dahulu ketika Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun menjadi Pemangku Perdana Menteri, penyokong Anwar berharap “A” selepas “M” pada “teori RAHMAN” adalah miliknya. Tetapi malangnya, Anwar dipecat pada 2 September, 1998 oleh Mahathir dalam satu konspirasi politik yang cukup memalukan orang Melayu dan kesannya masih lagi terasa.

Kali ini sekali lagi nama Anwar didendangkan untuk menjadi pengganti kepada Perdana Menteri ‘recycle’ yang cukup terkenal dengan pelbagai tindakan yang tidak pernah kekal rakan dan lawan dalam politik percaturan kuasa yang diamalkannya sejak dahlu. Bagi beliau, musuh boleh jadi kawan, kawan pun boleh jadi musuh. Apakah, kali ini tidak mungkinkah pisang berbuah dua kali?

Tidak mungkinkah Anwar akan tertipu lagi sekali seperti Tipah tertipu”? Apa pun persoalan ini kita biarkan ianya berlegar dahulu sebab rakyat pun belum tentu untuk beri undi pada PH bila lihat Mahathir ada disitu, dan mereka pun nok wujudkan PM recycle je sebagai jalan keluar bila terdesak kerana tiada pemimpin baru yang berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri. 

Alternatif kepada kekalutan politik yang berlaku sekarang ini akibat fenomena Najib sebagai Perdana Menteri yang cukup meresahkan rakyat, apa yang dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang agar satu kerajaan Teknokrat diwujudkan pasca Najib sebagai Perdana Menteri sama ada sebelum atau selepas PRU ke-14. 

PAS dan sekutu politinya dalam Gagasan Sejahtera yang melibatkan parti Ikatan, Berjasa, Parti Cinta Malaysia (PCM) bersama ratusan gabungan NGO yang bernaung dibawah Gagasan Sejahtera mampu untuk mendokong dan member penyelasaian kepada rakyat Malaysia bagi membentuk dan mendokong kerajaaan teknokrat.

Saya pun tidak bercadang untuk memanjangkan lagi tentang kerajaan teknokrat ini dalam tulisan kali ini. Bolehlah baca tulisan tentang ini dalam beberapa siri tulisan saya sebelum ini. Jika ada keperluan, dalam siri yang lain saya akan tulis tentang hal ini.


Muncul Teori HAMKA atau MAHA?


Berbalik semula kepada pencarian Perdana Menteri selepas Najib ni, saya tertarik kepada tulisan Datuk Ruhanie Ahmad, mantan Setaiusaha Politik Tun Musa Hitam yang menulis tentang teori HAMKA pula pada tahun April 2009 selepas Najib menjadi Perdana Menteri dan berakhirnya teori RAHMAN ini.

Ruhanie dalam blognya, Kudang Kepang pada 5hb April 2009 ada menyebut, mungkin muncul pihak yang akan mengemukakan teori-teori lain bagi meramalkan siapakah PM Malaysia di masa akan datang? Mungkinkah muncul teori HAMKA – H=Hishamuddin. A=Ahmad Zahid Hamidi. M=Mukhiz. K=Khairy. A=?????

Saya tidak pasti apakah beliau serius dengan pandangan ini atau sekadar suka-suka sahaja? Itu pun jika Umno dan BN masih lagi menjadi tunjang kepada politik negara ini. Jika apa yag dirancang oleh PH untuk PRU ke-14 menjadi kenyataan maka teori HAMKA ini akan tertolak dengan sendiri.

Dengan Mahathir sebagai PM ‘recycle’, tidak mustahil wujud pula teori MAHA dan selepas itu Anwar menjadi Perdana Menteri jika tidak dikhianati sekali lagi. Atau tidak mustahil ‘A’ tersebut menjadi milik Azmin Ali, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR yang juga anak angkat Mahathir. Jika bukan Mahathir PM recycle, teori ini juga tertolak. 

Malah ada yang menyebut, tidak mustahil berlaku pusingan ke2 teori RAHMAN ini bersandarkan kepada Yang Dipertuan Agong yang pertama dahulu pun namanya Tuanku Abdul Rahman juga. Jadi pada mereka, teori RAHMAN tersebut adalah dua pusingan atau berkembar.

Ramalan mungkin hanyalah sekadar ramalan sahaja. Kebetulan mungkin sekadar kebetulan jua. Jangan kita lupa bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah SWT. Pegangan kita, bahawa semua peristiwa yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Sebab itu umat Islam mesti beriman kepada Qada dan Qadar.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo