NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memali: PAS mahukan RCI, tempelak Dr Mahathir salahkan mufti


Biarkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas buat kerja, siasat betul-betul siapa yang bertanggungjawab - Datuk Dr. Mahfodz Mohamed,  Ketua Dewan Ulama PAS


KUALA LUMPUR 1 Jan. – PAS mengulangi desakan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi merungkai kebenaran di sebalik tragedi Memali yang pada hari ini dipolitikkan oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi. 

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, daripada terus menun­ding jari siapa yang bertanggungjawab menyebabkan 18 nyawa terkorban dalam tragedi hitam pada tahun 1985 itu, lebih baik ditubuhkan RCI supaya siasatan dapat dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Sebab itu, PAS bersetuju apabila ada pihak yang mencadangkan RCI ditubuhkan bagi siasat semula kes Memali ini. PAS sokong penuh. 

“Biarkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas buat kerja, siasat betul-betul siapa yang bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabtu lalu mencipta kontroversi baharu mengenai tragedi Memali apabila menyalahkan mufti kerana tidak menghalang amanat dikeluarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 sehingga mencetuskan kejadian tersebut. 

Tragedi Memali di Baling pada 19 November 1985 memalitkan catatan hitam apabila 18 nyawa terkorban dan ketika banyak pihak menuding perkara itu ke atas bahu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika kejadian itu, beliau bertindak menyalahkan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam. 

Mengulas lanjut, Mahfodz menyelar tindakan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM kerana cuba meletakkan pula kesalahan itu di atas bahu para mufti. 

Sebaliknya, kata Mahfodz, sebagai pemimpin negara ketika berlakunya tragedi berdarah itu, Dr. Mahathir merupakan individu bertanggungjawab ke­rana percaya setiap arahan datang dari beliau. 

“Amanat Haji Hadi (Abdul Hadi) dikeluarkan ketika itu sesuai dengan waktunya kerana UMNO di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir waktu itu amat teruk, anti-Islam. 

“Sekarang pendekatan kita berubah terhadap UMNO sebab parti itu hari ini tidak macam UMNO bawah Dr. Mahathir dulu, bila kita beri penerangan hari ini, Alhamdulillah sedikit sebanyak diterima. Kalau dulu, asal Islam sahaja ditentang,” jelas beliau. 


Naib Presiden PAS Idris Ahmad juga menyuarakan desakan serupa apabila menyeru supaya RCI menyiasat tragedi Memali diwujudkan. 

“Biar RCI siasat, tidak tahu beliau (Dr. Mahathir) nak salahkan siapa pula esok. Sama ada beliau nak jawab tidak tahu, itu terpulang kepada beliau,” ujarnya. 

Idris juga secara sinis menyindir Dr. Mahathir apabila memberitahu bekas pemimpin negara itu telah melawan mufti ketika menjadi Perdana Menteri lagi. 

© all rights reserved
made with by templateszoo