Mahathir Berjaya Tewaskan Anwar Sekali Lagi


KUALA LUMPUR – Kejayaan terbesar Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan bukan kerana berjaya melobi pimpinan tertinggi pakatan pembangkang supaya ‘angkat’ beliau sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata, kejayaan sebenar Mahathir dalam Pakatan Harapan adalah terus berjaya menumpaskan pencabar terkuatnya yang beliau sendiri pernah penjarakan satu waktu dahulu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kejayaan besar lain Mahathir selepas menyertai Pakatan Harapan adalah memastikan pakatan pembangkang melupakan tonik keramat ‘reformasi’ Anwar yang merupakan simbol penentangan keatasnya sejak tahun 1998.

“Kejayaan Mahathir apabila mereka (pakatan pembangkang) mampu untuk terus ditipu dengan taubat palsu yang bersalut keangkuhan. Kejayaan Mahathir hari ini adalah menghilangkan ketajaman perseteruannya dengan DAP yang dimusuhinya.

“Kejayaan Mahathir hari ini ialah membenam Parti Amanah Negara (PAN) ke dalam lumpur. DAP menyucuk hidung PAN lalu membiarkan Mahathir menariknya ke kubang lumpur. Berkubanglah di situ dengan penuh amanah kepada tuan yang melahirkanmu..,” katanya lagi dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mahathir yang diketahui memiliki dana yang besar berjaya mengangkat dirinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas menyertai gabungan parti pembangkang tersebut.

Beliau seterusnya berjaya melobi pimpinan tertinggi Pakatan Harapan supaya dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU Ke-14 walaupun perkara itu dibantah penyokong pembangkang.

Pencalonan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sekali gus mengenepikan dan menidakkan peluang ramai pemimpin lain yang telah bertahun-tahun bersama pembangkang.

“Itulah kejayaan Mahathir, mengulangi kejayaannya dulu menubuhkan UMNO Baru untuk mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah. Dia meninggalkan UMNO untuk mengalahkan Pak Lah. 
Dia menubuhkan PPBM untuk mengalahkan Najib. Aksi terbaiknya kini ialah memenjarakan Anwar di dalam dan memenjarakan pengikutnya di dalam jeriji telunjuknya di luar. What a Kajang kick!!,” kata Nik Mohamad Abduh.

Nik Mohamad Abduh seterusnya mengingatkan Mahathir adalah punca kepada kerosakan negara disebabkan keangkuhan dan pemerintahan kuku besinya selama lebih 20 tahun sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, Mahathir namun akhirnya mengalami kegagalan untuk terus mengemudi lalu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan meninggalkan Malaysia dalam kesakitan dan kelesuan.

Beliau turut mengingatkan negeri Kelantan dibina lebih 20 tahun lalu di bawah tekanan tinggi dan serangan bertalu-talu tanpa balas kasihan Mahathir.

“Kelantan disisihkan dengan kebencian dan dendam kesumat seorang diktator yang tidak mampu melihat keupayaan orang lain turut membangunkan negeri dan negara,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan turut menggelar Mahathir sebagai bapa kepada segala penyamun dan melabelkan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sebagai firaun dan diktator yang menzalami rakyat.

Ramai daripada mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli bagaimanapun membuat pusingan U menyanjungi Mahathir hanya selepas beberapa bulan tokoh korporat dan politik kaya itu menyertai Pakatan Harapan.

Perubahan mendadak pendirian pimpinan tertinggi Pakatan Harapan keatas Mahathir itu mengelirukan sebilangan besar penyokong pembangkang dan tiada penjelasan yang rasional mengenainya dibuat hingga hari ini. – MYNEWSHUB.CC
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget