MACSA Sokong Pindaan Akta Kerja 1955



Kuala Lumpur: Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) menyokong kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang mahu meminda Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja berikutan isu larangan pemakaian tudung yang dikenakan terhadap sesetengah pekerja Muslimah, khususnya oleh majikan di sektor perhotelan di negara ini.
 “Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) mengalu-alukan dan menyokong kenyataan oleh Kementerian Sumber Manusia bertarikh 13 Januari 2018 berkenaan Akta Kerja 1955 yang akan dipinda bagi menangani diskriminasi di tempat kerja.” 

Menurut MACSA dalam satu kenyataan rasmi, pihak kementerian perlu menyoroti isu diskriminasi ini secara menyeluruh agar tiada hak asasi pekerja yang dinafikan selepas ini. 

“MACSA menggesa agar dalam merangka pindaan terhadap Akta Kerja 1955, pihak kementerian perlu menyoroti isu diskriminasi ini secara holistik dan menyeluruh, meliputi hak-hak wanita hamil, serta hak-hak beragama dan beribadah para pekerja yang ingin melaksanakan kewajipan beragama mereka.”

 “Hubungan kontraktual di antara pekerja dengan majikan tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan hak-hak asasi ini, kerana hak untuk beragama dan untuk tidak didiskriminasi secara salah, bukanlah perkara remeh yang boleh dikecualikan terhadap sesiapa.” 

Tambah MACSA lagi, klausa yang menghalang wanita untuk bertudung dan hamil juga perlu dimasukkan sekali dalam pindaan tersebut. 

“Perlu dimasukkan ke dalam pindaan tersebut suatu peruntukan melarang dimasukkan secara ekspresif ke dalam mana-mana kontrak pekerjaan, klausa yang menghalang wanita untuk bertudung dan hamil.” Kata MACSA lagi, isu diskriminasi di tempat kerja sebenarnya berlaku kepada pekerja tanpa mengira jantina. 

“MACSA juga ingin mengingatkan bahawa isu diskriminasi di tempat kerja tidak terhad hanya semata-mata kepada pekerja wanita. Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, sebelum ini telah dilaporkan pada 17 November 2017 sebagai berkata bahawa pihaknya ada menerima aduan mengenai larangan pekerja lelaki di kilang daripada menunaikan solat Jumaat.” 

Selain itu, MACSA berharap agar para pekerja yang terbabit dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan isu ini dilibatkan sekali dalam mesyuarat merangka pindaan larangan diskriminasi tersebut. 

“MACSA juga menggesa agar mesyuarat merangka pindaan larangan diskriminasi di tempat kerja di bawah Akta Kerja 1955 tersebut akan turut melibatkan pekerja-pekerja yang terbabit dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan isu ini, bagi memastikan pihak-pihak yang berkepentingan dapat memberikan input dan sumbang-saran, sebelum pindaan tersebut dimuktamadkan.” 

Beberapa bulan yang lepas, umat Islam Malaysia dikejutkan dengan aduan daripada pekerja hotel wanita Muslim yang didiskriminasi apabila mereka dilarang memakai tudung sewaktu bekerja. Namun, Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee mendakwa bahawa ianya bukan satu diskriminasi kerana setiap hotel mempunyai polisi masing-masing.

Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget