NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan Kes Indira: Ada Yang Gembira dan Ada Yang Berduka?


oleh: Syed Ahmad Fadhli
1. Semalam, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan penamat bagi kes Indira Gandhi yang menuntut pembatalan pengislaman 3 orang anaknya iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinish (11 tahun) dan Prasana Diksa (11 bulan). Ini adalah umur anak-anak tersebut ketika permohonan semakan kehakiman dibuat oleh Indira pada 9 Jun 2009.

Bekas suami Indira, Muhammad Riduan (nama lamanya Pathmanathan) telah memeluk Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian, pada 02 April 2009 Muhammad Riduan secara unilateral mengIslamkan kesemua anaknya tanpa keizinan si ibu yang masih beragama Hindu.

Tindakan ini menyebabkan si ibu, Indira memohon kepada Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan status pengislaman anak-anaknya itu.

Kes ini berlarutan daripada tahun 2009 sehinggalah ia mencapai kemuncak penamatnya pada 29 Januari 2018.

2. Kita perlu akui kes ini sememangnya ada perkaitan dengan pertembungan antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada si ibu, Indira manakala Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan kekal kepada si ayah, Muhammad Riduan.

Keadaan kes menjadi lebih rumit apabila Muhammad Riduan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana dia gagal menyerahkan Prasana Diksa (anak bongsu) kepada ibunya.


Semenjak pada itu, Muhammad Riduan dan anak bongsunya gagal dikesan oleh pihak polis sehingga ke hari ini.

3. Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam sememangnya dinantikan oleh banyak pihak khususnya mereka yang menentang 'unilateral conversion' iaitu penukaran agama secara sebelah pihak.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara bahawa pengislaman 3 anak tersebut adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
Mereka mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Empat lagi hakim yang membuat keputusan tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali.

4. Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan yang berbeza dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Disember 2007 dalam kes Subashini di mana pada ketika itu mahkamah menetapkan bahawa perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada ibu atau bapa (mana-mana seorang), dan tidak semestinya kedua-dua ibu dan bapa bersekalian.
Panel Hakim Mahkamah Persekutuan pada ketika itu membuat keputusan secara majoriti 2-1.

Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang mengetuai panel tersebut memutuskan bahawa Muhammad Shafi tidak menyalahgunakan proses mahkamah apabila menukar agama anaknya yang berusia empat tahun itu tanpa pengetahuan ibunya. Menurutnya, mengikut undang-undang Islam, hanya seorang sahaja - ibu atau bapa - mesti dimaklumkan mengenainya pertukaran agama anak tersebut.

5. Impak daripada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam adalah bersifat jangka masa panjang kerana ia mempunyai 'prospective effect' yang akan menjadi rujukan, panduan dan ikutan mahkamah untuk kes-kes baru yang akan datang.

6. Selain pada itu, pihak Kerajaan pastinya akan menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuaan semalam sebagai alasan untuk meneruskan kembali niat yang tertangguh sebelum ini iaitu memasukkan Seksyen 88 A dalam pindaan Akta 164 yang mensyaratkan pengIslaman anak Muallaf hendaklah mendapat persetujuan bersama ibu dan bapa.

7. Bukan itu sahaja, yang lebih parah lagi apabila pihak yang memperjuangkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular sememangnya meraikan keputusan yang berani ini.
Mereka tidak mahu melihat Islam menjadi teras negara dan Mahkamah Syariah diangkat martabatnya setaraf dengan Mahkamah Sivil.

8. Disenaraikan di sini pihak yang bergembira dan yang berduka dengan keputusan semalam untuk sama-sama kita nilai dengan jiwa dan iman.

a) Retired Federal Court judge Gopal Sri Ram: lauded the “brilliant” judgment

b) Former Bar Council president Ambiga Sreenevasan: Indira Gandhi court ruling ‘courageous’

c) Bersih 2.0 chairman Maria Chin Abdullah: Fantastic decision at Federal Court on Indira Gandhi’s case!

d) Datuk Zaid Ibrahim: welcomed the court ruling, calling it a courageous decision.

e) Hindraf chairman P . Waytha Moorthy: Justice finally

f) Lawyer and activist Siti Kasim: Our learned judges are simply brilliant!!!

g) Lawyers for Liberty executive director Eric Paulsen and Lawyer Azhar Harun: whether the authorities would follow through with the ruling

h) Sarawak PKR chairman Baru Bian: It is a clear and cogent judgment

i) The Centre for A Better Tomorrow (CenBet): applauded the Federal Court's bold decision

j) NGO Bebas: Religious authorities must Heed Federal Court ruling

k) The Malaysian Consultative Council on Buddhism, Christianity, Sikhism and Taoism: wants Putrajaya to expedite the reconversion of Ms Gandhi’s three children from Islam to their original religion.

l) Chairman of the Association of Churches in Sarawak (ACS): Justin Wan welcomed the decision as “the right and truthful thing to do”.

m) The Women’s Aid Organisation (WAO): hailed the judgement, calling it a “huge victory for all Malaysians”.

n) The United Nations Children’s Fund (Unicef): hailed the Federal Court’s declaration

Begitulah senarai panjang yang bergembira dengan keputusan semalam.

Di pihak Kerajaan pula, MCA dan MIC turut menyambut baik keputusan tersebut.

Amat malang sekali, terdapat 2 orang pemimpin UMNO yang bergelar Menteri turut bergembira dengan keputusan ini iaitu
Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata ia adalah kemenangan buat Islam dan rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata dia akan membawa hal ini untuk perhatian jemaah menteri dan semestinya ia berkait rapat dengan Seksyen 88 A pindaan Akta 164 yang ditarik balik sebelum ini.

9. Antara pihak yang berduka dan menyuarakan kebimbangan berkenaan impak keputusan Mahkamah Persekutuan semalam ialah;

a) Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak

b) Datuk Seri Abdul Rahman Osman, Mufti Pahang

c) Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

d) Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

e) YB Nasrudin bin Hassan, Ketua Penerangan PAS

f) Hassan Basri Muhammad, Naib Presiden PERKASA

g) Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM

10) Jikalau kita perhatikan dengan betul-betul, pihak yang bergembira dengan keputusan semalam ialah kelompok yang begitu lantang menentang usaha PAS untuk meminda Akta 355 bagi memartabatkan Mahkamah Syariah.
Mereka walaupun berbeza individu dan kumpulan tetapi masih boleh seiring bersepadu memperjuangkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan menentang sebarang usaha Islamisasi.

Inilah perjuangan pahit-getir yang dialami PAS demi memartabatkan Islam di tanah air ini.

11) Jikalau sesiapa masih ingat, pada sidang Parlimen tahun 2017 ketika pindaan Akta 164 dibentangkan oleh Kerajaan BN, hanya Ahli Parlimen PAS sahaja yang berani mengundi menentangnya tatkala parti-parti PH menyokong sepenuhnya usaha BN-UMNO ketika itu.

Walaupun diperlekeh, Ahli Parlimen PAS tetap berjuang menentang sehingga ke akhirnya kerana tahu impak daripada pindaan itu amatlah besar. Demi meraih undi, kerajaan akan tunduk kepada desakan pihak bukan Islam agar akidah anak Muallaf tidak dapat diselamatkan lagi.

PAS tetap teguh istiqamah mempertahankan hak Muallaf untuk beramal dengan Islam yang merupakan agama Persekutuan Malaysia.


Syed Ahmad Fadhli adalah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo