NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr. Mahathir berangan-angan di pulau fantasi buatan sendiri?




oleh: Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat hasrat Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua dengan mendambakan sokongan DAP, umpama berangan-angan di Pulau Fantasi buatan sendiri. Dengan mengambil kira realiti politik Malaysia, seseorang politikus atau sesebuah parti yang mahu mendapat mandat membentuk kerajaan mestilah mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.

Berdasarkan situasi semasa, sokongan majoriti pengundi Melayu hanya datang melalui dua parti terbesar Melayu, iaitu UMNO atau PAS. DAP dan parti-parti komponen PH yang lain termasuk PPBM, diyakini tidak mampu menarik sokongan majoriti pengundi Melayu sebagaimana yang terbukti dalam keputusan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, justeru hasrat Dr Mahathir sukar dicapai.

PPP berpendirian, pandangan Dr Mahathir yang cuba memperlekehkan kenyataan Presiden PAS tentang hasrat PAS untuk membentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan selepas PRU 14 nanti, menandakan dia sudah menutup pintu untuk mendapatkan sokongan PAS sekiranya beliau memperolehi kurang kerusi bagi membentuk majoriti mudah di parlimen nanti.

Dr Mahathir seharusnya menyedari dalam senario pertandingan tiga penjuru atau lebih seperti yang bakal berlaku, sukar untuk mana-mana parti atau gabungan politik memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. Dalam konteks global, keputusan seperti ini kerap berlaku mutakhir ini termasuk di United Kingdom, yang dahulu lebih dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem dua parti.

Sekiranya keputusan ini terhasil selepas PRU 14 nanti, apabila gabungan BN, GAGASAN (PAS) atau PH masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan, melainkan bergabung dengan gabungan yang lain, maka sikap angkuh Dr Mahathir ini menandakan beliau sudah tutup pintu dengan PAS. Dengan sikap beliau menutup pintu ini, cita-citanya untuk kembali menjadi PM akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin pula.

Sehingga setakat ini PAS belum menetapkan apa-apa keputusan, jika situasi 'hung parliament' berlaku, adakah PAS akan bersama BN atau PH untuk membentuk kerajaan campuran atau PAS akan terus menjadi pembangkang yang kuat di parlimen. Dengan sikap bongkak Dr Mahathir ini, maka pilihan yang tinggal kepada PAS hanya tinggal dua sahaja, terus kekal menjadi pembangkang utama atau membentuk kerajaan campuran dengan BN. 

Oleh sebab itu, sasaran minima PAS untuk memenangi 40 kerusi ini jangan diperkecilkan. Di samping itu, dengan bertanding 130 kerusi PAS akan terus berusaha membuat keputusan upset sehingga memungkinkan PAS boleh mencapai jumlah kerusi majoriti mudah di parlimen. Kedua-dua situasi membolehkan PAS membentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan selepas PRU 14 nanti, justeru ia bukanlah angan-angan Mat Jenin seperti yang didakwa.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah Pengarah Penyelidikan PAS Pusat

25 Januari 2018
8 Jamadilawal 1438
© all rights reserved
made with by templateszoo