NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dong Zong mula mengganas kembali



1.       Saya selaku Pengerusi Kluster Pendidikan, MAJLIS AMAL ISLAMI MALAYSIA (MAIM) merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 23 Januari 2018 bertajuk  “Dong Zong Minta 34 Sekolah Baharu”  (http://www.sinarharian.com.my/nasional/dong-zong-minta-34-sekolah-baharu-1.787721).

2.       Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), Datuk Vincent Lau dilaporkan berkata jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebelum ini masih belum mencukupi walaupun kerajaan telah meluluskan 10 sekolah rendah Cina baharu dan memindahkan enam sekolah rendah Cina. Inilah dikatakan beri betis nak peha pula. Ibarat burung terbang dipipiskan lada dan ibarat belum duduk sudah berlunjur. Dong Zong mengharapkan sesuatu yang belum tentu, barang yang tersedia hendak dilepaskan. Apakah Dong Zong berterima kasih kepada kerajaan? Hmmm...

3.       Puak-puak ini sepatutnya tidak diberi muka. Dong Zong adalah perwakilan puak-puak chauvinis dan opportunis yang cuba mengambil kesempatan dan tuntutan mereka boleh dilihat sebagai menangguk di air keruh memandangkan PRU14 sudah semakin hampir. Tuntutan ini juga boleh dilihat sebagai satu ugutan kepada kerajaan menjelang PRU14.

4.       Dong Zong berbohong apabila berkata negara kita memerlukan sekurang-kurangnya 34 sekolah rendah Cina baharu bagi memenuhi permintaan rakyat khususnya masyarakat Cina. Kenapa dikatakan mereka berbohong? Ini adalah kerana sekolah jenis kebangsaan sedia ada boleh menampung semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kenapa masih mahu SJKC sedangkan ia membawa kepada polarisasi kaum.

5.       Dong Zong juga berbohong apabila mereka menyatakan bahawa penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan produk SJKC adalah baik. Ini adalah tidak benar kerana kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu (bahasa kebangsaan) dan juga kurang boleh berkomunikasi serta menulis dengan baik. Mereka juga tidak berpeluang untuk berinteraksi, berkomunikasi dan bergaul dengan bangsa-bangsa lain. Apatah lagi nak bermuafakat atau bersatu padu.

6.       Cuba tanya pelajar  pelajar Cina apa maksud kutub khanah. Cuma minta mereka huraikan apa maksud feminisme. Cuba minta mereka tulis karangan mengenai “Sistem Kongsi” dan “Sistem Kangani” jika benar produk SJKC yang bukan daripada sistem pendidikan arus perdana betul-betul menguasai bahasa Melayu.

7.       Berdasarkan beberapa kajian, pelajar Cina yang mendapat pendidikan Sekolah Kebangsaan dan pendidikan Inggeris, lebih mudah bergaul dengan etnik Melayu berbanding dengan para pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Shamsul Amri, 2012).

8.  Tidakkah cukup dengan 1300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara? Kerajaan telah pening kepala dengan isu tuntutan SJKC ini. Mereka memberikan lebih banyak racun kepada kerajaan.

9.       Vincent Lau juga dilaporkan memaklumkan kepada akhbar Cina Oriental Daily: "Apabila PRU hampir menjelang tiba, kerajaan pun terus umum bina sekolah rendah Cina. Jangan membiarkan rancangan bina sekolah ini dijadikan sebagai isu politik" dengan merujuk kepada 10 sekolah yang diluluskan kerajaan, lima masing-masing terletak di Selangor dan Johor; manakala enam sekolah yang terlibat dalam pemindahan adalah di Johor (2), Selangor (2), Negeri Sembilan (1) dan Kuantan (1).

10.   Bukankah lebih elok jika Dong Zong berterima kasih kepada kerajaan dari mempolitikkan isu ini. Siapa sebenarnya yang berpolitik? Kemudiannya Dong Zong mempersalahkan kerajaan apabila mereka berkata  “...hasil kajian yang dilakukan Dong Zong mendapati kesemua lokasi berkenaan bukanlah kawasan yang memerlukan sekolah rendah Cina”. Berbudi bahasa sungguh Dong Zong ini!

11.   Kita berasa sungguh hairan kenapa Dong Zong tidak mahu anak-anak Cina belajar dan bergaul bersama-sama di sekolah kebangsaan. Hebat sangatkah anak-anak Cina ini? Bukankah perpaduan dan integrasi nasional perlu dipupuk pada peringkat pendidikan rendah dan menengah? Bilakah kita akan mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang tulen jika Dong Zong masih berdegil sebegini?

12.   Kita juga risau dengan perbelanjaan pembinaan SJKC ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini tiada siapa yang pernah cabar hal ini di mahkamah. Apakah hak-hak Bumiputera telah diperjuangkan sepenuhnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?


Sekian.



DR. AMINI AMIR ABDULLAH
23 Januari 2018 (Selasa)


________________________
Dr. Amini Amir Abdullah adalah  PENGERUSI KLUSTER PENDIDIKAN, MAJLIS AMAL ISLAMI MALAYSIA (MAIM)YADIM


© all rights reserved
made with by templateszoo