NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Betul ke pengundi Cina tetap tolak BN?


Oleh Kadir Dikoh(kadiro@bh.com.my)

Apabila memperkatakan mengenai pilihan raya umum (PRU), yang kedengaran gelisah dan resah pasal jumlah kerusi untuk ditandingi dan ramalan sekian banyak kerusi untuk dimenangi ialah yang membabitkan kerusi dan parti berasaskan Bumiputera/Melayu - tidak kira sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Kurang kedengaran ialah mengenai kerusi majoriti kaum Cina dan parti yang berasaskan kaum itu, sama ada di pihak BN seperti MCA, GERAKAN termasuk parti kaum Cina di Sabah dan Sarawak atau di pihak pembangkang terutama DAP. Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa kesemua 55 kerusi Parlimen yang majoritinya pengundi Cina, bagaikan 'terkunci' dalam genggaman DAP sehinggakan DAP meramalkan untuk menang sekurang-kurangnya 50 kerusi pada PRU-14 nanti. Betul ke?

Sejak 2008, DAP sudah melaungkan mengenai tsunami Cina dan bagaimana kira-kira 90 peratus pengundi Cina memilih DAP selain mendakwa kemenangan besar PAS dan PKR turut disumbang oleh pengundi Cina. Bila DAP menutup Pakatan Rakyat dan menubuhkan Pakatan Harapan (tanpa PAS), DAP mendakwa PAS bakal terkubur pada PRU-14 sebab tiada satu undi Cina akan memangkah PAS. Menurut DAP, PAS menang banyak kerusi pada PRU 2008 dan 20013, disebabkan undi Cina. Pendapat itu tidak diterima oleh PAS.

Kerana terlalu yakin untuk menang besar sehingga 55 kerusi, menyebabkan DAP mengharapkan rakan lain seperti PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyumbang 60 kerusi, menjadikan jumlahnya 115 kerusi Parlimen bagi membolehkan gabungan pembangkang menguasai Putrajaya dengan majoriti mudah melebihi 112 kerusi.

Menyedari hakikat inilah DAP sanggup gabungan pembangkang diketuai orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail. Setelah PRU-13, DAP kini ada 38 kerusi Parlimen, MCA 7 dan GERAKAN 2. Apakah dua parti komponen BN yang mewakili suara masyarakat Cina ini cuma berpeluk tubuh?

Jika benar pengundi Cina masih menolak BN sejak PRU-13, mengapa DAP kecundang dan gagal mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu kuatnya dalam pilihan negeri Sarawak pada Mei tahun lalu? Kira-kira 10 peratus pengundi Cina beralih angin menyokong BN di Sarawak. Kajian lanjut perlu dibuat dan mesti ada sesuatu 'senjata sulit' yang boleh mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN. Oleh itu, MCA dan GERAKAN mungkin perlu 'belajar' daripada rakannya, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Jika MCA dan GERAKAN boleh kembali menyengat untuk meyakinkan pengundi Cina, tiada masalah besar untuk BN mempertahankan Putrajaya ketika undi Melayu dikatakan akan berpecah dua atau tiga. MCA kini bukan lagi parti kedua terbesar dalam BN selepas UMNO (86 kerusi), dan tempat itu diambil alih oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang mempunyai 14 kerusi Parlimen.
© all rights reserved
made with by templateszoo