Berfikir Gaya Mahathir





Dua puluh tahun dahulu, kalau saya katakan Mahathir akan bersama DAP dan Lim Kit Siang, pasti anda akan kata saya gila. Semua orang tahu macam mana bermusuhnya Mahathir dan Kit Siang. Kalah anjing dan kucing.

Sepuluh tahun dahulu, kalau saya katakan Mahathir akan Bersama Anwar dan Mat Sabu, pasti anda katakan saya naif. Semua orang tak boleh fikir macam mana orang yang pernah sumbat kedua ini dalam penjara boleh dimaafkan.

Tapi sekarang, siapa gila? Siapa naif?

Itulah dia Mahathir. Sangat licik berpolitik. Bab ini saya memang akui dia hebat. Musuh politiknya ditundukkan dengan cara yang tidak pernah terjangkau akal. Setakat sejarah Malaysia, belum ada ahli politik yang boleh mengalahkan Mahathir.

Sampai sekarang, kelicikannya masih belum pudar. Orang susah membaca langkah gerinya. Setiap kenyataannya diperhatikan. Setiap tingkah buatnya diteliti. Dia sentiasa berubah-ubah. Membuatkan orang sentiasa tertanya-tanya apa langkah politik Mahathir seterusnya?

Mari kita kaji serba sedikit tentang langkah politik beliau.

DIPECAT UMNO ZAMAN TUNKU

Pada PRU 1969, prestasi Umno dan parti komponen perikatan MCA dan MIC merudum teruk di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Mereka hanya memperoleh 74 kerusi daripada 144 yang dipertandingkan. Kerajaan terbentuk hasil majoriti yang sangat goyah iaitu 51% sahaja.

Dengan kedudukan Umno itu, beliau bimbang Umno akan jatuh bila-bila masa sahaja. Jika Umno jatuh, segala perancangan membina empayar politik dalam Umno dan kerajaan akan musnah. Justeru dia harus berbuat sesuatu.

Ketika itu Mahathir lantang mengkritik kepimpinan Tunku secara terbuka, dan pernah mengutuskan surat mendesak Tunku melepaskan jawatan sebagai PM. Tunku bertindak balas memecat Mahathir, tetapi Mahathir menumpang pentas PAS bagi terus menyerang Tunku. Beliau turut berpakat dengan Tun Abdul Razak.

Akhirnya atas tekanan yang dirancang pakatan Mahathir-Tun Razak, Tunku terpaksa meletakkan jawatan. Tun Razak naik sebagai pengganti.

Setelah rancangan menurunkan Tunku berjaya, Mahathir memohon untuk masuk kembali kepada Umno. Di bawah kepimpinan Tun Razak, dan dibantu faktor penyertaan PAS dalam kerajaan, Umno kembali mendapat kepercayaan dan menang besar untuk PRU 1974.

RANCANGAN MENYINGKIR TUN HUSSEIN ONN

Tun Hussein Onn menaiki takhta PM pada tahun 1976 menggantikan Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Tun Hussein sebenarnya lebih tua daripada Tun Abdul Razak, dan tidak pernah bermimpi untuk menjadi PM. Namun kuasa tuhan, Tun Razak meninggal lebih awal dan beliau berpeluang menjadi PM.

Ramai yang berpendapat bahawa Tun  Hussein meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan. Tetapi sumber dalaman mengatakan ianya adalah disebabkan tekanan kuat daripada Mahathir yang menjadi Timbalan Perdana Menteri waktu itu. Beliau mahu menjadi PM, lalu menggunakan kes pemecatan MB Selangor, Harun Idris yang terlibat dengan rasuah sebagai isu untuk menjatuhkan Hussein Onn.

Pada tahun 1981, Tun Hussein meletak jawatan dan Mahathir berjaya mencapai cita-cita menjadi PM. Angkara Mahathir, Tun Hussein direkodkan sebagai PM paling singkat dalam sejarah.

Namun Tun Hussein dan Tunku Abdul Rahman tidak membiarkan Mahathir begitu sahaja. Pada tahun 1987, mereka bersama team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah menentang Mahathir dalam pemilihan Umno. Team ini mendapat sokongan yang kuat diperingkat akar umbi Umno dan diyakini mampu mengalahkan Team A.

✳ UMNO DIHARAMKAN DAN KETUA HAKIM DIPECAT

Mahathir sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kedudukannya. Dengan memanipulasi proses pemilihan, team A yang dipimpin Mahathir menang dalam pemilihan Umno 1987. Semua team B disingkirkan dari kerajaan.

Team B yang dikenali sebagai Umno 11 membuat aduan penipuan Mahathir dalam pemilihan yang akhirnya membawa kepada pengharaman Umno tahun 1988. Mahathir terus menubuhkan Umno Baru menggunakan logo, bendera, aset dan perlembagaan Umno lama. Dengan Umno Baru, kuasa Mahathir semakin kukuh.

Tunku dan Tun cuba menubuhkan Umno Malaysia, tetapi dibatalkan oleh Mahathir dengan penubuhan Umno Baru. Tidak berpuashati, mereka menubuhkan pula parti Melayu Semangat 46, mengambil nama sempena penubuhan Umno 1946. Tetapi Semangat 46 gagal menyaingi politik Mahathir dan akhirnya akur untuk masuk Umno Baru.

Mereka sebelum itu cuba membuat rayuan ke mahkamah soal pengharaman Umno dan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas telah melantik panel hakim untuk meneliti kes ini. Malangnya Mahathir menggunakan kuasa untuk menggantung seterusnya memecat Tun Salleh Abas daripada jawatan, menyebabkan rayuan itu tidak dibicarakan. Demi kuasa, Mahathir sanggup mencabar demokrasi negara dengan campurtangan politik terhadap institusi kehakiman.

 MAHATHIR KELUAR UMNO ZAMAN PAK LAH

PRU 2008 memperlihatkan BN berada pada prestasi terburuk apabila kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan gagal mempertahankan lima buah negeri. Mahathir merasakan jika dibiarkan berlarutan, Umno pasti akan kecundang dalam PRU seterusnya.

Jika Umno jatuh, Mahathir juga akan beroleh sakit. Banyak kes-kes beliau akan diheret ke muka pengadilan dan empayar keluarganya hancur. Justeru ia tidak boleh dibiarkan.

Mahathir mula menyerang kepimpinan Tun Abdullah Badawi secara terbuka. Kemuncaknya, Mahathir mengisytiharkan diri keluar daripada Umno. Beliau terus menyerang Tun Abdullah menyebabkan ahli Umno mula hilang kepercayaan pada PM itu.

Akhirnya Tun Abdullah mengalah. Beliau meletakkan jawatan dan digantikan oleh Najib. Itu merupakan rancangan Mahathir kerana Najib merupakan orang kepercayaan beliau pada waktu itu.

Turunnya Tun Abdullah bermakna misi menyelamatkan Umno berjaya. Beliau pun mengisytiharkan diri kembali menyertai Umno.

MAHATHIR BUAT LAGI ZAMAN NAJIB

Mahathir menjadi antara pengempen kuat BN dalam PRU13. Tetapi keputusan, BN di bawah kepimpinan Najib tidak berjaya memulihkan sokongan kepada Umno. Malah majoriti semakin menurun.

Mahathir terpaksa melakukan sesuatu demi menyelamatkan Umno. Najib tidak mampu membawa Umno ke depan. Jadi Najib mesti ditukar.

Mahathir menggunakan taktik sama terhadap Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah, dengan mengkritik kepimpinan Najib. Kemuncaknya, Mahathir keluar daripada Umno.

PLAN TIDAK MENJADI

Mahathir menjangkakan tindakan beliau itu bakal menjadi tekanan buat Najib supaya turun. Malangnya perkara tersebut tidak berlaku. Najib mengambil langkah mencantas orang-orang Mahathir di dalam Umno termasuk kroni-kroninya yang selama ini menjadi penyumbang dana Umno.

Mahathir tidak mengalah. Beliau tubuh parti baru. Tarik seberapa ramai ahli Umno untuk bersamanya. Beliau cuba berpakat dengan pembangkang, untuk terus memberi tekanan kepada Najib supaya mendengar kata-katanya, atau ditumbangkan dalam PRU.

Tetapi Mahathir gagal mencapai apa yang dikehendaki. Pertama kerana Najib tidak mahu menurut kehendaknya. Kedua, kerana PAS tidak mahu menjadi buah caturnya lagi sebagaimana pernah berlaku zaman beliau berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman dahulu.

Yang lebih memilukan, semua kes-kes lama beliau dan orang-orangnya dibongkar kembali. Ini membuatkan orang-orangnya takut bertindak ke atas Najib untuk menjaga periuk nasi.

KUBURKAN UMNO

Setelah tidak ada jalan untuk membuat Najib berundur, Mahathir akhirnya tekad untuk menumbangkan Umno dan BN. Jika bahtera BN sudah tidak boleh diselamatkan, baiklah ia dikuburkan terus. Yang penting dia segera membina bahtera lain yang bakal menggantikan Umno. Dengan cara itu, empayarnya akan terus selamat. Khazanah Mokhzani, Mukhriz, Marina dan Mirzan perlu dilindungi.

Beliau sanggup buat Umno diharamkan dulu. Lalu apa yang boleh menghalangnya untuk beliau kuburkan Umno?

STRATEGI MEMPERBODOHKAN PH

Atas kelicikannya, Mahathir berjaya memperdaya pemimpin PH untuk menerimanya. Pemimpin yang dulunya bermatian melawan beliau sampai meringkuk di penjara, lebam biji mata dan tempang dibalun FRU kini boleh mencium kaki beliau. Segala kesalahannya sepanjang memerintah sudah dibersihkan tanpa perlu membayar balik ganti ruginya.

Kemuncak kehebatan beliau memperbodohkan penentangnya dahulu adalah, beliau diterima untuk menjadi PM semula selepas ini.

Namun perkiraannya silap. Disangkakan penglibatannya dalam PH boleh melemahkan sokongan kepada BN. Rupanya makin memperkuatkan BN pula. Kalangan sosialis seperti PSM menolak beliau sehingga sanggup melawan PH dalam PRU nant. Non-muslim pula semakin meninggalkan DAP kerana bersekongkol dengan Mahathir, selain isu-isu kegagalan pentadbiran dan salahlaku pemimpinnya. MCA pula yang semakin pulih.

PAS masih tegas dengan Gagasan Sejahtera. Tidak mahu tertipu dengan rancangan Mahathir, selain tidak mahu berkompromi dengan kepentingan Islam.

Nampak gaya, PH tidak mampu kedepan. PAS pula yang bakal mengambil manfaat. BN tidak terjejas. DAP mungkin beroleh keuntungan, untuk menarik sedikit lagi sokongan melayu di beberapa kawasan parlimen bagi menambah bilangan kerusi mereka. Itupun terancam dengan gerakerja MCA yang semakin proaktif sekarang.

KEMBALI KEPADA UMNO

Rancangan terakhir Mahathir mungkin berunding kembali dengan Umno. Jika parti itu dapat tawarkan kedudukan yang baik untuk anaknya Mukhriz di jawatan tertinggi kerajaan, itu sudah cukup daripada terus lenyap dalam pertarungan politik sekarang.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 pun sudah memadai. Tapi kalau terdesak, cukup untuk minta segala kes beliau yang dalam siasatan dilupuskan.

Tak mungkin Mahathir akan berada bersama parti yang berisiko untuk kalah. Beliau tidak mahu karier politiknya berakhir dengan cara yang memalukan. Bersama PAS, tak mungkin dapat jadi pemimpin. Justeru lebih baik beliau kembali kepada Umno sahaja.

Dengan menawarkan beberapa syarat, tentu sekali Umno akan tertarik dengan tawaran Mahathir. Inilah peluang mereka untuk melenyapkan PH. DAP, PKR dan PAN telah mengangkat Mahathir terlalu tinggi, lebih tinggi daripada Anwar, Mat Sabu dan Lim Kit Siang sendiri. Jika Mahathir kembali kepada Umno, habis parti-parti itu nak menjawab pada penyokong PH yang sudah menjadi peminat fanatik Mahathir.

Tidak mustahil sebelum pilihanraya, Mahathir buat tindakan pelik menyertai Umno kembali. Bermain dengan Mahathir, kita mesti berfikir jauh kedepan. Tak boleh fikir selapis sahaja. Beliau sangat licik dan penuh helah.

Sebagaimana saya katakan di awal tulisan, jangan cepat melabel telahan ini sebagai tidak masuk akal. Dalam politik segalanya masuk akal. Yang penting jangan terlalu naif, nanti hilang akal pula. Baca sejarah, manfaatkan akal sebaiknya.

18 Rabiul Akhir 1439
4 Januari 2017

Penulis Alang Ibn Shukrimun boleh dihubungi melalui telegram.me/AlangIbnShukrimun atau di Facebook:fb.com/AlangShukrimun
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget