NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

2017 Selamat Jalan… Mahfuz boleh jalan daaah..



“Tak kenal dek untung”, itulah peribahasa yang sesuai untuk mengiringi pemergian Mahfuz meninggalkan PAS, parti yang telah disertainya lebih 30 tahun yang lalu. PAS telah mengangkatnya sehingga menjadi seorang figura politik tanahair walaupun modal atau aset Mahfuz ketika mula menyertai politik hanyalah kuat sembang dan air liur. Jika hendak dikatakan Mahfuz menyumbang besar kepada PAS, adalah sedikit sumbangannya menghingarkan pentas politik Malaysia.

Memang ramai figura politik yang tidak berpelajaran tinggi sama ada dalam PAS atau UMNO, tetapi mereka ada modal dan aset politik yang ummph! untuk dibawa dalam melayari bahtera politik. Ada seorang ‘Tok Uban’ di dalam UMNO dulu, yang pelajarannya tinggi sedikit dari Mahfuz, tetapi beliau mempunyai pengalaman luas dalam kewartawanan. Pengalaman itu menjadikannya seperti seorang graduan dalam bidang media massa. Jadi beliau sebenarnya ada modal dan aset ketika mula menceburi politik.
 
Berbanding dengan Mahfuz, beliau tiada modal atau aset ketika mula menceburi PAS melainkan kuat sembang dan air liur. Beliau bukan pula seorang lepasan pondok, meskipun tiada sijil tapi ilmu penuh di dada. Jauh sekali beliau adalah seorang tokoh korporat yang berjaya, walaupun mungkin tiada segulung kertas akademik tetapi mempunyai harta. Beliau juga bukan tokoh pejuang kemerdekaan, boleh jadi mereka tidak berpeluang sampai ke menara gading tetapi pengalaman perjuangan mereka tiada banding.

Mahfuz sebelum memasuki PAS hanyalah seorang kakitangan bawahan dalam sektor awam dan pernah menyertai parti sosialis sebelumnya.  Beliau juga tidak seperti pemilik sebuah syarikat pencetak HARAKAH, yang berhenti kerani dari Jabatan Penerbitan sebuah IPT tempatan, kemudian berjaya dalam bidang industri pencetakan. Mahfuz tiada apa-apa modal dan aset seperti itu.

Beliau dibawa masuk ke dalam PAS antaranya oleh seorang Ustaz yang pernah menjadi ADUN PAS di negeri Kedah satu ketika dahulu. Kebetulan Ustaz tersebut bekerja ditempat yang sama dengan Mahfuz. Dikhabarkan dialah yang menarik dan mentarbiah Mahfuz sehingga beliau menyertai PAS secara rasmi pada tahun 1984. Dengan hanya bermodalkan kuat sembang dan air liur, Mahfuz meluncur naik jauh di dalam PAS, sementelah orang PAS tidak mementingkan semua itu. Yang penting hanyalah sebuah keikhlasan.

Keikhlasan Mahfuz memang terserlah ketika itu, apabila beliau menjadi antara tunjang penting Pemuda PAS Pulau Pinang. Boleh jadi disebabkan beliau tidak boleh memandu, maka beliau selalu tidur di salah sebuah Markaz PAS di Pulau Pinang ketika itu. Disebabkan Mahfuz kuat sembang dan air liurnya berbisa, beliau boleh cepat naik dalam Pemuda PAS apatah lagi pada ketika itu pertembungan politik kerap berlaku di podium ceramah. Pidato beliau yang berapi biarpun ibarat “tin kosong” telah menarik ramai khalayak orang PAS.
 
Reputasi Mahfuz mula terserlah apabila beliau ditahan di bawah ISA pada tahun 1987. Mereka yang pernah diuji dengan kezaliman ISA khususnya di zaman Dr Mahathir Mohamad sememangnya mendapat tempat dari kalangan ahli-ahli PAS. Selepas keluar dari ISA, nama Mahfuz terus meniti di bibir Pemuda PAS. Modal kuat sembang dan air liur Mahfuz semakin laku apatah lagi keikhlasan Mahfuz telah teruji dengan penahanan ISA tersebut. Dengan bermodalkan itu beliau terus mendaki naik dalam Pemuda PAS Pusat.

Apabila Ustaz Abu Bakar Chik mula meninggalkan Pemuda PAS, Mahfuz menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu Pemuda PAS. Beliau bertembung dengan seorang calon dari golongan professional, Dr Hatta Ramli. Jurukempen Dr Hatta menjadikan tahap pencapaian akademik Mahfuz sebagai modal kempen sehinga mempersendakan kebolehan berbahasa Inggeris Mahfuz. Salahuddin Ayub yang mendapat laluan untuk jawatan nombor dua pula memperdayakan Mahfuz, secara senyap-senyap bekerja untuk Dr Hatta. 

Akhirnya, Mahfuz diangkat sebagai Ketua Pemuda PAS pada tahun 1999, kerana modal kuat sembang dan air liurnya lebih berharga dari gerakan intelligence Dr Hatta. Di samping itu, peristiwa demonstrasi menentang Pasukan Kriket Israel juga menjadi taruhan penting. Beliau dibantu oleh ramai para ilmuan muda PAS sehingga apabila Mahfuz sembang isu perundangan, seolah-olah beliau lepasan ijazah undang-undang. Bekas seorang Professor Undang-undang UIA yang sekarang menyertai DAP pernah tersalah anggap seperti itu.
 
Disebabkan air liur Mahfuz berbisa, beliau memang petah berdebat dan memang layak menjadi calon parlimen. Beliau sanggup berdebat dengan sesiapa sahaja termasuk Ketua Pemuda UMNO Hishamuddin Tun Hussien. Bagaimanapun, Hishamuddin mengetahui air liur Mahfuz hanya berbisa dalam Bahasa Ibunda, lalu dia mencabar Mahfuz berdebat di saluran Bahasa Mat Salleh CNBC, menyebabkan Mahfuz terkedu seribu bahasa. Selepas itu secara senyap-senyap Mahfuz mula belajar Bahasa Mat Salleh. 

Keberaniannya mencabar Hishamuddin semakin meningkatkan reputasi Mahfuz, menyebabkan orang PAS semakin meletakkan kepercayaan kepadanya, ditambah lagi dengan keikhlasan Mahfuz kuat bekerja. Pak Subki seorang veteran PAS pernah mencadangkan supaya Mahfuz diberi jawatan Setiausaha Agung setelah jawatan itu kosong pada suatu ketika. Bagaimanapun seperti yang dimaklumi, Mahfuz hanya berdebat seumpama tin kosong, sepertimana yang terbukti, dia dikira kalah apabila berdebat dengan Annuar Musa.

Modal kuat sembang Mahfuz ini begitu berkesan apabila dia bijak mengambil kesempatan daripada sesuatu isu yang berlaku. Apabila timbul isu Deepak, beliau begitu tangkas untuk berhubung dengan Deepak dengan menggunakan modal sembangnya sehingga menarik perhatian massa. Satu Malaysia pasti masih ingat bagaimana Mahfuz menggunakan modal sembangnya untuk mempengaruhi Sirul sehingga beliau membuat satu ‘Drama Hello Sirul’ yang sehingga hari ini layak untuk dinobatkan “The Malaysia’s Funniest Video”.
 
Setelah begitu tinggi mendaki dalam arena politik tanahair atas platform PAS dan dukungan orang PAS, kejahilan Mahfuz akhirnya terserlah apabila beliau sebenarnya bukanlah seorang yang berjiwa Harakah Islamiah. Beliau tidak memahami matlamat perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam, hanya melihat PAS sebagai kenderaan politik. Beliau akhirnya tersingkir dari kepimpinan PAS pada Muktamar PAS tahun 2015. Kejahilan beliau tentang PAS mendorong beliau memilih jalan yang salah selepas itu, meskipun dia perasan dia betul.
 
Dengan bermodalkan kuat sembang dan air liur, diyakini Mahfuz tidak boleh pergi jauh dalam PH, kerana orang PH tidak seperti orang PAS yang menghargai seseorang walaupun tiada modal dan aset politik yang lain. Bagaimanapun, jika PH memerlukan seorang Perdana Menteri locum sementara menunggu pembebasan Anwar Ibrahim, maka Mahfuz mungkin sesuai kerana dijamin pelan peralihan itu benar-benar boleh terjadi. Jika Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri locum, dengan kepintaran politik beliau Anwar akan terus meringkuk. 

Semalam hari Ahad adalah sesuatu hari yang istimewa, kerana ia pengakhiran kepada banyak perkara, ‘week-end’, ‘month-end’ dan ‘year-end’. Juga berkemungkinan menjadi ‘Mahfuz-end’. Mungkin dengan ‘kepintaran’ Mahfuz, dia memilih tarikh semalam untuk mengisytiharkan beliau meninggalkan PAS, tetapi kini boleh dilihat tarikh yang dipilih tidak ‘ong’ kepada Mahfuz. Setelah diangkat begitu tinggi oleh orang PAS, kini mereka boleh ucap seperti ucapan khadam milik Tuan Ismet Ulam Raja, “Mahfuz, boleh jalan daah….”
 

Mahfuz Mahfiz Ibnu Mahfaz Mahfiz
1 Januari 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo