NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH: Jangan biadap pertikai hak Raja dan Agama Islam dalam Perlembagaan



Kenyataan Media Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) terpanggil untuk memberikan respon terhadap kenyataan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism
(MCCBCHST) pada 27 Disember 2017 yang mendakwa, "Secularism is the cornerstone of the harmonious living for all Malaysians."

UMMAH menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai karekter tersendiri yang mendokong kedaulatan berkonsepkan Raja-Raja Melayu dan bercirikan ajaran Islam seperti diperuntukan di dalam Perkara 181(1) dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan dengan itu, Islam didaulatkan sebagai agama bagi Persekutuan; Yang di-Pertuan Agong dikehendaki melafazkan sumpah menurut prinsip Islam bagi melindungi pada setiap masa agama Islam; kebebasan beragama diberikan kepada orang-orang Islam termasuklah untuk mengamal, menyebar dan menguatkuasakan undang-undang Islam di mahkamah; dalam pada kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing turut dijamin bagi para penganut agama-agama bukan Islam.

Kerangka undang-undang di atas secara jelas mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan berkarakter Islam dan itulah kedudukan tertinggi yang dijunjung oleh Perlembagaan negara.

Tidak sekali pun istilah 'sekular' atau prinsip bagi memisahkan ketatanegaraan dengan agama Islam, ada disebut dalam Perlembagaan.

Justeru, tindakan MCCBCHST mendakwa bahawa Perlembagaan kononnya diasaskan atas prinsip sekular adalah tindakan biadab yang tidak bertanggungjawab, serta menafikan konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu bertunjangkan Islam.

Di samping itu, UMMAH menyeru semua pihak untuk menghormati sejarah perundangan dan jati diri watan Tanah Melayu yang menjadi teras dalam penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ditegaskan bahawa Ketatanegaraan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 itu bukanlah dicipta oleh Suruhanjaya Reid semata-mata.

Ia adalah pelestarian unsur-unsur watan yang terdiri daripada Islam, raja-raja Melayu, hak-hak bangsa Melayu dan kedudukan bahasa Melayu seperti terakam dalam Perjanjian Negeri 1948 dan semua perlembagaan Negeri-negeri Melayu.

UMMAH ingin menegaskan bahawa rundingan kaum yang berlaku selepas penubuhan Suruhanjaya Reid itu adalah proses untuk membolehkan Raja-raja dan orang-orang Melayu membuka kerakyatan kepada kaum penghijrah.

Berdasarkan aspek-aspek di atas, semua pihak tidak wajar mempertikai kedudukan raja-raja sebagai pihak berkuasa yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia yang ada pada hari ini.

Pada masa yang sama, semua pihak wajib akur bahawa Islam itu adalah agama bagi Persekutuan dan Negeri-negeri Melayu juga ciri kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu.

HJ AMINUDDIN YAHAYA
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
9 Rabi'ul Akhir 1439H
28 Disember 2017

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo