NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tulisan Gred F Zulkifli Sulong Mengenai Pakatan UMNO-PAS




Tertarik membaca tulisan bekas Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, di dalam portal berita The Malaysian Insight hari ini bertajuk “Akar Umbi PAS Kelantan Masih Harap Kerjasama Walau Ditolak UMNO”.

Membaca ayat pembuka tulisan Zulkifli Sulong berbunyi “Walaupun ditolak dua kali oleh pemimpin UMNO Kelantan, ramai pemimpin akar umbi PAS masih berharap pakatan dengan parti Melayu itu akan jadi realiti sebelum pilihan raya umum akan datang”, saya menjangkakan isi tulisan ini akan mengandungi kenyataan beberapa pemimpin akar umbi PAS Kelantan yang didakwa masih berharap pakatan UMNO dan PAS akan jadi realiti sebelum PRU 14.

Gambaran yang diperolehi oleh pembaca yang membaca tulisan Zulkifli Sulong ini adalah bahawa PAS Kelantan yang bersungguh-sungguh berharap agar pakatan UMNO dan PAS akan jadi realiti sebelum PRU 14. Begitupun, bila membaca isinya, tulisan ini menceritakan bahawa yang bersungguh-sungguh berharap begini bukanlah PAS Kelantan, tetapi adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber yang digunakan oleh Zulkifli Sulong untuk menceritakan mengenai usaha Datuk Seri Najib Tun Razak “menjual” idea bekerjasama dengan PAS, dan sebagai balasan, PAS akan dibenarkan mengekalkan kuasa di negeri yang ditadbir sejak lima PRU lalu, termasuk dengan mengemukakannya di dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Kelantan minggu lalu, itu pula ialah sumber UMNO, bukan sumber PAS.

Dua nama lain yang dipetik oleh Zulkifli Sulong untuk mengulas mengenai isu pakatan UMNO dan PAS di dalam tulisan ini juga bukanlah pemimpin akar umbi PAS Kelantan, tetapi adalah bekas Setiausaha Perhubungan PAS Selangor yang telah lama dipecat dari PAS, iaitu Norman Toha, dan seorang pengulas politik yang juga wartawan veteran, Zainal Epi.

Bila tiada walau seorang pun pemimpin akar umbi PAS Kelantan dipetik oleh Zulkifli Sulong untuk mengeluarkan kenyataan mengenai pengharapan agar pakatan UMNO dan PAS akan jadi realiti sebelum PRU 14, ini menimbulkan satu persoalan besar: Apakah asas yang Zulkifli Sulong gunakan untuk mendakwa bahawa ramai pemimpin akar umbi PAS masih berharap pakatan UMNO dan PAS akan jadi realiti sebelum PRU 14?

Bahawa dakwaan tanpa bukti ini boleh dibuat oleh bekas Pengarang Harakah yang kini menjawat jawatan kanan di dalam portal berita The Malaysian Insight menunjukkan betapa terdesaknya pihak tertentu untuk memberikan persepsi yang buruk ke atas PAS.

Jika tulisan ini dihasilkan oleh pelajar saya, saya tidak akan teragak-agak untuk memberikan Gred F ke atasnya: Sudahlah tajuk berlainan dari isi, bukti pula langsung tiada.

Tulisan Versi Bahasa Malaysia:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/26532/

Tulisan Versi Bahasa Inggeris:
https://www.themalaysianinsight.com/s/26530/
© all rights reserved
made with by templateszoo