NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TPM Mahu Tumpuan Sewajarnya Terhadap Pemberi Rasuah


KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemberi rasuah diberi tumpuan yang sewajarnya dari aspek siasatan dan pendakwaan seperti mana penerima rasuah, dalam usaha membasmi jenayah itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pada masa ini pihak yang berkenaan seolah-olah "terlepas pandang" terhadap pemberi rasuah apabila tidak ramai pelaku kesalahan itu didakwa dan dihukum.

Katanya adalah tidak adil jika tindakan siasatan, dakwaan dan hukuman hanya dikenakan kepada penerima rasuah, khususnya dalam situasi pemberi yang membuat aduan terhadap penerima berikutan rasa tidak puas hati dengan pulangan yang diharapkan.

"Kita harus lihat keseimbangan di antara pemberi dan penerima. Kita juga sering melihat penerima rasuah dikaitkan dengan pegawai-pegawai sektor awam atau pihak kerajaan (apabila) mereka didakwa selepas siasatan dilakukan serta dihukum," katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pemerkasaan Milenia (MES) 2017, di sini hari ini.

Sidang kemuncak yang bertemakan 'Negara Menentang Rasuah demi Pembangunan, Keamanan dan Keselamatan' merupakan platform bagi Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara bersidang dan membangunkan rangkaian di antara golongan milenia tempatan, luar negara dan kepimpinan negara selain membincangkan isu kontemporari dalam proses pembinaan Malaysia.

Sidang kemuncak sehari itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan bermula esok sehingga Sabtu.

Beliau berkata kerajaan mendukung cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat keterlibatan sektor swasta, badan korporat serta individu terutamanya usahawan yang cuba menawarkan rasuah untuk memperlicin urus niaga atau mempermudah perolehan kerja-kerja yang ditawarkan oleh jabatan agensi dan kementerian.

Ahmad Zahid juga mahu pihak berkuasa melakukan pendakwaaan dan mengambil tindakan terhadap sesuatu kes berdasarkan hasil siasatan termasuk melalui maklumat risikan dan bukannya bergantung pada laporan pengadu semata-mata.

"Jangan hanya mendengar 'hearsay' (khabar angin) atau setiap pemberitaan dalam media atau media dalam talian serta lontaran-lontaran tuduhan menyebabkan tindakan dilakukan," katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa badan-badan korporat dan swasta supaya melakukan Ikrar Bebas Rasuah seperti yang telah dilaksanakan oleh kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk bersama-sama menghapuskan jenayah itu.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo