NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terima RM20 lapor SPRM, bagaimana jika dapat RM50,000? - Presiden TI-M



KUALA LUMPUR: Kes-kes penyelewengan dan rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebanyakannya terdiri daripada golongan pemberi suapan.

Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, perkara itu menyebabkan SPRM berdepan kesukaran dalam aspek siasatan jika hanya menyiasat golongan pemberi rasuah semata-mata.

Jelas beliau, perkara itu timbul apabila golongan penerima rasuah ini akan mengunci mulut sekiranya habuan yang diterima setimpal.

"Apabila habuan yang diterima tidak setimpal seperti yang diharapkan, golongan penerima akan tampil membuat aduan kepada SPRM.

"Persoalan saya, jika penerima menerima RM20 akan lapor kepada SPRM tetapi bagaimana jika dapat habuan RM50,000?," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, Akhbar menyeru rakyat Malaysia supaya mempertahankan integriti dengan melaporkan kepada SPRM daripada terus terpalit dengan gejala rasuah.

Menurutnya, Seksyen 25 Akta SPRM secara jelas mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang diberi rasuah perlu membuat laporan mengenai perkara itu.

"Undang-undang sahaja tidak mencukupi. Sebagai contoh, kes rasuah di Singapura terkawal kerana penguatkuasaan yang ketat. Bagaimana jika pemantauan tidak ketat?

"Para penerima rasuah bertanggungjawab menjadi insan yang berintegriti. Jadilah penjawat awam seperti di Sweden atau New Zealand yang menolak rasuah kerana integriti.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesa pihak berkuasa turut memberi tumpuan sewajarnya kepada golongan pemberi rasuah membabitkan aspek siasatan dan pendakwaan seperti mana penerima rasuah.

Katanya adalah tidak adil jika tindakan siasatan, dakwaan dan hukuman hanya dikenakan kepada penerima rasuah khususnya dalam situasi pemberi yang membuat aduan terhadap penerima berikutan rasa tidak puas hati dengan pulangan diharapkan.--AstroAwani
© all rights reserved
made with by templateszoo