Sektor media tahun depan kekal mencabar



KUALA LUMPUR 26 Dis. – Sektor media dijangka terus berdepan persekitaran mencabar pada tahun depan apatah lagi inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan syarikat-syarikat media dalam usaha menangani penurunan perbelanjaan pengiklanan (adex) dilihat kurang berkesan.

Menurut AmInvestment Research, peningkatan penembusan internet berkelajuan tinggi dan kos data yang semakin rendah, akan terus mempercepatkan perubahan daripada kaedah media tradisional kepada medium digital menjadikan halangan sempadan adalah rendah dan kewa­ngan semakin mencabar.

Katanya, segmen media cetak akan menyaksikan penurunan berterusan dalam pendapatan edaran yang ketika ini mencatat kadar purata penurunan pada enam peratus bagi setiap separuh pertama yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

“Dalam masa sama, penutupan siaran ana­log (analog switch off – ASO) mulai Jun 2018 akan memberi kesan kepada pemain industri televisyen terutama bagi segmen siaran percuma (free-to-air - FTA).

“Bagaimanapun, sukan Olimpik Musim Sejuk dan Piala Dunia FIFA pada tahun hadapan akan merangsang kembali jumlah pengiklanan dan membantu menstabilkan kadar adex,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Kerajaan pada Jun lalu melancarkan televisyen terestrial digital, myFreeview yang menandakan bermulanya era siaran terestrial digital menggantikan siaran terestrial analog.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional merupakan agenda nasional dan satu daripada inisiatif penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang akan menyaksikan pelaksanaan penutupan ASO secara berperingkat antara 2015 hingga 2020. Mengikut perancangan, kerajaan akan menutup siaran televisyen analog pada Jun 2018.

Dari segi prestasi media cetak pula, laporan yang dikeluarkan Audit Bureau of Circulations Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2017 mendapati akhbar Kumpulan Utusan, Utusan Malaysia mencatat edaran 115,830; Mingguan Malaysia (257,502), Kosmo (160,536) dan Kosmo Ahad (171,946).

Kumpulan Media Prima yang menerbitkan Berita Harian mencatat edaran 91,648; BH Ahad (77,614); Harian Metro (133,003); Metro Ahad (142,795) manakala akhbar bahasa Inggeris, New Straits Times, 44,779 dan New Sunday Times (49,396).

AKhbar terbitan kumpulan The Star Media pula, The Star menca­tat edaran 217,082 manakala Sunday Star, 216,355.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim menjangkakan adex akan meningkat antara empat hingga 10 peratus pada separuh pertama 2018 berbanding tempoh sama tahun ini.

Katanya, ia disebabkan jangkaan pilihan raya umum (PRU) yang akan memberi sentimen positif dari segi pengiklanan dan permintaan yang baik terutama kepada media konvensional.

“Seperti yang kita tahu, PRU akan membawa sentimen yang positif dan secara tidak langsung memberi kesan positif kepada adex. Ini turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang baik pada tahun depan dan harga minyak global juga semakin melonjak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata, media konvensional misalnya surat khabar, akan terus berdepan cabaran sekiranya tidak melaksanakan sebarang perubahan apatah lagi pengiklanan mudah alih mula mengambil tempat dalam kalangan generasi baharu.

“Oleh itu, terdapat keperluan supaya media konvensional tidak hanya bergantung kepada satu platform sahaja kerana audiens datang daripada pelbagai demografi dan tidak tertumpu pada sesuatu media sahaja.

“Sudah tiba masanya, untuk melaksanakan perubahan de­ngan melakukan pendekatan yang bersesuaian dengan persekitaran perniagaan bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Sumber: http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/sektor-media-tahun-depan-kekal-mencabar-1.580072
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget