NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkasa selar tindakan memfitnah IKSIM


KUALA LUMPUR: Dakwaan Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi yang menfitnah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) membawa imej Islam sebagai agama yang tidak menerima ‘cultural diversity’ (kepelbagaian budaya) dan turut menuduh IKSIM sebagai radikal benar-benar menjerat dirinya apabila satu laporan polis telah dibuat dan kini sedang disiasat pihak polis kerana memfitnah.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA (BIHALIM) Dr Amini Amir Abdullah menegaskan dakwaan Prof Shad Saleem terhadap IKSIM sebagai radikal adalah sangat serius dan sebenarnya mempunyai niat jahat termasuk terhadap agensi-agensi agama yang tertentu.


Menurutnya, tajuk di dalam The Star pun seolah-olah menggambarkan bahawa berlakunya kebangkitan Islam teroris di dalam negara kita.

Beliau berkata, pihak The Star sebenarnya bersekongkol dengan Prof Shad dengan menyiarkan artikel tersebut.


“Kalau kita lihat dakwaan itu sebenarnya adalah tidak benar terhadap IKSIM atau mana-mana agensi agama.”

“Sebaiknya, kita perlu menggali semula semua tulisan-tulisan Prof Shad ini sebab saya sendiri sudah mendapat banyak maklumat mengenai kertas-kertas kerja beliau yang dahulunya mempunyai banyak elemen-elemen yang cuba merendah-rendahkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga memperlekeh institusi agama dalam negara kita.”

Menurut Dr Amini, perlu juga dibuat laporan polis sebagai langkah pertama dan yang kedua kalau pihak mereka tidak berpuas hati dengan IKSIM beliau perlu datang ke IKSIM untuk berbincang ataupun berdialog.

“Jadi oleh kerana dia telah menempekkan artikel tersebut dengan bantuan The Star maka IKSIM ada hak untuk membuat laporan polis dalam isu tersebut.”

“Manakala langkah ketiga ialah kalau Prof Shad mahu berdialog kita bersedia untuk berdialog sebab di IKSIM sendiri mempunyai ramai pakar-pakar yang boleh berdialog dan menangkis sebarang dakwaan ataupun fitnah oleh pihak Prof Shad Saleem Faruqi ini,” tegasnya.


Dr Amini berkata, pihaknya percaya Prof Shad sekarang berada di dalam keadaan yang tidak selesa apabila sudah ada laporan polis terhadap beliau.

“Kita berharap pihak polis akan mengambil tindakan dengan segera terhadap beliau dan melakukan penyiasatan ke atas dakwaan beliau termasuk bertanya serta menyiasat apakah tujuannya menulis artikel tersebut.

Menurut beliau, “pihak berwajib perlu membuat satu penyelidikan untuk mengkaji tulisan-tulisan beliau sebelum ini yang bagi saya banyak kontroversi.”

“Prof Shad Saleem cuba bermain persepsi, ‘playing the victim’ dengan masyarakat awam untuk menyebarkan rasa benci dan juga menyebarkan persepsi negatif terhadap IKSIM dan inilah contoh akhlak yang tidak baik,” katanya.

Ujarnya, “Sepatutnya Prof Shad menyokong usaha mendaulatkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan agar Islam terus didaulatkan di dalam negara ini.


Menurut Dr Amini lagi, Prof Shad juga sepatutnya mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan itu menurut perspektif Islam dan bukannya merendah-rendahkan Deen Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab konotasi Islam sebagai Agama Persekutuan itu sangat besar impaknya dalam konteks dan perspektif Perlembagaan Persekutuan dan sebab itu juga kita menyeru kepada beliau agar menarik balik penulisan beliau itu dan memfokuskan tulisan beliau kepada elemen agama Islam sebagai Agama Persekutuan di mana Perlembagaan Persekutuan juga telah mendaulatkan agama Islam itu sendiri.

Ditanya adakah hanya kerana dia seorang Profesor Emeritus maka dia berhak memfitnah IKSIM dan berhak pula membuli semua institusi Islam dalam negara ini Dr Amini menegaskan, “Profesor Emeritus ini hanyalah gelaran yang diberikan dan kita boleh menggesa pihak berkuasa menarik balik gelaran Profesor Emeritus itu.

“Kalau tidak silap saya gelaran Profesor Emeritus itu diberikan oleh UITM ataupun UM kepada beliau.”


“Kalau sampai tahap menfitnah IKSIM dan juga memperlekeh institusi-institusi Islam yang lain dalam negara kita, dia berhak dihukum,” katanya.


Menurutnya, sebab itulah gelaran itu bukan menunjukkan bahawa beliau berhak menfitnah IKSIM atau membuli semua institusi Islam dalam negara ini.

Persoalan mengenai Prof Shad Saleem yang turut mendakwa bahawa beliau hanya berniat untuk menyatakan pendapat bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang tertinggi di negara ini Dr Amini berkata, “memang betul beliau boleh menyatakan apa-apa pendapat tetapi pendapat beliau itu haruslah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Justeru, kenapa beliau tidak menghantar artikel tersebut kepada Utusan Malaysia dan kenapa The Star menerbitkan artikel tersebut seolah-olah berlakunya terrorisme dalam negara kita dan kenapa beliau menuduh IKSIM secara semberono sekaligus menunjukkan beliau tidak profesional sebagai seorang profesor undang-undang.

“Beliau juga dilihat sebagai cuba untuk mengusik institusi-institusi agama yang ada dalam negara kita,” katanya.

Sumber: https://www.menara.my/perkasa-selar-tindakan-menfitnah-iksim-dr-amini/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo