NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perjuangan Malaysian Malaysia DAP lagi bahaya - Ahli Akademik


KUALA LUMPUR – Jika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap perjuangan Pas sebagai menghasut, merbahaya dan ekstremis, perjuangan Malaysian Malaysia parti itu sebenarnya jauh lebih berbahaya. 

Ia didapati menghasut, bahaya, ekstrem dan tidak berperlembagaan, kata Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff. 

Menurutnya, matlamat Pas memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilaihidup Islam dan hukumnya menuju keredaan Allah, adalah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Menurut beliau, matlamat Malaysian Malaysia DAP pula untuk mensekularkan Malaysia dan menghapuskan perbezaan antara bumiputera dan bukan Bumiputera. 

“Ia bukan sahaja menghasut, malah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 3 dan Perkara 153. 

“Begitu juga matlamat parti itu untuk memulihkan pilihan raya tempatan yang masih menjadi agenda perjuangannya walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dengan jelas pada 14 Ogos 2014 ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini. 

Kata Kamarul Zaman, sukar dibayangkan nasib Malaysia jika DAP memerintah apabila sekarang pun Guan Eng sudah berani sifatkan tindakan menyebut apa yang ulama Fiqh Politik Islam seperti Al-Mawardi katakan sebagai menghasut, merbahaya, ekstremis dan tidak berperlembagaan. 

Menurut beliau, Guan Eng melenting dengan tulisan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk, “Mengapa kalau Islam tidak boleh?” yang disiarkan lidah rasmi Pas itu pada 22 Disember lalu. 

Kata beliau, sikap melenting Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya berpandukan laporan media tertentu bukan daripada kenyataan asal Ahli Parlimen Marang. 

“Dia tidak baca kenyataan asli, dia hanya baca laporan yang sudah diolah oleh media. Kemudian melenting menghentam Abdul Hadi, kononnya Presiden Pas itu mahukan menteri kabinet hanya diisi oleh orang Melayu Islam,” katanya. 

Antara istilah yang Guan Eng gunakan adalah menghasut, merbahaya, perkauman, ekstremis, tidak berperlembagaan dan hanya boleh dikaitkan dengan golongan Taliban. 

Sedangkan, menurut Kamarul Zaman, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan telah menjelaskan kekeliruan laporan media itu dengan menyataka, tiada di mana-mana dalam tulisan Abdul Hadi yang mahukan menteri kabinet hanya diisi oleh orang Melayu Islam. 

“Intipati sebenar tulisan Abdul Hadi pada hemat saya adalah menjurus kepada persoalan melantik ketua kerajaan (Perdana Menteri) yang mengikut beliau, mestilah datang daripada penganut Islam. 

“Apa yang mahu ditunjukkan oleh Abdul Hadi adalah golongan Islam tidak seperti golongan sekular di pelbagai tempat lain yang hanya melantik golongan mereka sebagai anggota kabinet, turut melantik golongan bukan Islam sebagai anggota kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette
© all rights reserved
made with by templateszoo