MB Johor Nafi Dakwaan Terlibat Rasuah


ISKANDAR PUTERI, 4 Dis -- Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terlibat rasuah sebagaimana terkandung dalam dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes rasuah dan skandal hartanah membabitkan bekas anggota Exco negeri ini, yang tersebar luas di sebuah blog baru-baru ini.

Beliau berkata tuduhan itu merupakan satu fitnah yang berniat jahat atau dibuat secara "mala fide" bagi memalukan serta mencalarkan nama baik beliau secara peribadi dan kepimpinan kerajaan negeri.

Menurut Mohamed Khaled, pentadbiran beliau tidak menerima dan tidak akan menerima apa-apa suapan, malah akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada beliau dan pentadbirannya.

"Semasa Senai (Anggota DUN Senai Wong Shu Qi) menimbulkan isu tersebut di Dewan, saya ingin menjelaskan bahawa saya sama sekali tidak tahu akan kewujudan dokumen yang mengandungi kenyataan saksi tersebut."

"Saya juga tidak mempunyai cara untuk mengesahkan kebenaran dan ketulenannya. Hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja yang layak mengesahkannya," kata beliau ketika sesi penggulungan pada Persidangan Penggal Kelima DUN Johor ke-13, di sini hari ini.

"Maka kerana itu, saya sangat berterima kasih dengan tindakan pantas SPRM yang mengesahkan bahawa; pertama, dokumen itu adalah dokumen rahsia yang telah dibocorkan. Bermakna, dengan memetik kandungan dokumen tersebut, Senai telah membocorkan rahsia rasmi kerajaan dalam Dewan ini."

"Dan kedua, dokumen itu dikeluarkan secara terpilih serta ditokok tambah dari dokumen asal. Ini bermakna, kandungan yang tersebar adalah tidak benar, tidak tepat dan terpesong dari kandungan asal," katanya.

Mohamed Khaled memberitahu demikian sebagai menjawab dakwaan yang beliau menerima sejumlah wang daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera, yang dibangkitkan Wong dalam persidangan DUN Johor, baru-baru ini.

Ia susulan penyebaran beberapa dokumen di sebuah blog yang dikatakan kenyataan seorang saksi dalam siasatan kes skandal hartanah membabitkan bekas anggota Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi yang dijalankan SPRM.

Menurut dokumen itu, saksi berkenaan mengaku menjadi orang tengah bagi menguruskan permohonan beberapa syarikat pemaju untuk mendapatkan sokongan Mohamed Khaled agar Abd Latif meluluskan pertukaran status tanah bumiputera kepada bukan bumiputera dengan bayaran komisyen.

Saksi juga dikatakan mengaku memberikan sejumlah wang kepada Mohamad Khaled secara tunai dan melalui cek pada beberapa tarikh di Pejabat Perhubungan Umno Negeri.

Namun menurut Mohamed Khaled, beliau pada tarikh-tarikh itu berada di luar negara dan tempat-tempat lain untuk pelbagai urusan dan langsung tidak berada di pejabat berkenaan.

Justeru itu, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wong atas tindakannya membocorkan dokumen rahsia rasmi kerajaan di dalam DUN Johor.

"Ketahuilah bawah kenyataan Orang Kena Tuduh (OKT) atau saksi dalam satu-satu prosiding SPRM atau mana-mana prosiding jenayah adalah sulit dan rahsia. Ia adalah dokumen yang tidak boleh didedah dan dirujuk sehinggalah ia dibawa ke mahkamah atau dibuktikan secara tegas."

"Jadi, apabila dokumen rahsia ini dibocorkan dan disebarkan kepada masyarakat umum secara tidak bertanggungjawab oleh individu atau pihak yang tidak diketahui melalui lawan sesawang yang tidak ada kredibiliti, maka ia bukanlah satu rujukan yang baik, wajar dan berlandaskan undadag-undang."

"Malah apa yang didedahkan di Dewan ini oleh Senai adalah tindakan yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, beliau juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang masih sengaja membuat fintah, spekulasi dan apa-apa tindakan yang tidak wajar terhadapnya selepas ini.-- BERNAMA
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget