NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Kerajaan perlu buat perancangan jangka panjang untuk atasi banjir di Kota Belud" - PAS Sabah



1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah berharap pihak kerajaan dapat menyediakan pelan jangka panjang bagi mengatasi banjir di Kota Belud.

2. PAS Sabah mendapati sejak berlakunya gempa bumi 2015, Kota Belud sering dilanda banjir. Oleh itu perlu ada satu kajian mendalam mengenai keadaan ini.

3. Berdasarkan kenyataan beberapa orang ahli akademik dan maklumat daripada mangsa banjir, kekerapan banjir yang berlaku ini akibat keadaan sungai yang semakin cetek. Ianya berkemungkinan akibat mendapan sedimen dan lumpur disebabkan gempa bumi tersebut.

4. PAS Sabah telah turun berjumpa dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah kampung sepanjang banjir kali ini. Kami mendapati dari segi pengurusan pusat-pusat penempatan sementara juga mesti ditambah baik.


5. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan surau atau tempat sembahyang bagi mangsa-mangsa yang beragama Islam. Penempatan sementara di beberapa buah sekolah memang terdapat surau. Tetapi penempatan di dewan-dewan tiada kemudahan surau.

6. Selain itu kemudahan tandas juga sangat tidak memuaskan. Kemudahan air di tandas-tandas pusat penempatan mestilah mencukupi untuk semua mangsa. Manakala pengagihan makanan pula sangat tidak teratur. Di beberapa buah pusat penempatan yang dilawati didapati berlakunya kelewatan penghantaran makanan dan pengagihan makanan yang tidak sistematik.

7. Saya yakin pihak berkuasa sudah mempunyai sistem pengurusan piawai bagi mangsa banjir dan pusat penempatan sementara. Oleh yang demikian PAS Sabah berharap pengendalian mangsa dan pengurusan di pusat penempatan mesti diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

8. PAS Sabah juga berharap agar semua mangsa banjir terus bersabar dalam menghadapi ujian ini.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
14 Disember 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo