NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan MB Kedah: PAS nafi terlibat isu balak



KUALA LUMPUR: PAS Kedah hari ini menepis kenyataan Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa kelulusan pembalakan dan membangunkan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang (HSBE) adalah keputusan Menteri Besar terdahulu. 

Menurut parti itu, tiada sebarang kelulusan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang dibuat oleh Almarhum Azizan Abdul Razak sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Kedah. 

“Pemeriksaan kami dengan sumber-sumber di Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mendapati kelulusan membalak keseluruhannya seluas 1,000 hektar, dan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman getah TLC dan Albizia itu dibuat selepas PRU-13 oleh kerajaan pimpinan Umno-BN.” 

“Laporan perkembangan kerja pembangunan ladang itu juga menunjukkan projek itu diberikan kepada syarikat Golden Trees Supreme Sdn Bhd pada 17 Disember 2015, sewaktu Kedah dipimpin oleh Mukhriz (Mahathir) selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan sebagai Menteri Besar,” kata Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah. 

Terdahulu, Ahmad Bashah dipetik berkata sebagaia bahawa kelulusan pembalakan dan membangunkan ladang hutan di HSBE adalah keputusan Menteri Besar terdahulu. 

Beliau turut menyebutkan nama dua bekas Menteri Besar Kedah, iaitu Azizan (PAS) selain Mukhriz. 

Bagaimanapun, PAS Kedah menafikan kenyataan Ahmad Bashah, di mana turut menyatakan bahawa penggondolan Bukit Enggang dimulakan oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) pada bulan Mac tahun ini, ketika Ahmad Bashah sedang menjawat jawatan Menteri Besar dan juga Pengerusi MBI. 

“Pemeriksaan kami mendapati hutan asli seluas 1,000 hektar telah ditebang habis, dan pokok spesis Albizia (petai belalang) sudah mula ditanam. Pegangan MBI dalam projek ini pula hanyalah 20 peratus berbanding pihak swasta sebanyak 80 peratus. Ini pun satu kerugian besar kerajaan dan rakyat Kedah,” dakwa Sanusi. 

Beliau turut menyeru pihak Menteri Besar Kedah dan MBI jangan berpura-pura tidak tahu dan lepas tangan begitu sahaja dalam kes besar seperti ini, sebaliknya melepaskan beban kesan negatif projek ini kepada pihak lain semata-mata. 

“Kedah bukan sahaja kehilangan hutan asli di Bukit Enggang, tetapi turut kehilangan pegangan majoriti dalam projek tersebut selama 30 tahun, yang boleh disambung lagi 30 tahun. Kawasan ini akan dibalak lagi dalam tempoh 5 tahun (Albizia) dan 15 tahun (TLC),” tegas beliau. 

“Kenapa MBI hanya memegang saham 20 peratus dalam projek seumpama ini?” soal beliau sambil menambah dalam ladang-ladang Felcra yang dibangunkan atas tanah kerajaan, pihak kerajaan negeri diberi pegangan 40 peratus, satu kadar yang lebih munasabah akibat negeri kehilangan hutan. 

Katanya, MBI tidak hanya sebagai pihak yang mengaut untung segera daripada pembalakan 1,000 hektar, dan MBI juga membawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan orang ramai. 

“Pihak kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah juga patut bertanggungjawab apabila melepaskan hutan bermutu tinggi itu pada kadar premium RM1,000 sahaja. Kenapa tidak dibuat tander terbuka untuk kayu-kayu balak tersebut seperti dilaksanakan di Gunung Inas yang diluluskan sebagai ladang hutan ganti pada 2007 oleh kerajaan negeri pada waktu itu? “sambungnya lagi.
© all rights reserved
made with by templateszoo