NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IMAMS : Sinetron Kerajaan Barisan Nasional?



Tiadalah apa yang pelik apabila kerajaan mengumumkan bahawa pembatalan pelaksanaan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) apabila mendapat bantahan secara besar-besaran oleh umat Islam di Malaysia. Berkata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz seperti yang dipetik di dalam akhbar Sinar Harian hari ini 18 Disember 2017 ialah, “Caj yang dipersetujui adalah RM40, termasuk insurans, dan hanya pilihan (bukan wajib). Ia bukan program kementerian tetapi inisiatif sektor swasta, maka tak boleh diwajibkan..” dan lagi, “Saya memutuskan untuk membatalkannya kerana tidak setuju dengan (jumlah caj) RM90 dan ia diumumkan sebagai wajib..”

Ertinya, apa yang  tidak dipersetujui oleh pihak kerajaan sehingga membuat keputusan membatalkan IMAMS ialah kerana caj sebanyak RM90 (sebenarnya RM90.10 termasuk GST) kerana pada asalnya caj yang dipersetujui hanyalah RM40 sahaja. Apakah beliau sendiri sudah lupa jawapannya terhadap soalan tambahan Ahli Parlimen Rantau Panjang di dalam sesi parlimen yang lepas bahawa caj yang akan dikenakan ialah RM90.10? ia boleh dirujuk di  https://youtu.be/EZJSh0nVFjM?t=352 . Jadi di mana pula asasnya bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan caj RM90.10 dan hanya bersetuju dengan caj RM40 sebelum ini?

Kerajaan mana yang setuju dan kerajaan mana yang tidak bersetuju? Maka benarlah ia hanya sinetron drama bersiri kerajaan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 sahaja. Tamat sahaja episod sinetron ini selepas keputusan pilihanraya umum ke 14 diumumkan nanti, maka kembalilah kita ke bumi nyata.

Ia hanya mengulangi episod pembatalan kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu di dalam SPM untuk pegawai perubatan lantikan kontrak di negara ini. Pihak yang mengumumkan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 pada Julai lepas ialah Kementerian Kesihatan. Manakala pihak yang mengumumkan bahawa Jemaah Menteri menarik balik kelonggaran tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadapi tekanan dari pelbagai pihak pencinta bahasa Melayu.

Ia juga merupakan salah satu episod sinetron yang panjang Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum ke 14.

Dan jangan lupa, isu GST ke atas 60 barangan makanan yang sepatutnya bermula 1 Julai lepas juga membuktikan Malaysia sedang berada dalam episod panjang sinetron ini. Jangan dilupa bahawa pihak Jabatan Kastamlah yang mengumumkan bahawa GST akan dikenakan terhadap barangan seperti makanan laut tertentu, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan  mi. Barangan baru yang akan dikenakan GST  pula termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri. Apabila ia menjadi isu yang mencemaskan kerajaan, Jabatan Kastam sekali lagi mengumumkan pembatalan selepas merujuk kepada Kementeri Kewangan. Dalam hal ini, tentu sahaja Menteri Kewangan menjadi hero!

Rakyat hairan, sebesar-besar saiz kabinet menteri di Malaysia itu berbuat apa sewaktu cadangan-cadangan ini dibentang? Atau tugas Menteri hanya menjadi tukang tepuk tangan sewaktu ‘big boss’ menghayunkan kayu golf?

Realitinya, sinetron ini belum berakhir lagi. IMAMS hanyalah salah satu episod drama kerajaan Barisan Nasional yang hanya meletakkan di bawah karpet untuk sementara menunggu pilihanraya umum. Apa kata, pilihanraya ini, karpetnya kita hanyutkan sahaja ke Laut China Selatan.

AHMAD FADHLI SHAARI
18 DISEMBER 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo