NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hanya Anwar boleh dedahkan hipokrasi Mahathir?



Oleh Abdul Rahman Malik

Kenyataan Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul bahawa cadangan menobatkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri terletak pada dua faktor, amat meragukan.

Pertama, katanya, cadangan itu tertakluk pada restu Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan prasyarat kedua ialah jika Pakatan Harapan (PH) perlu menang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dahulu.

Begitu juga dengan ura-ura PH mahu mengangkat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai Perdana Menteri, juga tertakluk pada Anwar Ibrahim dan keadaan “rakyat yang terdesak kerana tiada calon lain”.

Sekaligus ia memberi gambaran bahawa dalam PH, Anwar berkuasa penuh walhal umum tahu itu adalah formaliti semata-mata. Anwar sengaja ‘diangkat-angkat’ demikian bagi ‘merabuni mata’ pemimpin PKR yang sudah tiada tempat berteduh.

PKR bercelaru. Kelelahan politik intensif sejak hampir dua puluh tahun lalu kini menunjukkan padahnya dan keretakan pimpinan nyata di antara presiden dan timbalannya, dan, timbalannya dengan panglima lain yang ‘dididik’ Anwar.

Keadaan ini mendesak ramai pemimpin memilih jalan selamat dan berusaha menggabungkan kekuatan dengan kerabat PH lain yang nampaknya selesa menyerahkan kerja merancang bagi PH di tangan Mahathir.

Mereka tahu Mahathir bukanlah orang “organisasi”. Sejak memimpin Umno lagi kerja pentadbiran diserahkan pada pegawai sahaja. Dalam PPBM soal pentadbiran diserahkan kepada presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco-konconya.

Malangnya Muhyiddin juga bukanlah pengurus yang cekap dan beliau juga menyerahkannya pada para pentadbir sahaja. Khasiatnya ialah, pentadbir kurang cekap lebih mudah mendengar kata. Sebab itu PPBM bercelaru.

Baik Mat Sabu mahupun Salehuddin Ayub, hanya mahu mendambakan Mahathir membuat keputusan strategik untuk PH. Begitu juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Semua lebih senang bersandar pada nama dan pengalaman Mahathir.

Jadi bila nama Presiden PKR dilambung-lambung untuk jadi Timbalan Perdana Menteri, PKR yang sudah lelah itu mudah bersyukur dan tidak protes. Mereka boleh bersetuju dengan cadangan itu jika ‘Anwar bersetuju’.

Cara itu agak dayus mempertahankan Ketua Umum yang dalam dua PRU lalu menunjukkan kemampuannya menggerakkan penentangan terhadap Umno-BN dengan jayanya. Kini semua bergantung pada Mahathir.

Mujur Anwar tidak/belum berkata ya. Jika beliau juga bergantung pada Mahathir, bererti PKR tiada tempat istimewa dalam PH lagi. Jika Anwar menyokong bererti taraf dan nilai PKR sama seperti parti Amanah sahaja.

Walhal Anwar tinggal enam bulan sahaja lagi sebelum boleh melangkah pintu kemerdekaan. Jika beliau membuat komitmen sekarang, bererti payah untuknya merebut kembali kerusi Perdana Menteri daripada Mahathir.

Kini Mahathir perlu menunjukkan sikap ‘amanah’ dan tidak gopohnya. Dibiarkan PH menunggu jawapan daripada Anwar. Beliau perlu membeli masa.

Namun peguam (yang entah bila Anwar lantik) dari Amerika Syarikat, Kimberley Motley, cuba mendahului dengan mengatakan Anwar mesti dibebaskan kerana faktor umur dan hakikat beliau ialah pesalah politik bukan jenayah.

Secara teknikal Anwar bukan pesalah politik. Hakikatnya Anwar pesalah jenayah (liwat). Mahathir sendiri yang mengesahkannya. Beliau sanggup menghadapi media bersama Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan menjadi mangsa Anwar.

Beliau juga memberitahu seluruh rakyat Malaysia dan dunia bahawa Anwar adalah pelaku seks di luar tabiie. Sebab itu, tegas Mahathir, Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima, keenam atau ketujuh.

Kini setelah memalitkan wibawa Anwar dengan kejijikan melampau beliau “berpura” pula mendakwa Anwar tahanan politik bukan jenayah.

Sebenarnya Mahathir kini bungkam. Jika tidak sokong peguam yang tiada locus standi (hak) untuk berpeguaman di Malaysia, belang beliau akan dihidu awam. Maka beliau terpaksa membuat U-turn dan berkata Anwar tahanan politik.

Jika beliau mengelak U-turn ini beliau akan melanggar tembok kebenaran. Bahawasanya beliaulah orang yang menuduh Anwar tahanan jenayah dan menolak status tahanan politik.

Begitu gigih dan jijik Mahathir terhadap ‘perbuatan’ Anwar walaupun kepimpinan Amerika Syarikat ketika itu, terutama Naib Presiden, Al Gore, bermati-matian menyatakan Anwar bukan penjenayah tapi mangsa konspirasi politik.

Bayangkan betapa kejamnya lelaki 92 tahun itu cuba membuat U-Turn dan memanipulasi keadaan untuk menjadi Perdana Menteri lagi dan menyorokkan ‘dosa besar’ yang dilakukanya di atas nama demokrasi dan agamanya, Islam.

Nanti apabila kebenaran terhambur, baik pimpinan PKR, dan Amanah akan tahu bahawa mereka juga ‘mencurangi Anwar’ untuk bermandi kuasa yang mereka kejar sejak 20 tahun lalu.

Anwar, tahanlah kesakitan sedikit lagi sehingga anda benar-benar segar untuk menunjukkan kepada dunia siapa sebenarnya Mahathir.
© all rights reserved
made with by templateszoo