NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fitnah-fitnah terbaru Tun Dr. Mahathir mengenai peristiwa Memali buktikan permohonan maaf beliau tidak bermakna



Ramai juga yang nampak agak teruja dengan permohonan maaf Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dibuat di dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, semalam.

Begitupun, mengenali Tun Dr Mahathir, ramai yang lain, termasuklah saya sendiri, yang sangat skeptikal dengan permohonan maaf beliau tersebut, kerana ia bukanlah permohonan maaf yang spesifik ke atas kesalahan yang spesifik, malah sebenarnya bukan satu pengakuan ke atas kesalahan pun.

Ini jelas dapat dilihat di dalam kandungan ucapan dasar Tun Dr Mahathir yang hanya berbunyi: “Sebelum saya akhiri ucapan ini saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa. Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melaku kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara. Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu.”

Bahawa permohonan maaf Tun Dr Mahathir ini tidak mengandungi apa-apa makna juga dapat dilihat di dalam kandungan sidang media beliau tatkala beliau, bila ditanya soalan “apa yang buat Tun meminta maaf atas perkara-perkara sebelum ini dan kenapa baru sekarang Tun meminta maaf” sekadar menjawab: “Saya orang Melayu, adat orang Melayu dia selalu minta maaf kerana kita tak tahu tang mana kita salah. Itu adat, dan sebagai seorang orang Melayu kita patut rendahkan diri kita, selepas kita berucap ataupun kita buat sesuatu, kita minta maaf kerana kemungkinan apa yang kita lakukan itu salah dalam pandangan orang, itu sahaja.”

Malah, jika dilihat kepada kandungan ucapan penggulungan Tun Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, semalam, hipokrasi beliau di dalam memohon maaf ini sangatlah terserlah.

Ini kerana, tatkala beliau telah “memohon maaf terhadap apa juga kesalahan (beliau) selama itu”, boleh pula beliau:
(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.
(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.
(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.
(4) Memfitnah Mufti-Mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.

Kesemua fitnah terbaru Tun Dr Mahathir ini terkandung di dalam ucapan penggulungan beliau ini: “Saya tertarik dengan ucapan daripada (perwakilan) Kelantan. Baru dia sedar bahawa PAS itu jual agama, bukan Parti Islam, dia parti yang memperalatkan Islam. Saya ingin bertanya kepada Mufti-Mufti yang menjadi penasihat kepada Raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah Mufti-Mufti tidak membetulkan kenyataan mereka? Mereka berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju, setuju dengan pendapat Parti PAS ini. Kalau mereka setuju dengan pendapat Parti PAS, mereka tidak masuk Parti PAS, maka Mufti-Mufti kita juga kafir, dan orang yang dinasihati oleh Mufti-Mufti kita juga kafir. Tapi tak berani siapa cakap, senyap seribu bahasa sampaikan Amanat Hadi dikeluarkan dan pengikut-pengikutnya, Ibrahim Libya, merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan. Apa yang kita lihat ialah Peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir. Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh Mufti-Mufti. Saya fikir Mufti-Mufti patutlah bertanggungjawab. Kenapa berlakunya Peristiwa Memali? Ianya tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi Mufti-Mufti mencabar. Kenapakah Amanat Hadi tidak disangkal oleh mereka?”...Dr Kamarul Yusuf

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo