NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beruang 100kg maut dilanggar motosikal di Terengganu



DUNGUN : Seekor beruang matahari mati selepas dirempuh sebuah motorsikal di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT 2) petang semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira 6.50 petang itu di KM347.5 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun. 

Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan, Ahmad Hafizzudin Zulkifli, 29 tahun, cedera ringan apabila terjatuh selepas merempuh haiwan berkenaan.

Ketika kejadian, Ahmad Hafizzudin sedang dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Kuala Terengganu apabila secara tiba-tiba beruang berkenaan melintas lebuh raya berkenaan.

Ini menyebabkan, Ahmad Hafizzudin gagal mengelak lalu merempuh beruang jantan berkenaan yang dipercayai menyeberang lebuh raya itu dari Hutan Simpan Rasau untuk ke kawasan hutan berhampiran.

Rempuhan itu menyebabkan Ahmad Hafizzudin tercampak ke lorong kecemasan dan mengalami kecederaan di mulut dan badannya.

Sepasukan anggota paramedik bergegas ke lokasi kemalangan dan merawat mangsa sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Bangkai haiwan liar terbabit kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Ahmad Zailani turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya berwaspada ketika melalui LPT 2 kerana  jajarannya melibatkan kawasan hutan simpan yang menjadi habitat banyak haiwan liar.


Sumber: Astro Awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo