NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beranikah Lim Guan Eng Ulangi Selaran Ke Atas Rejim Tun Dr Mahathir Sebagai Pendukung Israel; Dan Beranikah Dato’ Mahfuz Ulangi Selaran Ke Atas Tun Dr Mahathir Kerana Benarkan Perdagangan Malaysia-Israel?



Oleh: Dr. Kamarul Yusof

Mengujakan sekali bila membaca perbahasan ke atas Usul Mengutuk Tentera Rejim Zionis Yang Menyerang Konvoi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 7 Jun 2010.

Usul ini di antara lainnya meminta sidang Dewan Rakyat itu mengambil ketetapan seperti berikut:

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;

(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;

(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela Israel dan bukannya membuat kenyataan lemah semata-mata;

(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat, untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;

(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);

(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;

(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010 supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;

(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka Sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;

(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;

(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;

(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat; dan

(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Berucap menyokong usul ini adalah Timbalan Perdana Menteri [Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin], Dato' Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh], Menteri Kesihatan [Dato’ Seri Liow Tiong Lai], Tuan Lim Guan Eng [Bagan], Menteri Sumber Manusia [Datuk Dr. S. Subramaniam], Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang [Marang], Tuan Zukifli Noordin [Kulim Bandar Baharu], Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Tuan Haji Fadillah Yusof], Tuan Mohamed Azmin Ali [Gombak], Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan [Keningau], Tuan Haji Nasharudin Mat Isa [Bachok], Datuk Richard Riot anak Jaem [Serian], Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera], Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu], Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam], Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas], Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan], Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar [Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup], Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah II [Datuk Joseph Entulu anak Belaun], Dr. M. Jeyakumar Devaraj [Sungai Siput], Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Liew Vui Keong], Datuk Bung Mokhtar Radin [Kinabatangan], Prof. Dr. P. Ramasamy [Batu Kawan], Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat], Tuan Saifuddin Nasution Ismail [Machang], Dato’ Mahfuz Haji Omar [Pokok Sena], Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai], Puan Hajah Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] dan Tuan Mohd. Yusmadi Mohd Yusoff [Balik Pulau].

Paling menarik di dalam perbahasan usul ini adalah ucapan Lim Guan Eng yang berbunyi:

“Dalam aspek ini Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin menyatakan bahawa sungguhpun kita memberikan sokongan kepada usul ini, saya harap bahawa daripada pihak kerajaan kerana ada satu peristiwa rasa saya perlu sebutkan iaitu dalam satu demonstrasi terhadap kedatangan pasukan kriket dari Israel. Ada beberapa yang membantah kedatangan pasukan kriket dari Israel ke Malaysia telah didakwa dan dipenjarakan oleh Kerajaan Malaysia. Saya rasa itu mungkin pada masa rejim yang lainlah di mana mereka mendukung Israel. Kalau boleh, kita betulkan ketidakadilan ini dan meminta maaf kepada mereka yang menentang kemasukan atau kedatangan pasukan kriket Israel supaya kita betulkan keadaan. Ini saya rasa akan memberikan keadilan kepada mereka yang menentang Israel dan sekurang-kurangnya menebus balik maruah Malaysia yang pada masa itu tidak sepatutnya membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke tanah air Malaysia.”

Ini disusuli oleh ucapan Dato’ Mahfuz Haji Omar yang berbunyi: 
“Yang ketiga, kenapa kita masih lagi memakai dan menerima minit Kabinet 20 Mac 1996 yang membenarkan urusan perdagangan antara Malaysia dengan Israel? Sehingga sekarang saya katakan bahawa urusan perdagangan itu masih diluluskan oleh bahagian import eksport dan kelulusan itu dibuat secara rahsia mengikut Kabinet tahun 1996 itu, dibenarkan hal-hal dalam perkara-perkara yang tertentu untuk diberikan kelulusan secara rahsia, secara sulit. Kenapa ini? Kenapa kita hendak berahsia, kenapa kita hendak bersulit dalam soal ini?”

Sewaktu Menteri Luar Negeri [Dato’ Sri Anifah bin Aman] menggulung perbahasan usul ini pula, berulangkali Dato’ Mahfuz Haji Omar menyebut:

“Pada waktu itu Perdana Menterinya ialah ayahanda kepada Yang Berhormat Jerlun. Ayahanda kepada Yang Berhormat Jerlun menjadi Perdana Menteri pada waktu itu.”
“Perdana Menteri pada ketika itu ialah ayahanda Yang Berhormat Jerlun. Ayahanda Yang Berhormat Jerlun.”
“Perdana Menteri pada waktu itu yang meluluskan.”
“Yang mempengerusikan Kabinet pada tahun 1996 ialah ayahanda Yang Berhormat Jerlun.”
“Ayahanda Yang Berhormat Jerlun menjadi Perdana Menteri dan mempengerusikan Kabinet pada waktu itu.”

Sekarang, bila Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menjadi Pengerusi Pakatan Harapan, kita mahu tahu sama ada:

(1) Beranikah lagi Lim Guan Eng mendakwa rejim Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa dan memenjarakan  beberapa (pemimpin) yang membantah kedatangan pasukan kriket dari Israel ke Malaysia, sebagai rejim yang “mendukung Israel”?
(2) Beranikah lagi Dato’ Mahfuz Haji Omar menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada 20 Mac 1996 kerana didakwa “membenarkan urusan perdagangan antara Malaysia dengan Israel”?

Jawapan kepada soalan ini akan membolehkan kita tahu apakah Lim Guan Eng dan Dato’ Mahfuz Haji Omar adalah ahli-ahli politik yang berpegang kepada prinsip ataupun tidak.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1759391017438282&id=100001022016761
© all rights reserved
made with by templateszoo