NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wisma Tok Guru: Kemenangan PAS petanda tuduhan Husam tak benar


KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang berpihak kepada PAS untuk menggunakan tanah Wisma Tok Guru, membuktikan segala tuduhan Datuk Husam Musa terhadap parti itu terbukti tidak benar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau kini yakin rakyat tidak akan percaya lagi dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan negeri.

"Hampir semua tuduhannya setiap kali dalam ceramah yang menyerang kerajaan negeri, memang tidak betul," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

"Kini akhirnya jelas menunjukkan kita di pihak yang benar. Ini bukan serangan peribadi namun mahu menegakkan kebenaran," katanya lagi pada himpunan sempena meraikan kejayaan PAS mendapatkan kembali tanah di kawasan Wisma Tok Guru.

Perebutan bangunan itu antara Amanah dan PAS Kelantan telah berlarutan dan menjadi panas terutama ketika sejumlah 150 ahli PAS 'menggempur' Wisma Tok Guru yang kini menjadi pejabat Amanah Kelantan, 22 Oktober lalu.

Pada 16 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache juga membenarkan PAS mengadakan programnya di situ.

Pada malam sama, PAS mengadakan solat hajat di sana.

Ketika ditanya tentang status bangunan wisma itu yang belum selesai, Nik Amar yang juga naib presiden PAS hanya berkata akan menunggu sesi pendengaran di mahkamah pada 4 Disember ini.

“Kita tunggu sahaja pada tarikh itu nanti. Kita adakan solat hajat serta majlis kesyukuran dan kita tidak kacau bangunan. Kita hormati prosedur mahkamah dan dalam usaha mendapat keadilan,” katanya lagi seperti dipetik.

Pertikaian itu bermula selepas Wisma Tok Guru dibeli Setiausaha Kerja PAS Kelantan Mohd Yasin Yusoff.

Husam yang merupakan Naib Presiden Amanah itu pula mendakwa Rosli ketika hayatnya telah mengeluarkan surat atas nama isterinya menyatakan bangunan itu boleh digunakan Amanah "sampai bila-bila".--Antarapos
© all rights reserved
made with by templateszoo