NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga janji PAS kepada orang Kedah





Oleh: GOKINA MORGANAN

29 OKTOBER 2017

KOTA SARANG SEMUT - PAS Kedah mengumumkan tiga tawaran yang terkandung dalam manifesto PAS Kedah untuk negeri ini menjelang PRU14.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, antara tawaran akan dilaksanakan seandainya rakyat  memberi mandat kepada parti itu, pihaknya bersedia untuk meneruskan semula program Kem Pembangunan Insan.

"Program itu terbahagi kepada tiga peringkat usia iaitu Kem Anak Soleh melibatkan anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun, Kem Bina Insan melibatkan kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun dan Kem Bina Sahsiah kepada remaja berusia lebih 17 tahun.

"Kita melihat bahawa modal insan sumber menggerakan tanah air ini mestilah berpaksikan kepada individu-individu  taat kepada ALLAH SWT, individu yang menjaga sahsiah dan akhlak  dan berilmu.

"Dengan ilmu dan akhlak dimiliki setiap anak-anak dari Kedah maka Insya ALLAH, Kedah akan mencapai ketamaduan yang baik jika rakyatnya bersikap dan berakhlak mulia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Terbesar Jentera Pilihanraya PAS Kedah (H12K) di Kompleks PAS Pusat, di sini, malam tadi.

Ahmad Fakhruddin berkata, PAS Kedah juga ingin menawarkan sekampit beras bawah program sekampit sejahtera kepada mereka yang berkelayakan dari seluruh Kedah.

"Program ini diinisiatifkan berdasarkan hasil pengalaman PAS Kedah mengurus program sekampit beras untuk penoreh getah dari seluruh Kedah khususnya tertumpu di 
kawasan Sik, Baling dan Padang Terap, ketika mereka  berhadapan dengan situasi harga getah menjunam pada dua tahun lalu.

"Hasil pengalaman tersebut, PAS negeri ingin menawarkan pada PRU akan datang ini, sekampit sejahtera buat bagi mereka yang berkelayakan," katanya.

Seterusnya, Ahmad Fakhruddin berkata, tawaran ketiga adalah meneruskan semula Skim Kafala yang diperkenalkan pada waktu pentadbiran  Mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak, pada penggal yang lalu.

"Ketika pentadbiran Ustaz Azizan mengagihkan bantuan bernilai RM500 kepada keluarga jenazah di bawah Skim Kafala.

"Insya-ALLAH, jika diizinkan ALLAH SWT dan mandat diberikan rakyat, kita cuba menawarkan kenaikkan pada skim berkenaan dari RM500 kepada RM750," katanya.

Menurutnya, tujuan untuk mendapatkan mandat rakyat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat seluruhnya, kesejahteraan rakyat dijadikan satu fokus pada PRU akan datang.

Katanya, pada masa sama, PAS Kedah akan diumumkan Skim Pembangunan Negeri Darul Aman.

"Kita cuma boleh sampaikan tawaran-tawaran kepada rakyat tanpa ada apa-apa makna, melainkan kita (PAS) menang dalam PRU akan datang ini.

"Sebab itu saya menyeru kepada diri saya dan seluruh ahli PAS Kedah serta PAS Pusat, marilah kita bekerja bersungguh-sungguh dengan niat mengangkat agama ALLAH S.W.T," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kenyataan PAS bersedia untuk bertanding di 36 keruso Dun dan 15 kawasan Parlimen di seluruh Kedah, bukan sekadar syok sendiri.

Katanya, PAS Kedah telah membuat analisa lihat satu per satu dun dan parlimen.

"Maklumat yang kita perolehi adalah dalam PRU akan datang, Pas mahu mampu menewaskan BN dengan syarat seluruh ahli Pas dari peringkat akar umbi perlu bekerja bersungguh-sungguh berjumpa penduduk dari rumah ke rumah.

"Ketuk pintu dari rumah ke rumah, janganlah melihat kepada warna bendera mereka, jumpa dan nyatakan hasrat parti," katanya.

Justeru, Ahmad Fakhruddin mengajak seluruh ahli partinya untuk memperbetulkan niat, berdisplin, konsisten dalam mengurus organisasi parti dan memahami pendirian PAS.

"Dengan demikian, kita tidak akan ada perasaan ragu-ragu dan was-was terhadap parti dan akhirnya bersabar dalam melaksanakan tuntutan dan amanah diberi oleh pihak pimpinan parti," katanya.



© all rights reserved
made with by templateszoo