NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan Selangor Murka Dengan Tun Mahathir


SHAH ALAM, 2 Nov -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais berkata berdasarkan rakaman klip video ucapan Pengerusi Pakatan Harapan itu yang tular di media sosial, Sultan Selangor menyifatkan tohmahan serta kenyataan Dr Mahathir tersebut jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis kononnya berusul daripada golongan lanun, perompak serta penjenayah.

"Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan serta huru-hara.

"Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal daripada Bugis," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Hanafisah, fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama serta keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara.

Katanya Dr Mahathir sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

"Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan isu ini dan berpandangan supaya satu siasatan serta tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Tun Dr Mahathir," katanya.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Perkara itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang mengaku tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia sebelum ini turut menuntut Dr Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo