NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Senarai baharu pengganas bukan mengejutkan



MARANG - Tindakan negara-negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar serta mengeluarkan 'senarai baharu pengganas' bukanlah perkara mengejutkan, kata Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga merupakan Presiden PAS berkata, negara-negara tersebut turut menyenaraikan organisasi-organisasi Islam lain seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan Majlis Islami.

Selain itu, beliau berkata, beberapa orang tokoh yang terkenal dengan sikap yang sederhana mereka terhadap pemahaman Islam juga turut disenaraikan sebagai pengganas.

"Negara yang mengeluarkan senarai pengganas ini telah mengamalkan politik peneutralan hubungan dengan Israel dan negara-negara dalam rangkaian Mason - Zionis Antarabangsa.

"Pendekatan politik sebegini sebenarnya ibarat kapal yang berlayar sesat di lautan samudera yang luas," katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Beliau menyifatkan pihak terbabit tidak mempunyai jatidiri untuk membuat keputusan secara bebas berpandukan nilai-nilai mulia walaupun sudah lama melalui zaman-zaman kegelapan dan penindasan yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada mereka.

Menurutnya, walaupun negara-negara itu terkenal dengan kekayaan dari sudut sumber buminya, namun mereka miskin integriti serta sahsiah.

"Mereka turut hilang keagungan serta kemuliaannya. Lebih malang, mereka juga mengubah pendirian mereka mengikut hawa nafsu sehingga menjadi lemah di hadapan orang-orang kafir.

"Namun, bersikap keras ke atas orang-orang beriman dan memuliakan 'tetamu-tetamu' Zionis melebihi saudara seagama," katanya.

Beliau berkata, lebih parah lagi apabila mereka telah bertindak keras ke atas negara yang seagama dengannya hanya kerana berbeza pendapat.

"Bangsa Arab asalnya menjadi mulia kerana Islam akan tetapi kini bakal hancur dengan kejahatan mereka sendiri yang mengiktiraf rejim Zionis serta mengabaikan Palestin dan kesuciannya," katanya.

Ini kerana, katanya, pihak terbabit didorong rasa percaya dan kagum kepada penguasa-penguasa Yahudi Zionis melebihi kepercayaan kepada ALLAH, Islam dan umat Islam.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo