NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pulau Pinang gagal di bawah pentadbiran kerajaan DAP


KUALA LUMPUR: Banjir besar yang menenggelamkan hampir seluruh Pulau Pinang berpunca daripada ketidakcekapan dan kebodohan kerajaan DAP yang tidak berkesan di bawah pentadbiran Lim Guan Eng.

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, Guan Eng banyak mengubah dasar negeri menyebabkan pembangunan tanpa kawalan termasuk di kawasan lereng bukit negeri itu.

Memberikan contoh kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 mangsa baru-baru ini, Cheng Guan berkata, insiden itu membuktikan kegagalan urus tadbir kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Krisis alam sekitar yang berlaku di Pulau Pinang sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan banjir. Sekarang kesannya sudah dirasai oleh rakyat dan penduduk Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan.

Cheng Guan juga berkata, beliau kesal kerana jentera pentadbiran negeri yang tidak turun padang membantu mangsa banjir.


Katanya, video yang tular di Facebook apabila mangsa banjir memarahi Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Karpal kerana tidak membantu rakyat di kawasannya juga menunjukkan belang sebenar pemimpin DAP.

Malah Cheng Guan turut mempersoal dana berbilion ringgit milik kerajaan negeri yang tidak disalurkan terus kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri juga sering berkata mereka mempunyai dana berbilion ringgit tapi ke mana duit itu pergi dan mengapa duit itu tidak digunakan untuk membantu mangsa banjir?

"Malah sekarang DAP negeri mengaturkan kutipan sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk membantu mangsa banjir. Ini membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak telus dalam menguruskan dana negeri," katanya.

Pulau Pinang lumpuh selepas hampir keseluruhan kawasan di negeri itu dilanda banjir setinggi antara tiga hingga 3.6 meter, berikutan hujan lebat serta ribut yang melanda sejak kelmarin.

Cuaca buruk sejak jam 12 tengah hari itu, turut meragut tujuh nyawa setakat jam 10 malam ini.


Seramai 3,783 mangsa terpaksa dipindahkan ke 51 pusat pemindahan secara berperingkat oleh pasukan penyelamat.


© all rights reserved
made with by templateszoo