NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pensyarah Tuntut Ganti Rugi 1 Juta Daripada Senator DAP


KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Dr Kamarul Zaman Yusoff bercadang memfaikan tuntutan ganti rugi sebanyak RM 1 juta dan permohonan maaf atas beberapa kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Senator DAP, Dr Ariffin Omar. 

Menurut Dr Kamarul, senator DAP itu telah melabelnya sebagai seorang ahli akademik yang suka membuat tuduhan semberono dan menjadi punca mutu akademik institusi pendidikan di negara ini merosot. 

Selain itu, beliau juga dituduh sebagai ahli akademik yang tidak berfikir dan tidak menggunakan akal sebelum bercakap atau menulis serta suka menimbulkan isu picisan yang tidak munasabah. 

Kenyataan tersebut telah diterbitkan melalui artikel bertajuk “Dr Ariffin Omar nasihati Kamarul supaya guna akal” melalui portal Roketkini yang bertarikh 13 November dan telah diterbitkan juga melalui portal Malaysiakini pada tarikh 14 November dengan tajuk artikel “Senator DAP nasihati Kamarul supaya guna akal”. 

Beliau berkata, kenyataan berbaur fitnah yang ditular itu telah menimbulkan kebencian ramai dan persepsi yang negatif di kalangan masyarakat terhadap dirinya.

 “Kenyataan berunsur fitnah tersebut adalah tidak benar dan telah diterbitkan dengan niat jahat yang nyata dan atau niat jahat yang tersirat. 

Kenyataan itu juga dilihat bertujuan untuk menjejaskan reputasi dan imej saya sebagai Pengarah, Pensyarah Kanan dan Felo Utama di institut kajian (MAPAN) dan universiti (Universiti Utara Malaysia),” tegas beliau. 

© all rights reserved
made with by templateszoo