Mengukuhkan Kedaulatan Islam dan Raja Berperlembagaan


oleh: Mohd Khairul Anwar al-Idrus

Sejarah adalah catatan benar detik berlakunya sesebuah insiden atau peristiwa. 1Bergantunglah sama ada peristiwa itu disaksikan oleh sekian ramai orang lalu dicatatkan atau dikisahkan orang lalu dicatatkan setelah dibuktikan benar-benar berlaku.2  Di sinilah kita lihat betapa pentingnya supaya rakyat kita, generasi tua dan muda, jangan sekali-kali lupa pada hakikat sejarah benar negara kita Malaysia – tanah air kita; tempat tumpahnya darah kita.

Sebelum munculnya sebuah negara-bangsa (nation-state) bergelar “Tanah Melayu” pada tanggal 31 Ogos 1957, bahawasanya beratus tahun sebelumnya telah wujud sebuah tamadun unggul berupa Kerajaan-Kerajaan Melayu Lama yang juga mempunyai “Undang-Undang Tubuh”nya yang kita kini istilahkan sebagai “perlembagaan.3

Sehubungan itu, kita berasa amat hairan: mengapakah apabila bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim melontarkan kata- kata “Islam is the Law of the Land”4 (lex loci) di negara ini dalam salah satu syarahannya baru-baru ini, maka bergemuruhlah dissenting voices yang keras membantah.5




Bertambah peliknya lagi, yang membantah juga terdiri daripada pengamal undang-undang dan ahli politik sedangkan proklamasi Islam as law of the land sudah begitu lama diputuskan precedent undang-undang dalam kes Ramah vs Laton6 sejak tahun 1927 lagi. Sayang seribu kali sayang, tenggelam rasional dan keilmuan mereka dek terlalu tunduk menurut nafsu serakah haluan politik yang berbeza.

Penegasan bekas Ketua Hakim Negara berkenaan bahawa Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengukuhkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan juga perlu direnungkan secara serius lagi mendalam oleh ahli akademik, pengamal undang-undang, pentadbir dan ahli politik tempatan. Kata-kata itu sebenarnya membawa impak yang sangat besar, sebagaimana yang diucapkan oleh Tun Ahmad Fairuz bahawa:


“Undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal setakat ianya berlawanan. Justeru itu, undang-undang yang berlawanan dengan al-Qur’an dan Sunnah juga turut terbatal, setakat mana ianya berlawanan dengan al-Qur’an dan Sunnah.”7

Demikianlah, sudah terpahat dalam lipatan sejarah dan sudah termaktub dalam Undang-Undang Melayu Lama bahawa enam kurun lamanya, Agama Islam sudah terpasak sebagai lex loci dalam sistem pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Lama di bawah pemerintahan Raja-Raja Melayu, jauh begitu lama sebelum kehadiran bangsa asing pertama – Portugis di Melaka.

Undang-Undang Islam dan Adat-Istiadat Melayu terpakai di Negeri-Negeri Melayu yang berdaulatkan Raja-Raja Melayu yang beragama Islam sebagaimana yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka, Kanun Laut Melaka, Kanun Pahang, Undang-Undang Johor Undang-Undang Pahang, Undang-Undang Riau, Undang- Undang Kedah, Undang-Undang 99 Perak dan sebagainya yang berkuatkuasa ketika itu.

Oleh itu apabila ada suara-suara mengatakan supaya “tidak perlu memasukkan agenda Islam dalam perlembagaan dan undang-undang negara – biarkan ia menjadi undang-undang sekular” mereka itu sebenarnya buta sejarah atau gagal mengawal diri untuk menerima hakikat sejarah. Mereka teraba-raba mencari apa jua alasan untuk menafikan fakta sejarah bahawa Islam sudah bertapak lama di Tanah Melayu dan berjaya membina sebuah tamadun besar berupa sebuah Empayar Melayu Melaka!8

Tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu daripada pentadbiran British pada tanggal 31 Ogos 1957 kerap ditafsirkan oleh sarjana dan masyarakat umum sebagai “bebasnya Tanah Melayu daripada penjajahan British.” Inilah “fakta sejarah” salah yang diajarkan oleh sejarawan Baratkepada dunia. Itu jugalah norma yang sudah difahami dan disambut dengan bangga bahawa sudah 60 tahun negara bebas daripada cengkaman British setelah “dijajah” Jepun, Belanda dan Portugis sejak 1511M. Namun pada hakikatnya, Raja-Raja Melayu tetap bertakha dan berdaulat ke atas Negeri-Negeri yang diperintah baginda sehingga ke hari ini.

Bahawa Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah bersumberkan Perlembagaan Persekutuan 1948 adalah fakta yang sudah disepakati ahli perundangan dan sejarah Tanah Melayu.10 Demikian juga dengan fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan 1948 adalah berasaskan Kanun Melaka yang menjadi teras perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana dihuraikan di atas.11 Kata Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin:

12Bantahan pemimpin non-muslim itu disokong pula oleh golongan liberal atas alasan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Penghujahan mereka seolah-olah menafikan kewujudan Perlembagaan dan Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Hari Merdeka. Suatu fakta yang perlu dihormati dan tidak boleh disisihkan oleh mana-mana pihak bahawa Semenanjung Tanah Melayu sudah mempunyai konsep dan atatcara pemerintahan yang berstatus perlembagaan bertulis sewal penggubalan dan perlaksanaan Kanun Melaka, dan perlembagaan-perlembagaan negeri sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekututan Tanah Melayu pada tahun 1957.”
Nah.....Terima sajalah fakta sejarah bahawa sebelum lahirnya Kanun Melaka yang berteraskan Islam sebagai dasar pemerintahannya itu, di sana telah sedia wujudjuga sebuah Kerajaan Melayu Lama lengkap-sempurna dengan sebuah “Perlembagaan Melaka Tua”13 yang sudahpun pun mempunyai sebuah struktur undang-undang tubuhnya atau perlembagaan yang berasaskan adat istiadat Melayu bersumberkan sebuah Wa’adat 14 berupa wasiat ulung yang termeteri di antara Sang Sapurba (mewakili golongan DiRaja) dan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat jelata). Daripada situlah bermulanya undang-undang watan atau lexi loci (law of the land) yang menjadi teras sejarah perundangan Melayu sebelum kehadiran undang- undang Islam dan Common Law Inggeris.15   Seorang pakar perlembagaan negara pernah menyatakan:16

“Kita mesti ingat bahawa Kanun Melaka adalah sebuah kanun perundangan yang berteraskan hukum Islam – yang turut mengandungi hukum hudud dan qisas – sebagaimana yang dihuraikan dalam mazhab Syafi’i. Dengan kata lain, Kanun Melaka bukanlah kanun yang memperincikan kehendak dan hukum yang ditentukan oleh Raja Melaka. Mungkin perlu disebutkan di sini bahawa kesedaran atau ilmu perlembagaan Islam perlu sebelum seseorang itu cuba mentafsir kandungan Kanun Melaka itu. Ilmu dan metodologi sejarah sahaja tidak mencukupi untuk kita memahami kedudukan dan konteks Kanun Melaka kerana sebenarnya ialah adalah sebuah dokumen undang- undang perlembagaan. Meskipun begitu perlembagaan kita tidak harus difahami dalam konteks undang-undang perlembagaan Inggeris kerana kita masih mengekalkan kedudukan Islam di dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita.”

Prof. Ahmad Ibrahim juga telah mengungkapkan di awal perenggan buku klasik sejarah perundangannya mengenai betapa pentingnya Undang-Undang Islam dan Undang-Undang adat yang terpakai di Tanah Melayu (Malaya), jauh terdahulu beratus tahun lamanya sebelum kehadiran English Law:
“When Roland Braddell published the Laws of the Straits Settlements in 1915, the Straits Settlements were still the most important of the areas under the British influence in South East Asia. It was still possible for him to devote the chapter on “Legal History” to what is in effect an account of the reception of English law in the Straits Settlements. Legal history begins with the acquisition of Penang in 1786 and the Charters of Justice of 1807, 1826 and 1885. By the time the Federation of Malaya was constituted in 1947, the position had changed somewhat and would have been less true to say that the legal history of Malaya began with the introduction of English law into Malaya. But as the Civil Law Enactment of 1937 had made English law in practice the basic law in the Malay States and as whatever customary law or Muslim law was followed was administered mainly outside the ordinary Courts, it was still possible to speak of the history of the law in Malaya in terms of the reception of English law. With the establishment of Malaysia, however, the emphasis has or should change. Native customary law plays a much more important part in East Malaysia than it does in West Malaysia or Singapore and one must go beyond 1786 to truce the history of the law in Malaysia. It is not that this was not always true – but the relevance of customary law has increased, the emphasis need to be changed, and it is fitting and perhaps necessary that we should take a larger perspective in Malaysia.17

Demi sesungguhnya pengkisahan yang dibawa oleh mereka yang degil mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara sekular itu jauh amat berlainan sekali daripada sejarah yang difahami dan ditunjangi oleh Kerabat DiRaja yang dapat diwakilkan menerusi Titah Paduka Seri Sultan Perak baru-baru ini:18

Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi.” 

Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan Ruh Islam yang kuat lagi mantap apabila Agama Islam diletakkan pada darjat yang amat tinggi dalam Perkara ke-3 perlembagaan negara, sekaligus mencerminkan persetujuan-persetujuan yang dicapai ketika negara memperoleh kemerdekaan; memperlihatkan semangat persefahaman – mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak, mencerminkan satu kehalusan seni yang berjaya mengimbangkan kepentingan-kepentingan yang saling bercanggah – memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi.19

Dan apabila bercakap mengenai Tanah Melayu, rakyat, pemimpin, Raja-Raja
Melayu dan kemerdekaan, ada tiga faktor pengikat utamanya: perjuangan bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam itulah yang menautkan ketiga-tiga entiti berkenaan.

Maka benarlah apabila Wakil Raja-Raja Melayu menitahkan:20Ketika dilambung ombak globalisasi, warga perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan modenisasi, agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit. Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara. Institusi Raja mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.”



Akhirul kalam, teramat tepat dan bijaksananya Titah Paduka Seri Sultan Perak21 yang telah meletakkan Islam sebagai pasak utama negara di mana "Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga," menepati konsep leluhur kita bahawa:


“Segala persetujuan, wajib dihormati. Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan PERLEMBAGAAN MERDEKA, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.”


Lantas kita terfikir lalu ingin bertanya: di manakah bezanya pandangan mantan Ketua Hakim Negara dengan Titah KDYMM Paduka Seri Sultan Perak itu?

- Mohd. Khairul Anwar al-Idrus, Kuala Lumpur

Rujukan


1Collingwood, R.G. (1966). The idea of history. London: Oxford University Press.
2Teringat kita akan kata-kata hikmat bahawa History not used is nothing, for all intellectual life is action, like practical life, and if you don't use the stuff well, it might as well be dead,jelas pakar sejarah ulung dunia, Prof Arnold Toynbee (1955) dalam salah satu temuramah beliau dalam NBC pada 17 April, 1955.
3Sila rujuk juga Titah Ucapan Pemangku Sultan Perak semasa merasmikan Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia pada tahun 2011.
4Sila rujuk ucapan penuh Tun Ahmad Fairuz dalam http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=10743.
5Lihat komen-komen negative mereka membantah keras ucapan beliau di dalam
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/03/26/ex-cj-ahmad-fairuz-draws-flak-over- controversial-lecture/.
6Lihat keputusan Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 6 F.M.S.L.R. 128.
7Perhatikan dengan teliti keseluruhan syarahan YABhg. Tun Ahmad Fairuz tersebut dalam http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=10743.
8Lihat kajian terkini oleh Sulaiman, Zaharah et al. (2016). Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda. Tanjung Malim: Universiti Perguraan Sultan Idris, yang sekaligus memperteguhkan teori asal usul Melayu di Pentas Sunda berdasarkan kajian saintifik atas sampel DNA dan DNA-mitrochondria.
9Antaranya termasuklah Osborne, Milton (2000). Southeast Asia: An Introductory History. Allen & Unwin. ISBN 1-86508-390-9.
10Lihat kertas-kertas kerja selanjutnya yang dibentangkan dalam Kumpulan Kertas Kerja Seminar 60 Tahun Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu Asas Negara Merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia terutamanya kertas kerja oleh Prof. Dr. Abdul Aziz Bari op. cit. dan Prof. Madya Dr. Joseph M. Fernando berjudul, “Persekutuan T anah Melayu 1948 Asas Pembentukan Perlembagaan Negara Merdeka” (ms. 78-90).
11Perkara ini sudah didokumentasikan dengan cukup teliti oleh sarjana seperti Prof. Andrew Harding dalam Law, Government and Constitution in Malaysia [1996]. Leiden: EJ Brill) dan juga oleh Prof. Liaw Yock Fang dalam Undang-Undang Melaka. A Critical Edition, ed. by Liaw Yock Fang, Doctoral Thesis [Proefschrift] Leiden University, The Hague: De Nederlandsche Boek- en Steendrukkerij/ Verlagshuis S. L. Smits, 1976 dan juga Naskah Undang-Undang Melaka: Suatu Tinjauan. "Sari" N 25. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007, ms. 8594. Lihat juga umpamanya kajian oleh Wan Ahmad Fauzi Husain Wan et al. dalam Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (2017), Konsep Kedaulatan Watan: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Majlis Ittihad Ummah.
12Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (2017). Konsep Kedaulatan Watan: Suatu Pengenalan, Kuala Lumpur: Majlis Ittihad Ummah, ms. 15.
13Lihat W an Ahmad Fauzi W an Husain dalam https://www.menara.my/selami-sejarah- perundangan-perlembagaan/.
14Lihat Titah DiRaja berupa Ucaptama dan Perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak berjudul, “Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat lebih Tersurat” di Hotel Mariott, Putrajaya pada 5 Ogos 2017.
15Lihat umpamanya kajian oleh Wan Ahmad Fauzi Husain Wan et al. “Raja-Raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957: Satu Kajian Sejarah Perundangan”, Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 Universiti Sultan Zainal Abidin. ISSN 0127-9386.
16Abdul Aziz Bari (2009). “Konsep Raja Berperlembagaan Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948” dalam Kumpulan Kertas Kerja Seminar 60 Tahun Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu Asas Negara Merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, ms. 92.
17Ahmad Ibrahim (1992). Towards a History of Law in Malaysia and Singapore. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, ms.1.
18Titah Paduka Seri Sultan Perak berupa Ucaptama dan Perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak berjudul, “Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat lebih Tersurat” di Hotel Mariott, Putrajaya pada 5 Ogos 2017.
19Lihat Titah Paduka Seri Sultan Perak berupa Ucaptama dan Perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak berjudul, “Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat lebih Tersurat” di Hotel Mariott, Putrajaya pada 5 Ogos 2017.
20Titah Paduka Seri Sultan Perak berjudul, “Institusi Raja Berperlembagaan; Kelangsungan Negara Bangsa” di Majlis Syarahan Perdana Kementerian Komunikasi, 7 November 2012.
21Titah Paduka Seri Sultan Perak, 5 Ogos 2017, op. cit.

Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget