Meneliti Erti Kedaulatan Islam dan Raja Dalam Perlembagaan Persekutuan

                                                                                                                                    
Meneliti Erti Kedaulatan Islam dan Raja 
Dalam Perlembagaan Persekutuan 

oleh:
Hj. Zainal Zainuddin

Wacana terbuka berkaitan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendaulatkan Islam sebagai agama negara senantiasa menarik minat banyak kalangan. Apabila ada wakil kerajaan yang cuba mempertahankannya (http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/14/asyraf-bn-kekal-komited-jadikan-malaysia-negara-islam/) maka akan bangkit suara dissenting menentangnya habis-habisan seperti dalam portal berita http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/10/15/dap-joins-call-for-sarawak-bn-to-reject-islamic-state-aim/.

Demikianlah kuatnya bantahan dan allergicnya sesetengah kalangan, di dalam dan luar kerajaan, terhadap istilah “negara Islam” yang diucapkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Bagi mereka yang mengkaji sejarah dan ilmu sains politik apatah lagi yang pernah belajar ke luar negara; ada benarnya ciri-ciri sedemikian sangat popular dalam Negara Dunia Ketiga termasuk negara-negara di rantau kita. 

Negara-negara maju dunia seperti kebanyakan negara Scandinavian di Eropah seperti Norway, Sweden dan Denmark, atau Kanada di Amerika Utara malah Jepun dan Korea Selatan – rakyatnya semakin matang dan lebih bebas menentukan nasib pemimpin dan parti mereka yang dilantik menerusi proses demokrasi moden. 

Ugut-mengugut tidak boleh ‘laku’ dalam pilihanraya apatah lagi rasuah dan sogokan wang pasti akan dibongkar seluas-luasnya. Accountability dan transparency menjadi ukuran utama dalam menilai keberkesanan sesuatu sistem pilihanraya yang dijalankan sebelum keabsahannya diperakukan. 

Kembali ke tanah air tercinta, rupa-rupanya masih ramai di kalangan warga, walaupun terpelajar dalam pelbagai bidang dan berada dalam bermacam industri membangunkan negara, yang tidak faham sejarah akan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957. Sesungguhnya Baginda Sultan dan Raja telah menurunkan perkenan penubuhan sebuah Persekutuan Tanah Melayu untuk seluruh rakyat jelata ketika itu meskipun memahami dan menyerahkan sebahagian daripada kuasa mereka di atas Negeri-Negeri.


Demikianlah “Wasiat Raja-Raja Melayu” berjaya diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan 31 Ogos 1957, sekaligus mewujudkan konsep “Raja Berperlembagaan” (Constitutional Monarchy) yang amat unik di dunia dengan mengekalkan tujuh pasak utama: (i) sebuah kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, (ii) penyimpanan hak milik Tanah Simpanan Melayu, (iii) penubuhan Rejimen Askar Melayu, (iv) pengisytiharan Islam sebagai Agama Persekutuan, (v) menginstitusikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, (vi) melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan (viii) memelihara kepentingan sah kaum-kaum yang ada.

Terukir sudah kisah benar Tanah Melayu berjaya dibebaskan daripada Kerajaan British menerusi rundingan siasah, bukannya peperangan dan pertumpahan darah. Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan jerit payah telah meniti arus ke arah pembentukan sebuah Persekutuan Tanah Melayu. Kerjasama penuh complimentary merentas bidang antara Raja dan rakyat itu menyerlahkan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu memainkan peranan utama selalu arkitek sebenar memerdekan watan.

Pada hakikatnya, tidaklah begitu sukar untuk kita rentasi successful historical stories yang kita sendiri perolehi itu ke arah memerdekakan tanah air dengan ilmu, keringat dan berjiwa besar. Sesungguhnya itulah di antara elemen jati diri paling penting yang kita perlukan pada masa kini untuk sama-sama kita jadikan bekalan, meletakkan asas dan meniti jalan ke arah transformasi sosio-ekonomi-politik yang kita hajati untuk masa-masa mendatang.


Sejarah juga telah mencatatkan dengan tinta emas betapa institusi Raja-Raja telah memainkan peranan selaku payung teduhan rakyat, kekal berdaulat dan bersemayam di atas Takhta Kerajaan Negeri-Negeri berkenaan sejak diwarisi daripada Kerajaan Melayu Lama. 

Begitu juga kita dapati rupa-rupanya terlalu ramai rakyat sendiri tidak mengetahui fakta bahawa perlembagaan Negeri-Negeri adalah bersumberkan Kerajaan Melayu Melaka khususnya dalam agama Islam, kedudukan dan peranan Raja-Raja yang ada hari ini adalah penerusan daripada sistem dan kerangka yang sedia wujud dalam Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 sebagaimana yang telah diperakukan oleh kebanyakan sarjana sejarah dan perundangan. 

Sebenarnya, di atas konsep kedaulatan Islam yang sama itulah Islam diabadikan sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dan betapa terang lagi bersuluh Perkara 37 (1) mewajibkan setiap Raja Melayu yang secara bergilir memegang tampuk takhta Ketua Negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, mengangkat Sumpah Jawatan dengan lafaz ikrar: Wallahi, Wabillahi, Watallahi “mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri” (Jadual Keempat, Perkara 37, Perlembagaan Negara).

Pernyataan jelas ciri-ciri mempertahankan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutan ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa begitu banyak elemen-elemen Islam terus dikekalkan dalam Enakmen Negeri-Negeri dan Perlembagaan Persekutuan yang sangat crucial dan encompassing dalam urus-tadbir sebuah negara berdaulat bernama Malaysia – satu-satunya negara-bangsa demokrasi berparlimen moden yang mengekalkan sebuah insititusi unik di bawah naungan Raja-Raja Melayu penuh berdaulat.

Kepada warga generasi muda Gen-X dan Gen-Y terutamanya, kita ingin berpesan: selamilah setiap detik erti sebuah kemerdekaan dengan perkenan Raja-Raja Melayu, keringat dan air mata rakyat terdahulu. Jangan hendaknya ada di kalangan rakyat hari ini yang cuba mengganggu-gugat asas-asas perpaduan yang telah orang tua-tua kita bina sebelum merdeka. 

Jangan juga kita lupa akan leluhur kukuh lagi mantap yang telah kita warisi sejak berzaman bermula dari abad ke-15 lamanya. Apatah lagi; jangan sekali-kali kita alpa akan tujuh pasak utama yang termeterai sewaktu Raja-Raja berkenan menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 oleh Suruhanjaya Reid termasuklah memaktubkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Hanyasanya dengan yang sedemikian itulah sahaja akan terpahatnya ingatan mulia titah Paduka Seri Sultan Perak (“Institusi Raja Berperlembagaan – Kelangsungan Negara Bangsa”, Majlis Syarahan Perdana Kementerian Komunikasi, 7 November 2012) bahawa:

Ketika dilambung ombak globalisasi, warga perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan modenisasi, agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit. Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara. Institusi Raja mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.

Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget