NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 6,000 Aduan Salah Guna Media Sosial



IPOH, 9 Nov -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 6,725 aduan mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 4,919 aduan yang diterima SKMM pada tahun lepas.

Katanya aplikasi media sosial yang paling banyak disalahgunakan oleh pengguna Internet di negara ini adalah Facebook iaitu sebanyak 70 peratus diikuti dengan WhatsApp dan Twitter.

"Dalam konteks Perak, MCMC menerima sejumlah 59 aduan sehingga kini berbanding 49 aduan yang diterima sepanjang tahun lepas dan jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 25 peratus," katanya.

Zulkarnain berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Perundangan Mengenai Penyalahgunaan Media Sosial dan Impak Kepada Negara yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di sini hari ini.

Zulkarnain berkata MCMC turut menyekat capaian kepada 2,765 laman sesawang sehingga kini yang mengandungi laman kandungan lucah, laman menjijikkan, laman bersifat mengancam dan laman palsu kerana melanggar Akta Komunikaisi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya melakukan sekatan laman sesawang adalah demi kepentingan masyarakat di negara ini dan memelihara serta melindungi maruah mereka secara keseluruhannya.

Zulkarnain berkata pihaknya menjangkakan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial akan meningkat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

"Ini kerana trend peningkatan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial berlaku semasa PRU 2008 dan 2013," katanya.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkarnain berkata Perak merupakan negeri pertama menjadi tuan rumah program itu yang dianjurkan secara bersama antara MCMC dan kerajaan negeri.

Beliau berkata seminar sehari itu bertujuan memberi kesedaran dan mendidik masyarakat khususnya penjawat awam terhadap kepentingan penggunaan media sosial secara berhemah selain memberi pemahaman mengenai perundangan Internet di negara ini.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo