NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketua Penaja PPBM Batu Gajah Keluar Parti


BATU GAJAH, 14 Nov (Bernama) - Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah, Mohd Shirin Adenan mengumumkan keluar parti bersama 18 anggota jawatankuasanya hari ini.

Mohd Shirin berkata keputusan itu dibuat selepas kecewa dengan perjuangan dan hala tuju PPBM Perak yang diketuai Ahmad Faizal Azumu.

Katanya peletakan jawatan secara beramai-ramai itu juga sebagai tanda protes sekaligus memberi kesedaran kepada pimpinan tertinggi parti supaya lebih peka terhadap masalah dalaman PPBM Perak.

"Pelantikan Faizal Azumu sebagai Pengerusi PPBM Perak benar-benar membuka mata kami bahawa PPBM tidaklah sebaik seperti yang kami sangkakan.

"Ketiadaan pengalaman menerajui sebuah parti baharu, selain hubungannya yang sangat terbatas, membuatkan PPBM Perak seperti sekumpulan anak ayam kehilangan ibu," katanya dalam sidang media di Pejabat PPBM Bahagian Batu Gajah, di sini.

Mohd Shirin berkata selain isu kepimpinan, kegagalan mengesahkan status pendaftaran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM sebagai sayap parti turut menjadi penyebab tindakan drastik itu dibuat.

Katanya, tiada sebarang penjelasan khusus diberikan oleh pimpinan tertinggi PPBM berkaitan perkara itu dan ia menimbulkan pelbagai persoalan kepada setiap anggota parti terutama di peringkat bahagian.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo