NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

JDT Tamatkan Kemarau 26 Tahun Julang Piala Malaysia


SHAH ALAM -- Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menamatkan penantian 26 tahun apabila dinobatkan juara Piala Malaysia 2017 selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan, Kedah pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT berjaya melengkapkan koleksi kejuaraan dalam tempoh empat tahun setelah turut memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mula menerajui kelab itu pada 2013.

Beraksi di hadapan lebih 80,000 penyokong, skuad bimbingan Ulisses Morais yang turun tanpa penyerang prolifik, Mohamad Ghaddar yang berada di bangku simpanan, tidak berdepan masalah mencipta jaringan seawal minit ketiga menerusi Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak yang menanduk deras bola hasil sepakan sudut ketua pasukan, Safiq Rahim.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, Kedah bangkit memperkemaskan permainan untuk melancarkan serangan ke atas benteng pertahanan JDT, namun penjaring terbanyak kejohanan Sandro Da Silva yang mengetuai jentera serangan skuad Lang Merah gagal menemui penyudah.

JDT hampir menggandakan jaringan pada minit ke-15 selepas pertahanan Kedah gagal mengeluarkan bola dengan kemas dalam kawasan penalti, namun sepakan deras Ignacio Insa sedikit melewati tiang gol pasukan lawan.

Skuad Harimau Selatan sekali lagi hampir menjadikan kedudukan 2-0 menerusi penyerang Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22, namun tindakan pantas penjaga gawang Kedah Mohd Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menampan keluar bola untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kedah yang dibimbing Mohd Nidzam Adzha Yusoff tampil lebih garang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi pasukan itu pada edisi lepas.

Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar gagal menyempurnakan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila tandukan beliau, yang tidak dikawal ditepis penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan sebelum terkena palang pada minit ke-56.

Baddrol sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang apabila rembatan derasnya yang tidak dikawal dalam kotak penalti hanya sekadar menggegar tiang pada minit ke-67.

Gol kedua JDT hadir pada minit ke-63 selepas hantaran lintang Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kiri pintu gol Kedah berjaya disempurnakan Gonzalo Gabriel Cabrera untuk mengesahkan kemenangan bermakna skuad Harimau Selatan.

Untuk rekod, Piala Malaysia merupakan trofi kejuaraan domestik kedua buat pasukan JDT selepas turut menjuarai saingan Liga Super musim ini.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo